Sunday, 25 November 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Naba'

SURAH AL-NABA'
(Berita Besar)
Surah ke 78
Terdiri daripada 40 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya?

2. Tentang berita yang besar.*
* Berita yang besar ialah berita tentang hari berbangkit.

3. Yang dalam hal itu mereka berselisih.

4. Jangan!* Kelak mereka akan mengetahui,
* Ini adalah sanggahan terhadap pendapat orang kafir Mekah yang mengingkari hari berbangkit dan hari kiamat.

5. Sekali lagi jangan! Kelak mereka akan mengetahui.

6. Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan,

7. Dan gunung ganang sebagai pasak?

8. Dan Kami memciptakan kamu berpasang pasangan,

9. Dan Kami jadikan tidurmu sebagai istirehat,

10 Dan Kami menjadikan malam sebagai pakaian.*
* Malam itu disebut sebagai pakaian kerana malam itu gelap menutupi alam jagat seperti pakaian menutupi tubuh manusia.

11. Dan Kami menjadikan siang untuk mencari rezeki.

12. Dan Kami bina di atas kamu tujuh (lapis langit) yang kukuh,

13. Dan Kami jadikan pelita (matahari) yang terang benderang,

14. Dan Kami turunkan dari awan, air hujan yang mencurah dengan lebatnya,

15. Untuk Kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tanam tanaman.

16. Dan kebun-kebun yang rendang.

17. Sesungguhnya, kari keputusan adalah suatu waktu yang telah ditetapkan.

18 (Iaitu) pada hari (ketika) sangkakala ditiup, lalu kamu datang berbondong-bondong.

19. Dan (pada masa itu) langit pun dibuka, maka terdapatlah beberapa pintu,

20. Dan gunung-ganang pun diterbangkan (setelah dihancurkan) ke angkasa, lalu ia menjadi seperti debu yang beterbangan.

21. Sesungguhnya (neraka) Jahannam itu (sebagai) tempat mengintai (bagi penjaga yang mengawasi isi neraka)*.
* Di neraka Jahannam ada suatu tempat di amna dari tempat itu para penjaga neraka mengintai dan mengawasi isi neraka.

22. Menjadi tempat kembali bagi orang yang melampaui batas.

23. Mereka tinggal di sana dalam masa yang lama.

24. Mereka tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman,

25. Selain air yang mendidih dan bernanah.

26. Sebagai pembalasan yang setimpal.

27. Sesungguhnya dahulu mereka tidak pernah merharapkan perhitungan.

28. Dan mereka benar-benar mendustakan ayat-ayat Kami.

29. Dan segala sesuatu telah Kami catat dalam suatu kitab.*
* Kitab di sini ialah buku catatan manusia.

30. Maka kerana itu rasakanlah! Maka tidak ada yang akan Kami tambahkan ke atas kamu selain azab.

31. Sesungguhnya orang yang bertakwa mendapat kemenangan.

32. (Iaitu) kebun-kebun dan buah anggur,

33. Dan gadis-gadis yang sebaya umurnya.

34. Dan gelas-gelas yang penuh (berisi minuman).

35. Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun (perkataan) dusta.

36. Sebagai balasan dan pemberian yang cukup banyak daripada Tuhanmu,

37. Tuhan (yang memelihara) langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya; Tuhan Yang Maha Pemurah, tiada sesiapa pun yang diberi kuasa berbicara dengan Dia.

38. Pada hari, ketika roh* dan para malaikat berdiri bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata, kecuali siapa yang telah diberi izin kepadanya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah dan dia hanya mengatakan yang benar.
* Para ahli tafsir mempunyai pendapat yang berlainan tentang maksud roh dalam ayat ini. Ada yang mengatakan "Malaikat Jibril 'alahissalam", ada yang mengatakan "tentera Allah Subhanahu wa Taa'la"; dan ada pula yang mengatakan "roh manusia".

39. Itulah hari yang pasti terjadi. Maka barang siapa mengkehendaki, nescaya dia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya.

