Thursday, 22 August 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Munafiqun

SURAH AL-MUNAFIQUN
(Orang Munafik)
Surah ke 63
Terdiri daripada 11 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata, "kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sememangnya Rasulullah." Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.

2. Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai, (untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh dan harta mereka daripada dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) daripada menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

3. Demikian itu adalah kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang Islam), kemudian mereka menjadi kafir, lalu dengan sebab itu hati mereka dikunci mati. Kerana itu, mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).

4. Dan apabila engkau melihat mereka, engkau kagum dengan tubuh badan mereka. Apabila mereka berkata-kata, engkau juga kagum mendengar tutur kata mereka (kerana manis dan petah). (Dalam pada itu) mereka umpama batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). (Kerana rasa bersalah, mereka sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) mereka menyangka setiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah ditujukan kepada mereka (untuk membahayakan mereka). Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berwaspadalah terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka daripada rahmat-Nya. (Pelik) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada kebenaran sedangkan buktinya jelas)?

5. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu," mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepala; dan engkau melihat mereka berpaling (daripada bertaubat) serta mereka bersikap sombong.

6. (Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah sekali-kali tidak akan mengampuni mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasiq.

7. Merekalah yang mengatakan (kepada orang di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang Muhajirin), "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkannya." Padahal Allah memiliki perbendaharaan langit dan bumi (Justeru, tiada sesiapa pun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya). Tetapi orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).

8. Mereka berkata lagi, "Sesungguhnya jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang yang hina lagi lemah (pihak  Islam)." Padahal kemuliaan dan kekuatan itu adalah milik Allah, untuk Rasul-Nya dan orang yang beriman. Tetapi orang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

9. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). (Ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi. 

10. Nafkahkanlah (dengan mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal mautku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi di kalangan orang yang soleh.

11. Allah sekali-kali tidak akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya. Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Wednesday, 5 June 2013

Al-Fatihah utk Arwah Atok Tersayang

pagi itu, dia menjamah sarapan dengan berselera sekali.. Lempeng sebesar pinggan lauk yang agak tebal dan secawan kopi susu f&n dipagi hari memang menyelerakan.. usai sarapan, seluar basahan dan tee shirt lusuh berlubang di bahu pantas disarungnya.. Berbekal bakul kecil, dia memetik setiap butir biji kopi yang ranum satu, satu, satu.. Hari itu terasa terlalu pantas dan meresahkan baginya.. Ahh! Teriknya bahang matahari ni.. Jam di tangan dijelingnya.. 11 pagi! Dia segera berjalan pulang walaupun agak kepayahan melalui tanah gambut yang menenggelamkan setiap langkah kakinya..
Terasa dingin air ketika dia membasahkan seluruh tubuhnya..Segar dan harum mandian Protex yang dilumur di seluruh tubuhnya.. Menghilang bau peluh yang melekit ditubuhnya.. Alhamdulillah! Dia memuji Allah sejenak selesai solat Dhuha.. Lalu segelas air sejuk dihulur isteri tercinta diteguk perlahan2 membasahi tekak yang kekeringan sejak tadi..
Dentingan jam mengejutkan dia dari lena..Ahh! Jam 12.00! Segera dia ke tempat mandi dan berwudhu penuh khudhu..satu demi satu anggota wudhu nya di usap perlahan..Allah! Terimalah wudhu hambamu ini..
Deruman jentera Honda Wave memecah kesunyian.. Dalam usia senja, mengendali jentera sebegini pun satu cabaran berat baginya.. Alhamdulillah..sampai juga dia di Masjid yang sentiasa dirinduinya.. Kunci ditanganya membuka pintu masjid perlahan2.. Dia terus menuju ke sejadah usang dan mendirikan solat Tahiyatul Masjid..kemudian berzikir, muhasabah dan istighfar kepada Kekasihnya..sesekali dia mengurut2 belakangnya yang terasa bisa2.. Mungkin akibat di mamah usia..
Hari itu dia melaungkan azan Zuhur setulus hatinya.. Sayu dan sangat merdu menerjah cuping telinga setiap penduduk kampung.. Jauh disudut hatinya, mengharap agar orang kampung menyahut seruan azan dan berjamaah bersamanya Zuhur kali ini.. Meskipun dia tahu itu tak akan berlaku! Dalam dia termenung berharap, terdengar iqamah dilaungkan oleh seorang jamaah yang setia menjadi makmumnya 5 waktu sehari semalam..Dia bangun untuk mengimamkan solat Zuhur.. Tiba2 dia terasa melayang2 dan berpinar..sepantas itu dia meminta jamaah yang iqamah tadi mengimamkan solat Zuhur..Digagahkan untuk berdiri dan hanya mampu untuk 2 rekaat awal..Dia menyempurnakan solat Zuhur dalam keadaan duduk pada 2 rekaat berikutnya.. Assalamualaikum warahmatullah! Selesai sudah dan sempurna perintah Kekasihnya!
Masing2 jemaah bangun untuk pulang..Dia cuba bangun. Tapi pandanganya tiba2 menjadi kabur dan gelap..bahu terasa seperti memikul beban yang amat berat! Dia meminta agar bahunya diurut.. Ahh! Alhamdulillah! Lega sedikit.. Dia bangun dan berjalan menuju pintu masjid..mahu segera pulang menjamah hidangan tengahari yang di sediakan isteri tercinta.. Tiba2 terasa kakinya longlai.. Dada berombak ! Sesak! Mata kembali gelap.. Terduduk dia dipintu masjid! Ya Allah! Inikah harinya?
Kini dia benar2 tak bermaya..Dia diusung ke kereta dan dibawa pulang.. "Enal, bawak aku ke hospital! Aku tak nak susahkan orang"..
Dia semakin lemah.. Bersendirian terjelepuk di kerusi belakang.. Dada semakin sempit.. Berombak kencang..Allah! Allah! Allah!
Itulah kalam terakhir dari lidahnya! Akhirnya dia menemui janji yang pasti! Kembali menemui Rabbnya dan Ilahnya! Tanpa isteri..tanpa anak2..tanpa cucu2 di sisinya
dialah Imam! Dialah Muazzin! Dialah Siak! Dialah insan TERISTIMEWA dalam hidupku! Dialah ayahandaku yang tercinta Komari bin Selamat @Muslam! Dijemput ke sisi Rabb dan Kekasihnya seusai Solat Zuhur di Masjid Punggur Darat, Rengit Batu Pahat, Johor pada 1 Jun 2013.. Masjid yang menjadi rumah kedua abah.. Moga kau tenang di sisi Kekasihmu dan berada di taman Firdausi..Aku pasrah dan redha Abah!


