Sunday, 18 November 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Tariq

SURAH AL-TARIQ
(Yang Datang Di Malam Hari)
Surah ke 86
Terdiri daripada 17 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

1. Demi langit dan Al-Tariq (yang datang pada malam hari).

2. Dan tahukah kamu apakah Al-Tariq itu?

3. (Iaitu) bintang yang bersinar tajam.

4. Setiap orang pasti ada penjaganya.

5. Maka hendaklah manusia memikirkan daripada apa dia diciptakan.

6. Dia diciptakan daripada air (mani) yang terpancar.

7. Yang keluar daripada antara tulang punggung (sulbi) dan tulang dada.

8. Sesungguhnya, Allah benar-benar berkuasa untuk mengembalikannya (hidup setelah mati).

9. Pada hari dizahirkan segala rahsia.

10. Maka manusia tidak lagi mempunyai suatu kekuatan dan tidak (pula) ada penolong.

11. Demi langit yang mengandungi hujan.*
* Al-Raj'i bererti kembali. Hujan dinamakan Al-Raj'i dalam ayat ini, kerana hujan itu berasal daripada wap yang naik dari bumi ke udara, kemudian turun ke bumi, kemudian kembali ke atas dan dari atas kembali ke bumi dan begitulah seterusnya.

12. Dan bumi yang mempunyai tumbuh-tumbuhan.

13. Sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar firman pemisah (antara yang hak dan yang batil).

14. Dan bukanlah (Al-Quran) itu kata-kata senda gurauan.

15. Sesungguhnya mereka (orang kafir) merancangkan tipu daya yang jahat.

16. Dan Aku pun membuat rancangan (tipu daya) yang jitu.

17. Kerana itu berilah penangguhan kepada orang-orang kafir. Berilah mereka kesempatan untuk sementara waktu.

No comments:

Post a Comment