Monday, 31 December 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al- Muddaththir

SURAH AL-MUDDATHTHIR
Orang Yang Berselimut
Surah Ke 74
Terdiri daripada 56 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Wahai orang yang berselimut!

2. Bangunlah, lalu berilah peringatan!

3. Dan agungkanlah Tuhanmu.

4. Dan bersihkanlah pakaianmu.

5. Dan tinggalkanlah segala (perbuatan) yang keji.

6. Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) memberi sesuatu (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang banyak.

7. Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah.

8. Maka apabila sangkakala ditiup,

9. Maka itulah hari yang serba sulit,

10. Bagi orang kafir, lagi tidak mudah.

11. Biarlah Aku (yang bertindak) terhadap orang yang Aku sendiri telah menciptakannya,*
* Ayat ini dan beberapa ayat berikutnya diturunkan mengenai orang kafir Mekah, pemimpin Quraisy bernama al-Walid bin al-Mughirah.

12. Dan Aku berikan baginya kekayaan yang melimpah,

13. Dan anak-anak yang selalu bersamanya,

14. Dan Aku berikan baginya kelapangan (hidup) seluas-luasnya.

15. Kemudian dia ingin sekali agar Aku menambahnya.

16. Tidak boleh! Sesungguhnya dia telah menentang ayat-ayat Kami (al-Quran).

17. Aku akan membebaninya dengan pendakian yang amat menyusahkan.

18. Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan (merekka-reka pelbagai tuduhan terhadap al-Quran).

19. Maka celakalah dia! Bagaimana dia berani mereka-reka (yang demikian)?

20. Sekali lagi, celakalah dia! Bagaimana mereka berani mereka-reka?

21. Kemudia dia (merenung) memikirkan,

22. Lalu berwajah masam dan berkerut,

23. Kemudian berpaling (daripada kebenaran) dan menyombongkan diri.

24. Lalu dia berkata :" (Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (daripada yang dahulu)..

25. Ini hanyalah perkataan manusia."

26. Kelak, Aku akan memasukkannya ke dalam (neraka) Saqar.

27. Dan tahukah kamu apa (neraka) Saqar itu?

28. Ia (Saqar itu) tidak meninggalkan dan tidak membiarkan,*
* Apa yang dilemparkan ke dalam neraka itu diazabnya sampai binasa kemudian dikembalikannya sebagaimana asalnya untuk diazab kembali.

29. Yang menghanguskan dan membakar kulit manusia.

30. Di neraka itu ada sembilan belas (malaikat penjaga).

31. Dan yang Kami jadikan penjaga neraka itu hanya daripada kalangan malaikat; dan Kami menentukan bilangan mereka itu hanya sebagai cubaan bagi orang kafir, agar orang yang diberi kitab menjadi yakin, agar orang yang beriman bertambah imannya, agar orang yang diberikan kitab dan orang mukmin tidak ragu-ragu; dan agar orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang kafir (berkata): " Apakah yang dikehendaki Allah dengan (bilangan) ini suatu perumpamaan?" Demikianlah Allah menyesatkan orang yang Dia kehendaki. Dan tidak ada yang mengetahui bala tentera Tuhanmu kecuali Dia sendiri. Dan Saqar itu tidak lain hanyalah peringatan bagi manusia.

32. Tidak!* Demi bulan,
* "Tidak" adalah bantahan terhadap ucapan-ucapan orang musyrik yang mengingkari hal-hal tersebut di atas.

33. Dan demi malam ketika telah berlalu,

34. Dan demi Subuh apabila mulai terang,

35. Sesungguhnya (Saqar itu) adaah salah satu (bencana) yang sangat besar,

36. Sebagai peringatan bagi manusia,

37. (Iaitu) bagi siapa di antara kamu yang ingin maju atau mundur*
* Maju di sini ialah maju menerima peringatan dan mundur di sini ialah tidak mahu menerima peringatan.

38. Setiap orang bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya,

39. Kecuali golongan kanan,

40. Berada di dalam syurga, mereka saling menanyakan,

41. Tentang (keadaan) orang yang berdosa,

42. "Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"

43. Mereka menjawab : "Dahulu kami tidak termasuk orang yang melaksanakan solat,"

44. Dan kami (juga) tidak memberi makan orang miskin,

45. Bahkan kami biasa berbincang (untuk tujuan yang batil), bersama orang yang membicarakannya,

46. Dan kami mendustakan hari pembalasan,

47. Sampai datang kepada kami kematian."

48. Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat (pertolongan) daripada orang yang memberikan syafaat.