- Alim Komari-

Saturday, 16 February 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Taghabun

SURAH AL-TAGHABUN
(Hari Diperlihatkan Segala Kesalahan)
Surah ke 64
Terdiri daripada 18 ayat (Madaniyyah)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah. Dialah Yang Memiliki kuasa pemerintahan dan segala pujian. Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

2. Dialah Yang mencipta kamu; maka sebahagian daripada kamu ada yang kafir dan sebahagian daripada kamu ada yang beriman. Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan (serta membalasnya).

3. Dia mencipta langit dan bumi dengan haq (bertujuan dah berhikmah) serta Dia menentukan bentuk rupa kamu dan memperelok rupa kamu. Kepada-Nyalah tempat kembali.

4. Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi serta Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan. Allah Maha Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

5. Apakah belum sampai kepada kamu berita orang kafir yang telah lalu? Maka merea merasai kesan buruk akibat perbuatan kufur mereka. Mereka (pada hari akhirat kelak) beroleh azab yang pedih.

6. (Balasan) yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka pernah didatangi rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka berkata, “Patutkah manusia (yang seperti kami menjadi rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami?” Lalu mereka kufur serta berpaling (daripada kebenaran) dan Allah tidak berhajat kepada mereka (lalu membinasaka mereka). Allah sememangnya Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

7.  (Diantara factor kekufuran) orang yang kafir itu (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan (sesudah mati). Katakanlah : “Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan.” Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (untuk melaksanakannya).

8.  Oleh itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan kepada Rasul-Nya serta kepada cahaya (al-Quran) yang Kami turunkan. (Ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.

9. (Ingatkanlah) pada hari Allah menghimpunkan kamu ketika perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari dinampakkan kesalahan-kesalahan (dengan mengampuninya) dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.

10. Manakala orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. Itulah seburuk-buruk tempat kembali.

11. Tidak ada suatu pun kesusahan (atau musibah) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah. Sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memberi hidayah kepada hatinya (lalu menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar). (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

12.  Taatlah kamu kepada Allah serta taatlah serta taatlah kepada Rasul-Nya. Maka jika kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas.

13. Allah itu, tiada Tuhan melainkan Dia. Dengan demikian, kepada Allah jualah orang yang beriman wajib bertawakkal.

14. Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya ada antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu. Oleh itu, berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Sekiranya kamu memaafkan dan tidak memarahi (mereka) serta memaafkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

15. Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian. Di sisi Allah jualah pahala yang besar.

16. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya) dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk diri kamu. (Ingatlah) sesiapa yang dipelihara dirinya daripada tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.

17. Jika kamu memberi pinjaman kepada Allah, dengan pinjaman yang baik (ikhlas seumpama sedekah), nescaya Allah akan melipatgandakan balasannya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Allah Maha Pembalas jasa (golongan yang berbuat baik) lagi Maha Penyantun (memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).

18. Dialah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Talaq

SURAH AL-TALAQ
(Talak)
Surah ke 65
Terdiri daripada 12 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1.  Wahai Nabi! Apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) ‘iddahnya (yang wajar), dan hitunglah waktu ‘iddah itu, serta bertaqwalah kepada Allah Tuhanmu*. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumahnya dan janganlah (diizinkan) keluar kecuali jika mereka mengerjakan perbuatan keji yang jelas**. Itulah hukum-hakam Allah dan barang siapa melanggar hukum-hakam Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru.***
* Isteri-isteri itu hendaklah ditalak pada waktu suci sebelum disetubuhi. Tentang masa 'iddah itu, lihat surah Al-Baqarah ayat 228 dan 234 serta surah al-Talaq ayat 4.
** Perbuatan keji di sini ialah mengerjakan perbuatan-perbuatan pidana (jenayah), berkelakuan tidak sopan kepada mertua, ipar dan sebagainya.
*** Suatu ketentuan yang baru ialah keinginan dari suami untuk rujuk kembali, apabila talaknya baru dijatuhkannya sekali atau dua kali

2. Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah pengajaran itu diberikan bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar baginya.

3. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.

4. Perempuan-perempuan yang tiada haid lagi (menopaus) di antara isteri-isterimu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya), maka ‘iddahnya ialah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tiada haid. Sedangkan perempuan-perempuan yang hamil, tempoh ‘iddahnya adalah hingga mereka melahirkan anak yang dikandung. Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan kemudahan baginya dalam urusannya.

5. Itulah perintah Allah yang diturunkanNya kepadamu. Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan melipat gandakan pahala baginya.

6. Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu dan janganlah kamu menyusahkan mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyempitkan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Jika mereka sedang hamil, maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan anak yang dikandung. Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya dan berundinglah antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. (Sebaliknya) jika kamu (dari kedua-dua pihak) megalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

7. Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah (kepada isteri yang ditalak dan yang sedang menyusukan) menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak membebani seseorang melainkan (sekadar kemampuannya) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

8.  Bukan sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka dan rasul-rasul Nya, maka Kami hitung amal mereka satu-persatu dengan hitungan yang keras rapi, serta Kami menyeksa mereka dengan azab yang mengerikan.

9. Lalu mereka merasai kesan yang buruk daripada perbuatan derhaka mereka dan akibat daripada perbuatan mereka itu ialah satu kerugian yang besar.

10.   Allah menyediakan bagi mereka azab yang berat. Maka bertaqwalah kepada Allah wahai orang yang berakal di kalangan orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah munurunkan peringatan kepada kamu.


11.   (Diutus) seorang rasul (Nabi Muhammad SAW) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang beriman (yang sedia diketahui-Nya) dan beramal soleh daripada kegelapan (kesesatan) kepada cahaya (hidayah). (Ingatlah) sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; maka mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah (dengan yang demikian) telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik rezeki (pemberian).

12.   Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu juga. Perintah Allah berlaku terus-menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesunggunya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi akan setiap sesuatu.

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Tahrim

SURAH AL-TAHRIM
(Mengharamkan)
Surah ke 66
Terdiri daripada 12 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Wahai Nabi! Mengapa engkau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagimu?* Engkau ingin menyenangkan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
* Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengharamkan atas dirinya minum madu untuk menyenangkan hati isteri-isterinya. Maka turunlah ayat ini sebagai teguran kepada Nabi Muhammad SAW.

2. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu membebaskan diri daripada sumpahmu* dan Allah adalah adalah pelindungmu dan Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
* Apabila seseorang bersumpah mengharamkan yang halal, maka wajiblah atasnya membebaskan diri daripada sumpahan itu dengan membayar kifarat, seperti tersebut dalam surah al-Maidah ayat 89.