40. Sesungguhnya Kami telah peringatkan kepadamu (orang kafir) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata : " Alangkah baiknya andainya dahulu aku jadi tanah."

Saturday, 24 November 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Nazi'at

SURAH AL-NAZI'AT
(Para Malaikat Yang Mencabut)
Surah ke 79
Terdiri daripada 46 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Demi (malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan keras.

2. Demi (malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah lembut.

3. Demi (malaikat) yang turun dari langit dengan cepat.

4. Dan demi (malaikat) yang mendahului dengan kencang.

5. Dan demi (malaikat) yang mengatur urusan (dunia)*.
* Dalam ayat 1-5, Allah Subhanahu wa Taa'la bersumpah dengan malaikat-malaikat yang bermacam-macam sifat dan urusannya bahawa manusia akan dibangkitkan pada hari kiamat.

6. (Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama menggoncangkan alam,

7. (Tiupan pertama) itu diringi oleh tiupan kedua.

8. Hati manusia pada waktu itu merasa sangat takut.

9. Pandangannya tunduk.

10. (Orang kafir) berkata : "Apakah kita benar-benar akan dikembalikan kepada kehidupan kita semula (seperti keadaan di dunia dahulu)?*
* Setelah orang kafir mendengar adanya hari kebangkitan sesudah mati, mereka merasa hairan dan mengejek kerana menurut keyakinan mereka, tidak ada hari kebangkitan. Itulah sebabnya mereka bertanya demikian.

11. Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kita telah menjadi tulang-belulang yang hancur?

12. Mereka berkata : "Kalau demikian, itu adalah suatu pengembalian yang merugikan."

13. Maka pengembalian itu hanyalah dengan kembali tiupan sahaja.

14. Maka seketika itu mereka hidup kembali di bumi (yang baru).

15. Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) kisah Musa?

16. Ketika Tuhan memanggilnya (Musa) di lembah suci iaitu Lembh Tuwa;

17. Pergilah engkau kepada Firaun! Sesungguhnya dia telah melampaui batas,

18. Maka katakanlah (kepada Firaun): "Adakah kamu ingin membersihkan dirimu (daripada kesesatan)"

19. Dan mahukah, aku tunjukkan kepadamu jalan mengenal Tuhanmu agar engkau takut kepadaNya?

20. Lalu (Musa) memperlihatkan kepadanya mukjizat yang besar.

21. Tetapi dia (Firaun) mendustakan dan menderhaka.

22. Kemudian dia berpaling seraya berusaha menentang (Musa).

23. Kemudian dia mengumpulkan (pembesar) lalu berseru (memanggil kaumnya).

24. (Seraya) berkata: "Akulah tuhanmu yang paling tinggi."

25. Maka Allah menghukumnya dengan azab di akhirat dan seksaan di dunia.

26. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Allah).

27. (Wahai golongan yang ingkarkan hari kebangkitan) Apakah penciptaan kamu yang lebih sukar ataukah langit yang telah dibina ileh Allah itu?

28. Dia telah meninggikan binaan langit itu, lalu menyempurnakannya.

29. Dan Dia menjadikan malamnya (gelap gelita) dan menjadikan siangnya (terang-benderang).

30. Dan setelah itu bumi Dia hamparkan.

31. Darinya Dia pancarkan mata air, dan (ditumbuhkan) tumbuhan-tumbuhannya.

32. Dan gunung-ganang, Dia pancangkan dengan teguh.

33. (Semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakanmu.

34. Maka apabila malapetaka besar (hari kiamat) telah datang,

35. Iaitu pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya.

36. Dan neraka diperlihatkan dengan jelas kepada setiap orang yang melihat.

37. Maka adapun orang yang melampaui batas,

38. Dan lebih mengutamakan kehidupan dunia,

39. Maka sesungguhnya, nerakalah tempat tinggalnya.

40. Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada (keinginan) hawa nafsunya,

41. Maka sesungguhnya, syurgalah tempat tinggal(nya).

42. Mereka (orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah terjadinya?"*
* kata-kata ini mereka ucapkan sebagai ejekan saja bukannya mereka mempercayai hari berbangkit.

