Monday, 7 April 2014

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Jumu'ah

SURAH AL-JUMU'AH
(Hari Jumaat)
Surah ke-62
Terdiri daripada 11 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah, Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa, lagi Yang Maha Bijaksana.

2. Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dalam kalangan (bangsa) mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

3. Dan (juga) (telah mengutuskan Nabi Muhammad) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

4. Demikianlah kurniaan Allah, yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki: dan Allah memiliki limpah kurnia yang besar.

5. Perumpamaan orang yang diberi tugas membawa Taurat, kemudian mereka tidak membawanya (tidak mengamalkannya)* adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Sangat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
* Maksud "tidak mengamalkan" antara lain tidak membenarkan kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam.

6. Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang Yahudi! Jika kamu mengira bahawa kamulah kekasih Allah, bukan orang yang lain, maka harapkanlah kematianmu (dengan memohon kepada Allah agar kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu yang benar."

7. Dan (sudah tentu) mereka tidak akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya, disebabkan kejahatan yang telah mereka lakukan dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui orang yang zalim.

8. Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."

9. Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diseru untuk melaksanakan solat pada hati Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual beli. * Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
* Apabila imam telah naik ke atas mimbar dan muazzin telah melaungkan azan pada hari Jumaat, maka kaum muslimin wajib bersegera memenuhi panggilan muazzin itu dan meninggalkan semua pekerjaannya.

10. Apabila solat telah selesai dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung.

11. Dan apabila mereka mengetahui barang perdagangan (baru tiba) atau mendengar sesuatu hiburan, merekka segera bersurai dan menuju ke arahnya dan mereka tinggaklan engkau (wahai Muhammad) sedang berdiri (berkhutbah). Katakanlah: "Apa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada hiburan dan barang-barang dagangan itu," dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.