3, Dan ingatlah ketika secara rahsia Nabi membicarakan suatu peristiwa kepada salah seorang isterinya (Hafsah). Lalu dia menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan allah memberitahukan peristiwa itu kepadanya (Nabi), lalu (Nabi) memberitahukan (kepada Hafsah) sebagahagian dan menyembunyikan sebahagian yang lain. Maka ketika dia (Nabi) memberitahukan hal itu kepadanya (Habsah), dia bertanya: "Siapa yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?" Nabi menjawab: "Yang memberitahukan kepadaku adalah Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti."

4. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebenaran), dan jika kamu saling bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah menjadi pelindungnya dan (juga) Jibril dan mukmin yang baik; dan selain itu malaikat-malaikat adalah penolongnya.

5. Jika dia (Nabi) menceraikan kamu, boleh jadi Tuhan akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, perempuan-perempuan yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang beribadah, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.

6. Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu: penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

7. Wahai orang kafir! Janganlah kamu mengemukakan alasan pada hari ini. Sesungguhnya hanya kamu diberi balasan menurut apa yang telah kamu kerjakan.

8. Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang yang beriman bersama dengannya; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah untuk kami cahaya kami dan ampunkanlah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu."

9. Wahai Nabi! Perangilah orang kafir dan orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

10. Allah membuat perumpamaan bagi orang kafir, isteri Nuh dan isteri Luth. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, tetapi kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada kedua isteri itu); "Masuklah kamu berdua ke neraka bersama orang yang masuk (neraka)."*
* Nabi-nabi sendiripun tidak dapat membela isteri-isterinya daripada azab Allah SWT apabila mereka menentang agama Allah.

11. Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang yang beriman, isteri Firaun*, ketika dia berkata: "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim."
* Isteri Firaun adalah penganut ajaran Allah Subhanahu wa Ta'ala yang akan dimasukkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala ke dalam syurga.

12. Dan Maryam peteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami; dan dia membenarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan kitab-kitabNYa; dan dia termasuk orang yang taat.

Friday, 1 February 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Mulk


SURAH AL-MULK
(Kerajaan)
Surah ke 67
Terdiri daripada 30 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Allah yang menguasai (segala) kerajaan (dunia dan akhirat). Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

2. Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebik baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.

3. Dialah yang menciptakan tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Tidak akan kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pengasih. Maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat?

4. Kemudian ulangi pandangan(mu) sekali lagi (dan) sekali lagi, nescaya pandanganmu akan kembali kepadamu tanpa menemukan kecacatan dan ia (pandanganmu) dalam keadaan letih (kerana tenaga habis dengan sia-sia).

5. Dan sesungguhnya, telah Kami hiasi langit yang dekat (dengan bumi), dengan bintang-bintang dan Kami jadikannya (bintang-bintang itu) sebagai alat-alat pelempar syaitan dan Kami sediakan bagi mereka neraka yang menyala-nyala.

6. Dan orang yang ingkar kepada Tuhannya, akan mendapat azab Jahannam, Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

7. Apabila mereka dilemparkan kedalamnya, mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak.

8. Hampir meledak kerana marah. Setiap kali ada kumpulan (orang kafir) dilemparkan ke dalamnya, penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: "Apakah belum pernah ada orang yang datang memberi peringatan kepadamu (di dunia)?"

9. Mereka menjawab: "Benar, sesungguhnya, seorang memberi peringatan telah datang kepada kami, tetapi kami mendustakan(nya) dan kami katakan: Allah tudak menurunkan sesuatu apa pun, kamu sebenarnya dalam kesesatan yang besar."

10. Dan mereka berkata : " Sekiranya (dahulu) kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan penghuni neraka yang menyala-nyala.

11. Maka mereka mengakui dosa mereka. Tapi jauhlah (daripada rahmat Allah) bagi penghuni neraka yang menyala-nyala itu.

12. Sesungguhnya orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

13. Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah (sama sahaja keadaannya kepaka Allah) kerana sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

14. Apakah (pantas) Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui? Dan Dia Maha Halus, lagi Maha Mengetahui.

15. Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNya kamu (kembali setelah) dibangkitkan.

16. Sudah merasa amankah kamu, bahawa Dia yang di langit itu tidak akan membuat kau ditelan bumi ketika tiba-tiba ia bergoncang?

17. Atau sudah merasa amankah kamu, bahawa Dia yang dilangit itu tidak akan mengirinkan badai yang menghujani kamu dengan batu? Namun kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatanKu.

18. Dan sesungguhnya, orang yang sebelum mereka pun telah mendustakan (rasul-rasulNya). Maka perhatikanlah betapa hebatnya kemurkaanKu!

19. Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang megembangkan dan menguncupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pengasih. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.

20. Atau siapakah yang akan menjadi bala tentera bagimu yang dapat membelamu selain (Allah) Yang Maha Pengasih? Orang kafir itu hanyalah dalam (keadaan) tertipu.

21. Atau siapakah yang dapat memberimu rezeki jika Dia menahan rezekiNya? Bahkan mereka terus-menerus dalam kesombongan dan menjauhkan diri (daripada kebenaran).

22. Apakah orang yang merangkak dengan wajah terlangkup yang lebih terpimpin (dalam kebenaran) ataukah orang yang berjalan tegak di atas jalan yang lurus?

23. Katakanlah : "Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani bagi kamu. (Tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur."

24. Katakanlah : "Dialah yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi dan hanya kepadaNya kamu akan dikumpulkan."

25. Dan mereka berkata :"Bilakah (datangnya) ancaman (hari kiamat) itu jika kamu orang yang benar?"

26. Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu (tentang hari kiamat itu) hanya pada Allah. Dan aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan."

27. Maka ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat) sudah dekat, wajah orang kafir itu menjadi muram. Dan dikatakan (kepada mereka): "Inilah (azab) yang dahulu kamu minta disegerakannya."

28. Katakanlah (wahai Muhammad): "Tahukah kamu jika Allah mematikan aku dan orang yang bersamaku atau memberi rahmat kepada kami, (maka kami akan masuk syurga), lalu siapa yang dapat melindungi orang kafir daripada azab yang pedih?"

29.Katakanlah: "Dialah Yang Maha Pemurah, kami beriman kepadaNya dan kepadaNya kami bertawakal. Maka kelak kamu akan tahu siapa yang berada dalam kesesatan yang nyata."

30. Katakanlah (wahai Muhammad): "Terangkanlah kepadaku jika sumber ait kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?"

Monday, 28 January 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Qalam


SURAH AL-QALAM
(Pena)
Surah ke 68
Terdiri daripada 52 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Nun, demi pena dan apa yang mereka tuliskan.

2. Dengan kurniaan Tuhanmu engkau (wahai Muhammad) bukanlah orang gila.

3. Dan sesungguhnya engkau pasti mendapat pahala yang besar dan tudak putus-putusnya.

4. Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur.