43. Untuk apa engkau perlu menyebutkannya (waktunya)?

44. Kepada Tuhanmu (dikembalikan) kesudahannya (ketentuan waktunya).

45. Engkau (wahai Muhammad) hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari kiamat).

46. Pada hari ketika mereka melihat kiamat itu, mereka merasa seakan-akan hanya tinggal (di dunia) pada waktu petang atau pagi hari.*
* Kerana hebatnya suasana hari berbangkit itu, mereka merasakan bahawa hidup di dunia adalah sebentar sahaja.

Thursday, 22 November 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah 'Abasa

SURAH 'ABASA
(Dia Bermasam Muka)
Surah ke 80
Terdiri daripada 42 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Di (Muhammad) berwajah masam dan berpaling.

2. Kerana seorang buta telah datang kepadanya.*
* Seorang buta itu bernama "Abdullah bin Ummi Maktum mendatangi Rasulullah S.A.W untuk mengetahui tentang ajaran Islam, lalu Rasulullah S.A.W bermuka masam dan berpaling kerana Baginda sedang menghadapi pembesar Quraisy dengan pengharapan agar pembesar-pembesar tersebut mahu masuk Islam. Maka turunlah ayat ini.

3. Dan tahukah engkau (wahai Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (daripada dosa).

4. Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, yang memberi manfaat kepadanya?

5. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup

6. Maka engkau (wahai Muhammad) memberi perhatian kepadanya.

7. Padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman).

8. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran).

9. Sedang dia takut (kepada Allah).

10. Engkau (Muhammad) telah mengabaikannya.

11. Sekali-kali jangan(begitu)! Sesungguhnya, (ajaran-ajaran Allah) itu suatu peringatan.

12. Maka barang siapa mengkehendaki, tentulah dia akan memperhatikannya.

13. Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan (di sisi Allah).

14. Yang ditinggikan (dan) disucikan.

15. (Terpelihara) di tangan para utusan (malaikat).

16. Yang mulia lagi berbakti.

17. Celakalah manusia! Alangkah kufurnya dia!

18.(Tidakkah dia memikirkan) daripada apakah Dia (Allah) menciptakannya?

19. Daripada setitis mani, Dia menciptakannya., lalu menentukannya.

20. Kemudian jalannya Dia mudahkan (ketika dilahirkan ibunya dan sepanjang hayatnya),

21. Kemudian Dia mematikannya lalu menguburkannya,

22. Kemudian jika Dia mengkehendaki, Dia membangkitkanya kembali.

23. Sekali-kali jangan (begitu)! Dia (manusia) itu belum melaksanakan apa yang Dia (Allah) perintahkan kepadanya.

24. Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

25. Kamilah yang telah mencurahkan air melimpah (dari langit).

26. Kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya.

27. Lalu di sana Kami tumbuhkan biji-bijian.

28. Dan anggur dan sayur-sayuran.

29. Dan zaitun dan pohon kurma.

30. Dan kebun-kebun (yang) rendang.

31. Dan buah-buahan serta rerumputan.

32. (Semua itu) untuk kesenangan dan untuk haiwan-haiwan ternakanmu.

33. Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua).

34. Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya.

35. Dan daripada ibu dan bapanya.

36. Dan daripada isteri dan anak-anaknya.

37. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya.

38. Pada hari itu ada wajah-wajah yang berseri-seri.

39. Tertawa dan gembira ria.

40. Dan pada hari itu, ada (pula) wajah-wajah yang tertutup debu (suram).

41. Tertutup oleh kegelapan (ditimpa kehinaan dan kesusahan).

42. Mereka itulah orang-orang kafir yang derhaka.

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Takwir

SURAH AL-TAKWIR
(Menggulung)
Surah ke 81
Terdiri daripada 29 ayat (Makkiyyah)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Apabila matahari menggulung.

2. Dan apabila bintang-bintang berjatuhan.

3. Dan apabila gunung-gunung dihancurkan,

4. Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan ( tidak terurus)

5. Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan.

