SURAH AL-MUMTAHANAH
(Perempuan Yang Diuji)
Surah ke-60
Terdiri daripada 13 ayat (Madaniyyah)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
1. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan musuhKu dan musuhmu sebagai teman-teman rapat sehingga kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal mereka telah ingkar kepada kebenaran yang disampaikan kepadamu. Mereka telah mengusir Rasulullah dan kamu sendiri (dari Tanah Suci Mekah) kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu (janganlah kamu berbuat demikian). (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih sayang dengan mereka secara sulit sedangkan Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan. Dan barang siapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.
2. Jika mereka berjaya menangkapmu, nescaya mereka akan menjadi musuh yang membahayakan kamu dan mereka akan melepaskan tangan dan lidah mereka untuk menyakiti dan mencaci kamu dan mereka suka kalaulah kamu menjadi kafir (seperti mereka).
3. Kaum kerabatmu dan anak-anakmu tidak akan bermanfaat bagimu di hari kiamat. Allah akan memisahkan antara kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
4. Sesungguhnya telah ada contoh teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang yang bersama dengannya, ketika mereka berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami mengingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu ada permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja," kecuali perkataan Ibrahim kepada ayahnya:* "Sesungguhnya aku akan memohonkan keampunan bagimu, namun aku sama sekali tidak dapat menolak (seksaan) Allah terhadapmu" (Ibrahim berdoa): "Ya Tuhan kami, hanya kepada engkau kami bertakawal dan hanya engkau kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali.
* Nabi Ibrahim 'alaihissalam pernah memintakan keampunan bagi bapanya yang musyrik kepada Allah. Ini tidak boleh ditiru, kerana Allah tidak membenarkan orang mukmin memintakan keampunan untuk orang kafir. Lihat surah an-Nisa' ayat 48 dan surah at-Taubah ayat 113-114.
5. Ya Tuhan kami, jangalah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang kafir. Dan ampunilah kami, ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkau yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana."
6. Sesungguhnya, pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) terdapat contoh teladan yang baik bagimu; (iaitu) bagi orang yang mengharap (pahala) Allah dan (keselamatan pada) hari kemudian, dan barang siapa berpaling (daripada mencontohi mereka, maka padahnya akan menimpa diri sendiri), kerana sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
7. Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang di antara kamu dengan orang yang pernah kamu musuhi di antara mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa. Dan Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
8. Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.
9. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan orang yang memerangi kamu dalam urusan agama dan mengusir kamu dari kampung halamanmu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai kawan kamu. Barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang yang zalim.
10. Wahai orang yang beriman! Apabila perempuan-perempuan mukmin datang berhijrah kepadamu, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka, jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman, maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada orang-orang kafir (suami-suami mereka). Mereka tidak halal bagi orang kafir dan orang kafir itu juga tidak halal bagi mereka. Dan berikanlah kepada (suami) mereka mahar yang telah mereka berikan. Dan tidak ada dosa bagimu menikahi mereka apabila kamu bayarkan kepada mereka maharnya. Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali (pernikahan) dengan perempuan-perempuan kafir; dan hendaklah kamu minta kembali mahar yang telah kamu berikan; dan (jika suaminya tetap kafir) biarkan mereka meminta kembali mahar yang telah mereka bayarkan (kepada bekas isterinya yang telah beriman). Demikianlah hukum Allah yang ditetapkanNya di antara kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
11. Dan jika ada sesuatu (pengembalian mahar) yang belum kamu selesaikan dari isteri-isterimu yang lari kepada orang kafir, lalu kamu dapat mengalahkan mereka, maka berikanlah (daripada harta rampasan) kepada orang yang isterinya lari itu sebanyak mahar yang telah mereka berikan.* Dan serahkanlah kamu kepada Allah yang kepadaNya kamu beriman.
* Sebelum ghanimah dibahagikan kepada lima golongan yang berhak, dibayar lebih dahulu mahar-mahar kepada suami-suami yang isteri-isteri mereka lari ke daerah kafir.
12. Wahai Nabi! Apabila perempuan-perempuan mukmin datang kepadamu untuk mengadakan bai'at (janji setia), bahawa mereka tidak akan mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah; tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka * dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
* Perbuatan yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka di sini ialah mengadakan pengakuan-pengakuan palsu mengenai hubungan antara lelaki dan perempuan, seperti tuduhan berzina, tiduhan bahawa anak si fulan bukan anak suaminya dan sebagainya.
13. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan orang yang dimurkai Allah sebagai penolongmu. Sesungguhnya, mereka telah berputus asa terhadap akhirat sebagaimana orang kafir yang telah berada dalam kubur juga berputus asa.
No comments:
Post a Comment