5. Maka kelak engkau akan melihat dan mereka (orang kafir) pun akan melihat.

6. Siapa di antara kamu yang gila?

7. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui siapa yang sesat daripada jalanNya; dan Dialah yang lebih mengetahui siapa orang yang mendapat petunjuk.

8. Maka janganlah engkau patuhi orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).

9. Mereka menginginkan agar engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur (berlemah-lembut secara zahirnya terhadapmu).

10. Dan janganlah engkau patuhi setiap orang yang suka bersumpah dan suka menghina,

11. Suka mencela, yang ke sana ke mari menyebarkan fitnah,

12. Yang menghalang segala yang baik, yang melampaui batas dan banyak dosa,

13. Yang bertabiat kasar, selain itu juga terkenal dengan kejahatannya,

14. Kerana dia kaya dan ramai anak.*
* Orang yang mempunyai banyak harta dan anak, lebih mudah mendapat pengikut. Tetapi jika dia mempunyai sifat-sifat seperti tersebut pada ayat 10-13, tidak boleh diikuti.

15. Apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepadanya, dia berkata : " (Ini adalah) dongeng-dongeng yang dahulu."

16. Kelak dia akan Kami beri tanda pada belalai(nya).*
* Belalai di sini ialah hidung. Digunakan perkataan belalai di sini adalah sebagai penghinaan.

17. Sesungguhnya Kami telah menguji mereka* sebagaimana Kami telah menguji pemilik-pemilik kebun, ketika mereka bersumpah pasti akan memetik (hasil)nya pada pagi hari,
* Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa Dia menguji penduduk Mekah dengan menganugerahkan mereka nikmat-nikmat yang banyak untuk mengetahui adakah mereka bersyukur atau tidak sebagaimana Allah Ta'ala telah menguji pemilik-pemilik kebun, seperti yang diterangkan pada ayat 17-33. Akhirnya pemilik kebun itu merasa insaf dan bertaubat kepada Allah Subahanahu wa Ta'ala. Demikian juga penduduk Mekah yang kemudiannya menjadi insaf dan masuk Islam beramai-ramai setelah penaklukan Mekah.

18. Tetapi mereka tidak menyisihkan (dengan mengucapkan: "Insya' Allah")

19. Lalu kebun itu ditimpa bencana (yang datang) daripada Tuhanmu ketika mereka sedang tidur.

20. Maka jadilah kebun itu hitam seperti malam yang gelap gelita,*
* Maka terbakarlah kebun itu dan tinggallah arang-arang yang hitam seperti malam.

21. Lalu pada pagi hari mereka saling memanggil.

22. "Pergilah pagi-pagi ke kebunmu jika kamu hendal memetik hasil."

23. Maka mereka pun berangkat sambil berbisik-bisik.

24. "Pada hari ini jangan sampai ada orang miskin masuk ke dalam kebunmu."

25. Dan berangkatlah mereka di pagi hari dengan niat menghalang (orang miskin) padahal mereka mampu (menolongnya).

26. Maka ketika mereka melihat kebun itu, mereka berkata : " Sesungguhnya kita ini benar-benar orang yang sesat.

27. Bahkan kita tidak memperolehi apa pun."  

28.Berkatalah seorang yang paling bijak di antara mereka "Bukankah aku telah mengatakan kepadamu, mengapa kamu tidak bertasbih (kepada Tuhanmu)."

29. Mereka mengucapkan: " Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya kami adalah orang yang zalim."

30. Lalu mereka saling berhadapan dan saling menyalahkan.

31. Mereka berkata: "Celakalah kita! Sesungguhnya kita orang yang melampaui batas."

32. Mudah-mudahan Tuhan memberikan ganti kepada kita dengan (kebun) yang lebih baik daripada ini, sesungguhnya kita mengharapkan keampunan daripada Tuhan kita.

33. Seperti itulah azab yang ditimpakan (di dunia). Dan sesungguhnya azab akhirat lebih besar sekiranya mereka mengetahui.

34. Sesungguhnya bagi orang yang bertakwa (disediakan) syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya,

35. Apakah patut Kami perlakukan orang Islam itu seperti orang yang berdosa (kafir)?

36. Mengapa kamu (berbuat demikian)? Bagaimana kamu mengambil keputusan?

37. Atau apakah kamu mempunyai kitab (yang diturunkan Allah) yang kamu pelajari?

38. Sesungguhnya kamu dapat memilih apa yang ada di dalamnya

39. Atau apakah kamu memperolehi (janji-janji yang diperkuat dengan) sumpah daripada Kami, yang tetap berlaku sampai hari kiamat; bahawa kamu dapat mengambil keputusan (sekehendakmu)?

40. Tanyakanlah kepada mereka;" Siapakah di antara mereka tang bertanggungjawab terhadap (keputusan yang diambil itu)?"

41. Atau apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu? Kalau begitu hendaklah mereka mendatangkan sekutu-sekutunya jika mereka orang yang benar.

42. (Ingatlah) pada hari ketika betis disingkapkan dan mereka diseru untuk bersujud; maka mereka tidak mampu.*
* Menggambarkan keadaan orang yang sangat ketakutan lantaran terlalu dahsyatnya huru-hara hari kiamat.

43. Pandangan mereka tertunduk ke bawah, diliputi kehinaan. Dan sesungguhnya dahulu (di dunia) mereka telah diseru untuk bersujud waktu mereka sihat (tetapi mereka tidak melakukannya)*
* Pada hari kiamat, bersujudlah setiap mukmin kepada Allah Sunhanahu wa Ta'ala. Akan tetapi orang kafir atau orang musyrik mereka yang selama di dunia bersujud kerana riyak tidak sanggup bersujud di hari kiamat.

44. Maka serahkanlah kepadaKu (urusannya) dan orang yang mendustakan perkataan ini (al-Quran). Kelak akan Kami hukum mereka beransur-ansur dari arah yang tidak mereka ketahui.

45. Dan Aku akan melanjutkan tempoh untuk mereka. Sesungguhnya perancanganKu sangat teguh.

46. Ataukah engkau (wahai Muhammad) meminta imbalan (ganjaran) kepada mereka, sehingga mereka dibebani dengan hutang?

47. Ataukah mereka mengetahui yang ghaib, lalu mereka menuliskannya?

48. Maka bersabarlah engkau (wahai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu dan janganlah engkau seperti  (Yunus) orang yang berada dalam (perut) ikan ketika berdoa dengan hati yang sedih.

49. Sekiranya dia tidak segera mendapat nikmat daripada Tuhannya, pastilah dia dicampakkan ke tanah yang tandus dalam keaadaan tercela.