6. Dan apabila lautan dipanaskan.

7. Dan apabila roh-roh dipertemukan (dengan tubuhnya).

8. Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya. 

9. Kerana dosa apa dia dibunuh?

10. Dan apabila lembaran-lembaran (catatan amal) telah dibuka lebar-lebar. 

11. Dan apabila langit dilenyapkan.

12. Dan apabila neraka Jahim dinyalakan.

13. Dan apabila syurga didekatkan.

14. Setiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.

15. Aku bersumpah demi bintang-bintang.

16. Yang beredar dan yang tetap pada tempatnya.

17. Demi malam apabila telah larut.

18. Dan demi Subuh apabila fajar telah menyinsing.

19. Sesungguhnya (al-Quran) itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusann yang mulia (Jibril)

20. Yang memiliki kekuatan, memiliki kedudukan tinggi di sisi (Alah) yang memiliki Arasy.

21. Yang di sana ( di alam malaikat) ditaati dan dipercayai.

22. Dan temanmu (Muhammad) itu bukanlah orang gila.

23. Dan sesungguhnya dia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril) di ufuk yang terang.

24. Dan dia (Muhammad) bukanlah seorang yang kikir (enggan) untuk menerangkan yang ghaib.

25. Dan (al-Quran) itu bukanlah perkataan syaitan yang terkutuk.

26. Maka ke manakah kamu akan pergi?*
* Sesudah diterangkan bahawa al-Quran itu benar-benar datang daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan didalamnya berisi pelajaran dan petunjuk yang menimpa manusia ke jalan yang lurus, ditanyakan kepada orang-orang kafir itu: "Jalan manakah yang akan kamu tempuh lagi?"

27. (Al-Quran) itu tidak lain adalah peringatan bagi seluruh alam.

28. (Iaitu) bagi siapa di antara kamu yang mengkehendaki menempuh jalan yang lurus.

29. Dan kamu tidak dapat mengkehendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan seluruh alam. 

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Infitar

SURAH AL-INFITAR
(Terbelah)
Surah ke 82
Terdiri daripada 19 ayat (Makkiyyah)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Apabila langit terbelah,

2. Dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan.

3. Dan apabila lautan dijadikan meluap,

4. Dan apabila kuburan-kuburan dibongkar,

5. (Maka) setiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikan(nya).

6. Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah.

7. Yang telah menciptakanmu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang,

8. Dalam bentuk apa saja yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu.

9. Sekali-kali jangan begitu! Bahkan kamu mendustakan hari pembalasan.

10. Dan sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu),

11. Yang mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat (perbuatanmu),

12. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.

13. Sesungguhnya orang yang berbakti benar-benar berada dalam (syurga yang penuh) kenikmatan.

14. Dan sesungguhnya orang yang derhaka, benar-benar berada dalam neraka.

15. Mereka masuk ke dalamnya pada hari pembalasan.

16. Dan mereka tidak mungkin keluar dari neraka itu.

17. Dan tahukah kamu apakah hari pembalasan itu?

18. Sekali lagi, tahukah kamu apakah hari pembalasan itu?

19. (Iaitu) pada hari (ketika) seseorang sama sekali tidak berdaya (menolong) orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah.

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Mutaffifin

SURAH ALMUTAFFIFIN
(Orang Yang Curang)
Surah ke 83
Terdiri Daripada 36 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Celakalah bagi orang yang curang!*
* Orang yang curang di sini ialah orang-orang yang curang dalam sukatan dan timbangan.

2. (Iaitu) apabila mereka menerima sukatan daripada orang lain, mereka meminta dipenuhi.

3. Dan apabila mereka menyukat atau menimbang (untuk orang lain), mereka mengurangkannya.

4. Tidakkah mereka itu menyangka bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan.

5. Pada suatu hari yang besar,

6. (Iaitu) pada hari (ketika) semua orang bangkit menghadap Tuhan seluruh alam.