50. Lalu Tuhannya memilihnya dan menjadikannya termasuk orang yang soleh.

51. Dan sesungguhnya orang kafir itu hampir-hampir menggelincirkanmu dengan pandangan mata* mereka, ketika mereka mendengar al-Quran sambil berkata: " Dia (Muhammad) itu benar-benar orang gila."
* Seseorang dapat menguasai binatang atau manusia dengan menujukan pandangan yang tajam. Hal ini hendak dilakukan pula kepada Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, tetapi Allah Sunhanahu wa Ta'ala memeliharanya sehingga terhindar daripada bahaya itu, sebagaimana dijanjikan Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surak Al-Ma'idah ayat 67.

52. Padahal al-Quran itu tidak lain adalah peringatan bagi seluruh alam.

Sunday, 27 January 2013

Terjemahan A-Quran ~ Surah Al-Haqqah


SURAH AL-HAQQAH
(Hari Kiamat)
Surah ke-69
Terdiri daripada 52 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Hari Kiamat.*
* Hari kiamat (al-Haqqah) menurut bahasa bererti "yang pasti terjadi". Hari kiamat dinamakan al-Haqqah kerana dia pasti terjadi.

2. Apakah hari kiamat itu?

3. Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu?

4. Kaum Thamud dan 'Aad telah mendustakan hari kiamat.

5. Maka adapun kaum Thamud, mereka telah dibinasakan dengan suara yang sangat keras dan kuat.*
* Kejadian yang luar biasa ialah petir yang amat keras yang menyebabkan suara yang mengguntur yang menghancurkan.

6. Sedangkan kaum 'Aad, mereka telah dibinasakan dengan angin taufan yang sangat sejuk.

7. Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam lapan hari terus menerus; maka kamu melihat kaum 'Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seperti sebatang pohon kurma yang telah kosong (lapuk).

8. Maka adakah kamu melihat seorang pun yang masih tersisa (hidup) di antara mereka?*
* Mereka habis dihancurkan sama sekali dan tidak mempunyai keturunan.

9. Kemudian datang Firaun dan orang yang sebelumnya dan (penduduk) negeri-negeri yang ditunggang balikkan kerana kesalahan yang besar.*
* Umat-umat dahuluyang mengingkari para nabi dan rasul seperti kaum Nabi Isa 'alaihissalam, kaum Nabi Syu'aib, kaum Nabi Luth 'alaihissalam dan lain-lain.

10. Maka mereka menderhakai utusan Tuhannya, Allah menyeksa mereka dengan seksaan yang sangat keras.

11. Sesungguhnya ketika air naik (sampai ke gunung), Kami membawa (nenek moyang) kamu* ke dalam kapal.
* Yang dibawa dalam bahtera Nabi Nuh 'alaihissalam untuk diselamatkan ialah keluarga Nabi Nuh 'alaihissalam dan orang-orang beriman kecuali anaknya yang derhaka.

12. Agar Kami jadikan (peristiwa itu) sebagai peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.

13. Maka apabila sangkakala ditiup dengan sekali tiup,*
* Ialah tiupan pertama yang menyebabkan alam semesta hancur.

14. Dan diangkatlah bumi dan gunung-ganang, lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hentaman.

15. Maka pada hari itu terjadilah hari kiamat.

16. Dan terbelah langit, kerana pada hari itu langit menjadi rapuh.

17. Dan para malaikat berada di pelbagai penjuru langit. Pada hari itu lapan malaikat menjunjung Arasy (singgahsana) Tuhanmu di atas (kepala) mereka. 

18. Pada hati itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tidak ada sesuatupun daripada kamu yang tersembunyi (bagi Allah).

19. Adapun orang yang kitabnya* diberikan di tangan kanannya, maka dia berkata : "Ambillah, bacalah kitabku (ini)."
* Catatan amalan perbuatannya.

20. Sesungguhnya aku yakin bahawa (suatu saat) aku akan menerima perhitungan terhadap diriku.

21. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredhai,

22. Dalam syurga yang tinggi,

23. Buah-buahan dekat,

24. (Kepada mereka dikatakan): " Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu."

25. Dan adapun orang yang kitabnya diberikan di tangan kirinya, maka dia berkata :" Alangkah baiknya jika kitabku (ini) tidak dberikan kepadaku.

26. Sehingga aku tidak mengetahui bagaimana perhitunganku,

27. Wahai, kiranya (kematian) itulah yang menyudahi segala sesuatu,

28. Hartaku sama sekali tidak berguna bagiku,

29. Kekuasaankuu telah hilang dariku."

30. (Allah berfirman): "Tangkaplah dia, lalu belenggulah tangannya ke lehernya."

31. Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

32. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta.

33. Sesungguhnya dialah orang yang tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar.

34. Dan juga dia tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan orang miskin.

35. Maka pada hari ini di sini, tiada seorang teman pun yang dapat menolongnya.

36 Dan tidak ada makanan (baginya) kecuali daripada darah dan nanah.

37. Tidak ada yang memakannya kecuali orang yang berdosa.

38. Maka Aku bersumpah demi apa yang kamu lihat.

39. Dan demi apa yang tidak kamu lihat.

40. Sesungguhnya ia (al-Quran itu) benar-benar wahyu (yang diturunkan kepada) Rasul yang mulia.

41. Dan ia (al-Quran) bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya.

42. Dan bukan juga perkataan tukang tilik. Sedikit sekali kamu mengambil peringatan darinya.

43. Ia (al-Quran) adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan seluruh alam.

44. Dan sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, 

45. Pasti Kami pegang dia pada tangan kanannya.*
* Kami beri tindakan sekeras-kerasnya.

46. Kemudian Kami potong pembuluh jantungnya.

47. Maka tiada seorang pun daripada kamu yang dapat menghalang (Kami untuk menghukumnya).

48. Dan sesungguhnya al-Quran itu menjadi peringatan bagi orang yang bertakwa.

49. Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa di antara kamu ada orang yang mendustakan.

50. Dan sesungguhnya al-Quran itu akan menimbulkan penyesalan bagi orang kafir (di akhirat).

51. Dan sesungguhnya al-Quran itu kebenaran yang meyakinkan.

52. Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Maha Agung.

Wednesday, 23 January 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Muhammad

Salam Maulidur Rasul 1434 H. 

SURAH MUHAMMAD
Surah ke 47
Terdiri daripada 38 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1 Orang yang kafir menghalang-halang (manusia) dari jalan Allah, Allah menghapuskan segala amal mereka.

2. Dan orang yang beriman (kepada Allah) dan mengerjakan kebajikan serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad, dan itulah kebenaran daripada Tuhan mereka; Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.

3. Yang demikian itu, kerana sesungguhnya orang kafir mengikuti yang batil (sesat) dan sesungguhnya orang yang beriman mengikuti kebenaran daripada Tuhan mereka. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia.

4. Maka apabila kamu bertemu dengan orang yang kafir (di medan perang), maka pukullah batang leher mereka. Selanjutnya apabila kamu telah mengalahkan mereka, tawanlah  mereka dan setelah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan, sampai perang selesai. Demikianlah, dan sekiranya Allah mengkehendaki, nescaya Dia membinasakan mereka, tetapi Dia hendak menguji kamu satu sama lain. Dan orang yang gugur di halan Allah, Allah tidak mensia-siakan amal kebaikan mereka.

5. Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka.

6. Dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenankanNya kepada mereka. 

7. Wahai orang yang beriman! jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

8. Dan orang yang kafir, maka celakalah mereka dan Allah menghapuskan segala amalannya

9. Yang demikian itu kerana mereka membenci apa (al-Quran) yang diturunkan Allah, maka Allah menghapus segala amal mereka.

10. Maka apakah mereka tidak pernah mengadakan perjalanan di bumi sehingga dapat memperhatikan bagaimana kesudahan orang yang sebelum mereka. Allah telah membinasakan mereka dan bagi orang kafir akan menerima (nasib) yang serupa itu. 

11. Yang demikian itu kerana Allah pelindung bagi orang yang beriman; sedang orang kafir tidak ada pelindung bagi mereka.

12. Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang yang kafir menikmati kesenangan (dunia). Dan mereka makan seperti haiwan mereka; dan (kelak) nerakalah tempat tinggal bagi mereka.

13. Dan betapa banyak negeri yang (penduduknya) lebih kuat dari (penduduk) negerimu (Muhammad) yang telah mengusirmu itu. Kami telah membinasakan mereka; maka tidak ada seorang pun yang menolong mereka.

14. Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang daripada Tuhannya sama dengan orang yang dijadikan (oleh syaitan) terasa indah baginya perbuatan buruknya dan mengikuti keinginannya?*
Semua amal perbuatan mereka tidak mendapat ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala sehingga tidak dihargai dan tidak mendapat pahala.

15. Perumpamaan penghuni syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa; di sana ada sungai-sungai yang airnya tidak payau dan sungai-sungai khamar (anggur yang tidak memabukkan) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai madu yang murni. Di dalamnya mereka memperolehi segala macam buah-buahan dan kemampuan daripada Tuhan mereka. Samakah mereka dengan orang yang kekal dalam neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih, sehingga hancur ususnya?

16. Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu (Muhammad), tetapi apabila mereka telah keluar dari sisimu, mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu (sahabat-sahabat Nabi): "Apakah yang dikatakannya tadi?" Mereka itulah orang yang dikunci hatinya oleh Allah dan mengikuti keinginannnya.

17. Dan orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahkan ketakwaan kepada mereka. 

18. Maka apa lagi yang mereka tunggu-tunggu selain hari kiamat yang akan datang kepada mereka secara tiba-tiba, kerana tanda-tandanya sesungguhnya telah datang. Maka apa gunanya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila (hari kiamat) itu sudah datang?

19. Maka ketahuilah, bahawa tidak ada tuhan (yang patut disembah) selain Allah dan mohonlah keampunan atas dosamu dan atas (dosa) orang mukmin lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat usaha dan tempat tinggalmu.

20. Dan orang yang beriman berkata:" Mengapa tidak ada suatu surah* yang diturunkan?" Maka apabila ada suatu surah diturunkan yang jelas maksudnya dan di dalamnnya tersebut (perintah) perang, engkau melihat orang yang di dalam hatinya ada penyakit akan memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan kerana takut mati. Tetapi itu lebih sesuai bagi mereka.
* Surah di sini ialah surah yang berisi perintah untuk memerangi orang-orang kafir.

21. (Yang lebih baik bagi mereka adalah) taat (kepada Allah) dan bertutur kata yang baik. Sebab apabila perintah (perang) ditetapkan (mereka tidak menyukainya). Padahal jika mereka benar-benar (beriman) kepada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.

22. Maka apakah sekiranya kamu berkuasa, kamu akan berbuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?

23. Mereka itulah orang yang dikutuk Allah; lalu dibuat tuli (pendengarannya) dan dibutakan penglihatannya.

24. Maka tidaklah mereka menghayati al-Quran, ataukah hati mereka sudah terkunci?

25. Sesungguhnya orang yang berbalik (kepada kekafiran) setelah petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitanlah yang menyeru mereka dan memanjangkan angan-angan mereka.

26. Yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka telah mengatakan kepada orang (Yahudi) yang tidak senang dengan apa yang diturunkan Allah: "Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan," tetapi Allah mengetahui rahsia mereka.

27. Maka bagaimana (nasib mereka) apabila malaikat (maut) mencabut nyawa mereka, memukul wajah dan punggung mereka?

28. Yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan membenci (apa yang menimbulkan) keredaanNya, sebab itu Allah menghapus segala amal mereka.

29. Atau apakah orang yang dalam hatinya ada penyakit menyangka bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka (terhadap Nabi Muhammad SAW)?

30. Dan sekiranya Kami mengkehendaki, nescaya Kami perlihatkan mereka kepadamu (Muhammad) sehingga engkau benar-benar dapat mengenali mereka dengan tanda-tandanya. Dan engkau benar-benar akan mengenali mereka daripada nada bicaranya dan Allah mengetahui segala perbuatan kamu. 

31. Dan sesungguhnya, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang yang benar-benar berjihad dan yang bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu.

32. Sesungguhnya orang yang kafir akan menghalang-halang (orang lain) dari jalan Allah serta memusuhi rasul setelah ada petunjuk yang jelas bagi mereka, mereka tidak akan dapat memberi mudarat (bahaya) kepada Allah sedikit pun. Dan kelak Allah menghapus segala amal mereka.

33. Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan janganlah kamu merosakkan segala amalmu.

34. Sesungguhnya orang kafir dan menghalang-halang (orang lain) dari jalan Allah, kemudian mereka mati dalam keadaan kafir, maka Alllah tidak akan mengampunkan mereka.

35. Maka janganlah kamu lemah dan mengajak (musuh) untuk berdamai, kerana kamulah yang lebih unggul dan Allah (pun) bersama kamu dan Dia tidak akan mengurangkan segala amalmu.

36. Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan gurau senda. Jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta hartamu.

37. Sekiranya Dia meminta harta kepadamu, lalu mendesak kamu (agar memberikan semuanya), nescaya kamu akan jadi bakhil (kedekut) dan Dia akan menampakkan kedengkianmu.