7. Sekali-kali jangan (mereka melakukan perbuatan yang salah itu)! Sesungguhnya catatan orang yang derhaka benar-benar tersimpan dalam Sijjin.*
*Sijjin ialah nama kitab yang mencatat segala perbuatan orang derhaka.

8. Dan tahukah engkau apakah Sijjin itu?

9. (Iaitu) Kitab yang berisi catatan (amal).

10. Celakalah pada hari itu, bagi orang yang mendustakan!

11. (Iaitu) orang yang mendustakannya (hari pembalasan).

12. Dan tidak ada yang mendustakannya (hari pembalasan) kecuali setiap orang yang melampaui batas dan berdosa,

13. Yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata :"Itu adalah dongeng orang dahulu."

14. Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka.

15. Sekali-kali tidak!* Sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang daripada (melihat) Tuhannya.
* Sekali-kali tidak! seperti apa yang mereka katakan bahawa mereka dekat pada sisi Tuhan.

16. Kemudian, sesungguhnya mereka benar-benar masuk neraka.

17. Kemudian, dikatakan (kepada mereka): " Inilah (azab) yang dahulu kamu dustakan.

18. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya catatan orang yang berbakti benar-benar tersimpan dalam 'Illiyyin.*
* Illiyyin ialah nama kitab yang mencatat segala perbuatan orang berbakti.

19. Dan tahukah engkau apakah 'Illiyyin itu?

20. (Iaitu) Kitab yang berisi catatan (amal).

21 Yang disaksikan oleh (malaikat-malaikat) yang didekatkan (kepada Allah).

22. Sesungguhnya orang yang berbakti benar-benar berada dalam (syurga yang penuh) kenikmatan.

23. Mereka (duduk berehat) di atas pelamin-pelamin sambil memandang-mandang (kenikmatan yang diberikan).

24. Kamu dapat mengetahui daripada wajah mereka kesenangan hidup penuh kenikmatan.

25. Mereka diberi minum daripada khamar murni (tidak memabukkan) yang (bekasnya) masih bersalut.

26. (Bahan) salutannya daripada Kasturi. Dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba bagi merebut kelebihan dan kesenangan itu.

27. Dan campurannya daripada tasnim,

28. (Iaitu) mata air yang diminum oleh mereka yang dekat (kepada Allah).

29. Sesungguhnya orang yang berdosa adalah mereka yang dahulunya mentertawakan orang yang beriman.

30. Dan apabila mereka (orang yang beriman) melintas di hadapan mereka, mereka saling mengerdip-ngerdip matanya.

31. Dan apabila mereka kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira ria.

32. Dan apabila mereka melihat (orang mukmin), mereka mengatakan: " Sesungguhnya mereka benar-benar orang yang sesat."

33. Padahal (orang yang berdosa itu), mereka tidak diutus sebagii penjaga (orang mukmin).

34. Maka pada hari ini, orang yang beriman yang mentertawakan orang kafir.

35. Mereka (duduk berehat) di atas pelamin-pelamin serta melihat (hal keadaan yang berlaku kepada orang yang kafir).

36. Apakah orang kafir itu diberi balasan (hukuman) terhadap apa yang telah mereka lakukan?.

Wednesday, 21 November 2012

Terjemahan A-Quran ~ Surah Al-Insyiqaq

SURAH AL-INSYIQAQ
(Terbelah)
Surah ke 84
Terdiri daripada 25 ayat ( Makkiyyah)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Apabila langit terbelah.

2. Dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya patuh.

3. Dan apabila bumi diratakan.

4. Dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong.

5. Dan patuh kepada Tuhannya dan sudah semestinya patuh.

6. Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya.*
* Manusia di dunia ini, baik disedari atau tidak, adalah dalam perjalanan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dan tidak dapat tidak dia akan menemui Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk menerima pembalasanNya dari perbuatannya yang buruk mahupun yang baik.

7. Maka adapun orang yang catatannya diberi dari sebelak kanannya,

8. Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah.