38. Ingatlah, kamu adalah orang yang diajak untuk menginfakkan (hartamu) pada jalan Allah. Lalu di antara kamu ada orang yang kedekut dan barang siapa kedekut, maka sesungguhnya dia jadi kedekut terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya dan kamulah yang memerlukan (kurniaanNya). Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar) Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan (derhaka) seperti kamu. 

Sunday, 20 January 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Ma'arij

SURAH AL MA'ARIJ
( Tempak-tempat Naik)
Surah ke-70
Terdiri daripada 44 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Seseorang bertanya tentang azab yang pasti terjadi.

2. Azab yang disediakan bagi orang kafir, yang tiada seorang pun dapat menolaknya.

3. (Azab) daripada Allah yang memiliki tempat-tempat naik.

4. Para malaikat dan Jibril naik (mengadap) kepada Tuhan, dalam sehari setara dengan lima puluh ribu tahun.*
* Para malaikat dan Jibril 'alaihissalam jika mengadap Allah Subhanahu wa Ta'ala memakan waktu selama satu hari. Apabila dilakukan oleh manusia, memakan waktu selama 50,000 tahun.

5. Maka bersabarlah engkau (wahai Muhammad) dengan kesabaran yang baik.

6. Mereka memandang (azab) itu jauh (mustahil).

7. Sedangkan Kami memandangnya dekat (pasti terjadi).

8. (Ingatlah) pada kekita itu langit menjadi bagaikan cairan tembaga,

9. Dan gunung-gunung bagaikan bulu (yang berterbangan),

10. Dan tidak ada seorang teman karib pun menanyakan temannya.

11. Sedang mereka saling melihat. Pada hari itu, orang yang berdosa ingin sekiranya dia dapat menebus (dirinya) daripada azab dengan anak-anaknya,

12. Dan isterinya dan saudaranya,

13. Dan keluarga yang melindunginya (di dunia)

14. Dan orang di bumi seluruhnya, kemudian mengharapkan (tebusan) itu dapat menyelamatkannya.

15. Sama sekali tidak! Sesungguhnya, neraka itu api yang bergejolak,

16. Yang mengelupaskan kulit kepala dan anggota tubuh.

17. Yang memanggil orang yang membelakangi dan yang berpaling (daripada agama),

18. Dan orang yang mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya.*
* Orang yang menyimpan hartanya tidak mengeluarkan zakat dan tidak pula menafkahkan ke jalan yang benar.

19. Sesungguhnya, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh.

20. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh-kesah,

21. Dan apabila mendapat kebaikan (harta) dia menjadi kikir.

22. Kecuali orang yang melaksanakan solat.

23. Mereka yang tetap setia melaksanakan solatnya,

24. Dan orang yang dalam hartanya disediakan bahagian tertentu,

25. Bagi orang (miskin) yang meminta dan yang tidak meminta.

26. Dan orang yang mempercayai hari pembalasan,

27. Dan orang yang takut kepada azab Tuhannya,

28. Kerana sesungguhnya terhadap azab Tuhan mereka, tidak ada seorang pun yang patut merasa aman (daripada kedatangannya).

29. Dan orang yang memelihara kemaluannya,

30. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

31. Maka barang siapa mencari di luar itu (zina, homoseks), mereka itulah orang yang melampaui batas.

32. Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya,

33. Dan orang yang berpegang teguh kepada kesaksiannya,

34. Dan orang yang memelihara solatnya.

35. Mereka itu dimuliakan di dalam syurga.

36. Maka mengapa orang kafir itu datang bergegas ke hadapanmu (Muhammad).

37. Dari kanan dan dari kiri dengan kelompok-kelompok?*
* Menurut keterangan sebahagian ahli tafsir, ayat ini berhubungan dengan peristiwa ketika Rasulullah SAW solat dan membaca al-Quran di sisi Kaabah, lalu orang musyrik berkelompok-kelompok di hadapannya sambil mengejek dan mengatakan : "Jika orang-orang mukmin benar-benar akan masuk syurga sebagaimana kata Nabi Muhammad SAW, kitalah yang akan masuk syurga terlebih dahulu", maka turunlah ayat 38.

38. Apakah setiap orang daripada orang kafir itu ingin masuk syurga yang penuh kenikmatan?

39. Tidak mungkin! Sesungguhnya Kami menciptakan mereka dari apa yang mereka ketahui.*
* Manusia diciptakan daripada air mani yang hina. Maka selayaknyalah mereka masuk neraka jika tidak menurut pimpinan para Nabi 'alaihimussalam untuk meningkatkan diri ke tahap makhluk yang mulia.

40. Maka Aku bersumpah dengan (kebesaranKu) Tuhan yang menguasai timur dan barat, sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa.

41. Untuk (membinasakan mereka serta) menggantikan (mereka) dengan kaum yang lebih baik daripada mereka dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan.

42. Maka biarkanlah mereka tenggelam dan bermain-main (dalam kesesatan) mereka sampai menemui hari yang diancamkan kepada mereka.

43. (Iaitu) pada hari ketika mereka keluar dari kubur dengan segera seolah-olah mereka berkejaran pergi ke tempat berhala-berhala yang mereka sembah (sewaktu di dunia dahulu).

44. Sambil pandangan mereka tertunduk ke bawah diliputi kehinaan. Itulah hari yang dijanjikan kepada mereka.

Sunday, 13 January 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Nuh

SURAH NUH
Surah ke 71
Terdiri daripada 28 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan perintah): Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih.

2. Dia (Nuh) berkata: " Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini seorang pemberi peringatan dan amaran yang jelas kepada kamu."

3. (Iaitu) sembahlah Allah, bertakwalah kepadaNya dan taatlah kepadaku,

4. Supaya Dia mengampunkan sebahagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu* sampai pada batas waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah itu apabila telah datang, tidak dapat ditunda, seandainya kamu mengetahui.
* Memanjangkan umurmu.

5. Dia (Nuh) berkata: " Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam,

6. Tetapi seruanku itu tidak menambahkan (iman) mereka, malah mereka (semakin) lari (daripada kebenaran).

7. Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (untuk beriman) agar Engkau mengampunkan mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke telinga mereka sambil menutupkan baju mereka (ke wajah masing-masing) dan mereka tetap (mengingkari) dan sangat menyombongkan diri.

8. Lalu sesungguhnya aku menyeru mereka dengan cara terang-terangan.*
* Dakwah ini dilakukan setelah dakwah secara diam-diam tidak berjaya.

9. Kemudian aku menyeru mereka secara terbuka dan dengan diam-diam.*
* Setelah melakukan dakwah secara diam-diam, kemudian secara terang-terangan, namun tidak juga berjaya, maka Nabi Nuh 'alaihissalam melakukan kedua-dua cara sekaligus.

10. Maka aku berkata (kepada mereka): " Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.

11. Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu,

12. Dan Dia memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu."

13. Mengapa kamu tidak menghargai kebesaran dan kekuasaan Allah?

14. Padahal sesungguhnya Dia telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan (kejadian)*
* Lihat Surah al-Mukminun ayat 12-14.

15. Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis?

16. Dan di sana Dia menciptakan bulan yang bercahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita (yang terang-benderang)?

17. Dan Allah menumbuhkan kamu daripada tanah, tumbuh (beransur-ansur),

18. Kemudian Dia akan mengembalikan kamu ke dalamnya (tanah) dan mengeluarkan kamu (pada hari kiamat) dengan pasti.

19. Dan Allah menjadikan bumi untukmu sebagai hamparan,

20. Agar kamu dapat pergi ke sana ke mari di jalan-jalan yang luas.

21. Nuh berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka derhaka kepadaku dan mereka mengikuti orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambahkan kerugian baginya,

22. Dan mereka melakukan tipu daya yang sangat besar."

23. Dan mereka berkata:"Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, dan janganlah pula Suwa' Yaghuth, Ya'uq dan Nasr."*
* Wadd, Suwa', Yaghuth, Ya'uq dan Nasr adalah nama berhala-berhala yang terbesar di kabilah-kabilah kaum Nabi Nuh alaihissalam yang mana asalnya pada masa lalu, mereka itu ialah orang soleh. 

24. Dan sesungguhnya mereka telah menyesatkan ramai orang dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang yang zalim itu selain kesesatan.

25. Disebabkan kesalahan-kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan, lalu dimasukkan ke dalam neraka, maka mereka tidak mendapat penolong selain Allah.*
* Berhala-berhala mereka tidak dapat memberi pertolongan kepada mereka. Hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala yang dapat menolong mereka. Tetapi kerana menyembah berhala, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak memberikan pertolongan.

26. Dan Nuh berkata: "Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang kafir itu tinggal di atas bumi."

27. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu dan mereka hanya akan melahirkan anak-anak yang jahat dan tidak tahu bersyukur.

28. Ya Tuhanku, ampunkanlah aku, ibu bapaku, dan siapa pun yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang yang zalim itu selain kehancuran."

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Jin

SURAH AL-JIN
Jin
Surah ke 72
Terdiri daripada 28 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan)," lalu mereka berkata: "Kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan (al-Quran).

2. (Yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar; lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan sesuatu pun dengan Tuhan kami.

3. Dan sesungguhnya Maha Tinggi keagungan Tuhan kami, Dia tidak beristeri dan tidak beranak.

4. Dan sesungguhnya orang yang bodoh di antara kami dahulu selalu mengucapkan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah.*
* Perkataan yang melampaui batas ialah mengatakan Allah Subhanahu wa Ta'ala. mempunyai isteri dan anak-anak. Menurut Ibnu Kathir, perkataan itu diucapkan sebelum jin itu masuk Islam.

5. Dan sesungguhnya kami mengira bahawa manusia dan jin itu tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah. 

6. Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki daripada kalangan manusia yang meminta perlindungan* kepada beberapa lelaki daripada kalangan jin, tetapi mereka (jin) menjadikan mereka (manusia) bertambah sesat.
* Ada di antara orang Arab apabila mereka melintasi tempat yang sunyi, maka mereka meminta perlindungan kepada jin yang mereka anggap berkuasa di tempat itu.

7. Dan sesungguhnya mereka (jin) mengira seperti kamu (orang Musyrik Mekah) yang juga mengira bahawa Allah tidak akan membangkitkan kembali siapa pun (pada hari kiamat).

8. Dan sesungguhnya kami (jin) telah cuba mengetahui (rahsia) langit, tetapi kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang kuat kawalannya dan panah-panah api.

9. Dan sesungguhnya kami (jin) dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mencuri dengar (berita-beritanya). Tetapi sekarang* siapa (cuba) mencuri dengar (seperti itu), pasti akan menjumpai panah-panah api yang mengintai (untuk membakarnya).
* Waktu setelah Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul.

10. Dan sesungguhnya kami (jin) tidak mengetahui (dengan ada kawalan itu) apakah keburukan yang akan ditimpakan kepada orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan baginya. 

11. Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada yang soleh dan ada (pula) sebaliknya. Kami menempuh jalan yang berbeza-beza.

12. Dan sesungguhnya di antara kami (jin) telah menduga, bahawa kami tidak akan mampu melepaskan diri (daripada kekuasaan) Alah di bumi dan tidak (pula) dapat lari melepaskan diri (daripada)Nya. 

13. Dan sesungguhnya ketika kami (jin) mendengar petunjuk (al-Quran), kami beriman kepadanya. Maka barang siapa beriman kepada Tuhan, maka tidak perlu ia takut rugi atau berdosa.

14. Dan di antara kami ada yang Islam dan ada yang menyimpang daripada kebenaran. Siapa yang Islam, maka mereka itu telah memilih jalan yang lurus.

15. Dan adapun yang menyimpang daripada kebenaran, maka mereka menjadi bahan bakar bagi neraka Jahannam.

16. Dan sekiranya mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), nescaya Kami akan menurunkan kepada mereka air (hujan) yang cukup. 

17. Dengan (cara) itu Kami hendak menguji mereka. Dan barang siapa berpaling daripada peringatan Tuhannya, nescaya Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang sangat berat.

18. Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah untuk Allah. Maka janganlah kamu menyembah apa pun di dalamnya selain Allah,

19. Dan sesungguhnya ketika hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembahNya (melaksanakan solat), mereka (jin-jin) itu berasak-asak mengerumuninya.

20. Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya."

21. Katakanlah (wahai Muhammad): " Aku tiada kuasa menolak mudarat mahupun mendatangkan kebaikan kepadamu."

22. Katakanlah (wahai Muhammad):"Sesungguhnya tidak pula sesuatu pun yang dapat melindungiku daripada (azab) Allah dan aku tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya."

23. (Aku hanya) menyampaikan (peringatan) dari Allah dan risalahNya. Dan barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia akan mendapat (azab) neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

24. Sehingga apabila mereka melihat (azab) yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih lemah penolong-penolongnya dan sedikit jumlah bilanganya.

25. Katakanlah (wahai Muhammad):"Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu sudah dekat ataukah Tuhanku menetapkan waktunya masih lama."

26. Dia mengetahui yang ghaib, tetapi Dia tidak memperlihatkan kepada siapa pun tentang ghaib itu.

27. Kecuali kepada rasul yang diredhaiNya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di depan dan di belakangnya.

28. Agar Dia mengetahui, bahawa rasul-rasul itu sesungguhnya telah menyampaikan risalah Tuhannya, sedang (ilmuNya) meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.