9. Dan dia akan kembali kepada keluarganya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.

10. Dan adapun orang yang catatanya diberikan dari sebelah belakang,

11. Maka dia akan berteriak : "Celaka aku!."

12. Dan dia akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

13. Sesungguhnya, dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan keluarganya (yang sama-sama kafir).

14. Sesungguhnya dia mengira  bahawa dia tidak akan kembali (kepada Tuhannya).

15. Tidak demikian, sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya.

16. Maka Aku bersumpah demi cahaya merah pada waktu senja.

17. Demi malam dan apa yang diselubunginya.

18. Demi bulan apabila jadi purnama.

19. Sesungguhnya akan kamu jalani peringkat demi peringkat (dalam kehidupan)*.
* Peringkat demi peringkat ialah setitis air mani sampai dilahirkan, kemudian melalui masa kanak-kanak, remaja dan sampai dewasa. Daripada hidup menjadi mati, kemudian dibangkitkan kembali.

20. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

21. Dan apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka tidak (mahu) sujud.

22. Bahkan orang kafir itu mendustakan(nya).

23. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan (dalam hati mereka).

24. Maka sampaikanlah kepada mereka (ancaman) azab yang pedih.

25. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putusnya.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Buruj

SURAH AL-BURUJ
(Gugusan Bintang)
Surah ke - 85
Terdiri daripada 22 ayat (Makkiyyah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

1. Demi langit yang mempunyai gugusan bintang.

2. Dan demi hari yang dijanjikan.

3. Demi yang menyaksikan dan yang disaksikan,

4. Binasalah orang yang membuat parit.*
* Iaitu pembesar -pembesar Najran di Yaman.

5. Yang berapi (yang mempunyai) kayu bakar,

6. Ketika mereka duduk di sekelilingnya.

7. Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang mukmin.

8. Dan mereka menyeksa orang mukmin itu hanya kerana (orang mukmin itu) beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Terpuji,

9. Yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

10. Sesungguhnya orang yang mendatangkan cubaan* kepada orang mukmin lelaki dan perempuan, lalu mereka tidak bertaubat, maka mereka akan mendapat azab Jahannam dan mereka akan mendapat azab (neraka) yang membakar.
* Mendatangkan cubaan ialah seperti menyeksa, mendatangkan bencana, membunuh dan sebagainya.

11. Sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungau, itulah kemenangan yang besar.

12.  Sesungguhnya azab Tuhan sangat keras.

13. Sesungguhnya Dialah yang memulakan penciptaan (makhluk) dan yang menghidupkannya (kembali).

14. Dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.

15. Yang memiliki Arasy, lagi Maha Mulia.

16. Maha Kuasa berbuat apa yang Dia kehendaki.

17. Sudahkah sampai kepadamu berita tentang bala tentera (penentang),

18. (Iaitu) Firaun dan Thamud?

19. Memang orang kafir (selalu) mendustakan.

20. Padahal Allah mengepung dari belakang mereka.*
* Mereka tidak dapat lepas daripada kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

21. Bahkan (yang didustakan itu) ialah Al-Quran yang mulia,

22. Yang (tersimpan) dalam (tempat) yang terjaga (Lauh Mahfuz).

Sunday, 18 November 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Tariq

SURAH AL-TARIQ
(Yang Datang Di Malam Hari)
Surah ke 86
Terdiri daripada 17 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

1. Demi langit dan Al-Tariq (yang datang pada malam hari).

2. Dan tahukah kamu apakah Al-Tariq itu?

3. (Iaitu) bintang yang bersinar tajam.

4. Setiap orang pasti ada penjaganya.

5. Maka hendaklah manusia memikirkan daripada apa dia diciptakan.

6. Dia diciptakan daripada air (mani) yang terpancar.

7. Yang keluar daripada antara tulang punggung (sulbi) dan tulang dada.

8. Sesungguhnya, Allah benar-benar berkuasa untuk mengembalikannya (hidup setelah mati).

9. Pada hari dizahirkan segala rahsia.

10. Maka manusia tidak lagi mempunyai suatu kekuatan dan tidak (pula) ada penolong.

11. Demi langit yang mengandungi hujan.*
* Al-Raj'i bererti kembali. Hujan dinamakan Al-Raj'i dalam ayat ini, kerana hujan itu berasal daripada wap yang naik dari bumi ke udara, kemudian turun ke bumi, kemudian kembali ke atas dan dari atas kembali ke bumi dan begitulah seterusnya.

12. Dan bumi yang mempunyai tumbuh-tumbuhan.

13. Sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar firman pemisah (antara yang hak dan yang batil).

14. Dan bukanlah (Al-Quran) itu kata-kata senda gurauan.

15. Sesungguhnya mereka (orang kafir) merancangkan tipu daya yang jahat.

16. Dan Aku pun membuat rancangan (tipu daya) yang jitu.

17. Kerana itu berilah penangguhan kepada orang-orang kafir. Berilah mereka kesempatan untuk sementara waktu.

Saturday, 17 November 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-A'la

SURAH AL-A'LA
( Yang Paling Tinggi)
Surah ke-87
Terdiri daripada 19 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi,

2. Yang menciptakan, lalu menyempurnakan (penciptaanNya).

3. Yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk.

4. Dan Yang menumbuhkan rerumputan untuk binatang ternakan.

5. Lalu dijadikanNya (rumput-rumput) itu kering kehitaman.

6. Kami akan membacakan (Al-Quran) kepadamu (Muhammad) sehingga engkau tidak akan lupa.

7. Kecuali jika Allah mengkehendaki. Sesungguhnya, Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi.

8. Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk melaksanakan syariat yang mudah*.
* Jalan yang membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

9. Oleh sebab itu berikanlah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat.

10. Orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran.

11. Dan orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya.

12. (Iaitu) orang yang memasuki api yang besar (neraka).

13. Selanjutnya dia di sana tidak mati dan tidak (pula) hidup.

14. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan diri (dengan beriman).

15. Dan mengingati nama Tuhannya, lalu dia solat.

16. Sedangkan kamu (orang kafir) memilih kehidupan dunia.

17. pada hal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.

18. Sesungguhnya ini terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu.

19. (Iaitu) kitab-kitab Ibrahim dan Musa.

Saturday, 3 November 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Ghashiyah

SURAH AL-GHASHIYAH
(Hari Pembalasan)
Surah ke-88
Terdiri daripada 26 ayat (Makkiyyah)











Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Sudahkah sampai kepadamu berita tentang (hari kiamat)?

2. Pada hari itu banyak wajah yang tertunduk hina,

3. (Kerana) mereka bekerja keras lagi kepayahan.

4. Mereka memasuki api yang sangat panas (neraka).

5. Diberi minum daripada sumber mata air yang sangat panas.

6. Tidak ada makanan bagi mereka selain daripada pohon yang berduri.

7. Yang tidak menggemukkan dan yang tidak menghilangkan lapar.

8. Pada hari itu banyak (pula) wajah yang berseri-seri.

9. Mereka senang kerana usahanya (sendiri).

10. (Mereka) dalam syurga yang tinggi.

11. Di sana (mereka) tidak mendengar perkataan yang tidak berguna.

12. Di sana ada mata air yang mengalir.

13. Di sana ada pelamin-pelamin yang ditinggikan.

14. Dan gelas-gelas yang tersedia (berdekatannya).

15 Dan bantal-bantal sandaran yang tersusun.

16. Dan permaidani-permaidani yang terhampar.

17. Maka tidakkah mereka memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?

18. Dan langit, bagaimana ditinggikan?

19. Dan gunung-ganang, bagaimana ditegakkan?

20. Dan bumi, bagaimana dihamparkan?

21. Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan.

22. Engkau bukanlah orang yang berkuasa atas merek.

23. Kecuali (jika ada) orang yang berpaling dan kafir.

24. Maka Allah akan mengazabkannya dengan azab yang besar.

25. Sesungguhnya, kepada Kamilah mereka kembali.

26. Kemudian sesungguhnya (kewajipan) Kamilah membuat perhitungan ke atas mereka.