49. Lalu mengapa mereka (orang kafir) berpaling daripada peringatan (Allah)?

50. Seakan-akan mereka sekawan keldai liar yang lari terkejut,

51. Lari daripada singa.

52. Bahkan setiap orang daripada mereka ingin agar diberikan kepadanya lembaran-lembaran (kitab) yang terbuka.

53. Tidak! Sebenarnya mereka tidak takut kepada akhirat.

54. Tidak! Sesungguhnya (al-Quran) itu benar-benar sesuatu peringatan.

55. Maka barang siapa mengkehendaki, tentu dia mengambil pengajaran daripadanya.

56. Dan mereka tidak akan mengambil pengajaran daripadanya (al-Quran) kecuali (jika) Allah mengkehendakinya. Dialah Tuhan yang patut (kita) bertakwa kepadaNya yang berhak memberi keampunan.

Sunday, 30 December 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Qiyamah

SURAH AL-QIYAMAH
(Hari Kiamat)
Surah ke-75
Terdiri daripada 40 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Aku bersumpah dengan hari Kiamat.

2. Dan aku bersumpah demi jiwa yang selalu menyesali (diri sendiri)

3. Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya?

4. (Bahkan) Kami mampu menyusun (kembali) jari-jemarinya dengan sempurna.

5. Tetapi manusia hendak membuat maksiat terus-menerus.

6. Dia bertanya : "Bilakah hari kiamat itu?"

7. Maka apabila mata terbeliak (ketakutan),

8. Dan bulan pun telah hilang cahayanya,

9. Lalu matahari dan bulan dikumpulkan,

10. Pada hari itu manusia berkata : "Ke mana tempat lari?"

11. Tidak! Tidak ada tempat berlindung!

12. Hanya pada Tuhanmu tempat kembali pada hari itu.

13. Pada hari diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya.

14. Bahkan manusia menjadi saksi atas dirinya sendiri,*
* Anggota-anggota badan manusia menjadi saksi terhadap pekerjaan yang telah mereka lalukan seperti tersebut dalam Surah An-Nur ayat 24.

15. Dan meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.

16. Janganlah engkau (Muhammad) gerakkan lidahmu (untuk membaca al-Quran) kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya.

17. Sesungguhnya Kami yang akan mengumpulkannya (di dadamu) dan membacakannya.

18. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya.

19. Kemudian sesungguhnya Kami akan menjelaskannya.

20. Tidak! Bahkan kamu mencintai kehidupan dunia,

21. Dan mengabaikan (kehidupan) akhirat.

22. Wajah-wajah (orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

23. Memandang Tuhannya.

24. Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram.

25. Mereka yakin bahawa akan ditimpakan kepadanya malapetaka yang sangat dahsyat.

26. Tidak! Apabila (nyawa) telah sampai ke kerongkongnya.

27. Dan dikatakan (kepadanya): " Siapa yang dapat menyembuhkan?"

28. Dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahan (dengan dunia).

29. Dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan),*
* Kerana hebatnya penderitaan di saat akan mati dan ketakutan akan meninggalkan dunia dan menghadapi akhirat.

30. Kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dibawa ( untuk menerima balasan).

31. Kerana dia (dahulu) tidak mahu membenarkan (al-Quran dan Rasul) dan tidak mahu melaksanakan solat,

32. Akan tetapi dia mendustakan (Rasul) dan berpaling (daripada kebenaran).

33. Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan sombong.

34. Celakalah kamu! Maka celakalah!.

35. Sekali lagi, celakalah kamu (manusia)! Maka celakalah!*
* Kutukan terhadap orang kafir ini diulang-ulang sanpai empat kali : pertama : pada saat ia akan mati, kedua: ketika ia di dalam kubur, ketiga: pada waktu hari berbangkit, dan keempat: di dalam Neraka Jahannam.

36. Apakah manusia mengira, dia akan dibiarkan begitu sahaja ( dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan kembali untuk menerima balasan)?

37. Bukankah dia mulanya hanya setitis mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim).

38. Kemudian (mani itu) menjadi sesuatu yang melekat, lalu Allah menciptakannya dan menyempurnakannya.

39. Lalu Dia menjadikan dirinya sepasang lelaki dan perempuan.

40. Bukankah (Allah yang berbuat) demikian, berkuasa (pula) menghidupkan orang mati?

Saturday, 15 December 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Insan

SURAH AL-INSAN
(Manusia)
Surah ke 76
Terdiri daripada 31 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Bukankah pernah datang kepada manusia satu waktu daripada masa (yang beredar) sedangkan dia (masih belum wujud lasi, dan) tidak menjadi sesuatu yang disebut-sebut?

2. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur* yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
* Bercampur antara benih lelaki dan perempuan.

3. Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus; ada yangbersyukur dan ada pula yang kufur.

4. Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi orang kafir rantai; belenggu dan neraka yang menyala-nyala.

5. Sesungguhnya orang yang berbuat kebajikan akan minum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur*.
* Kafur ialah nama suatu mata air di dalam syurga yang airnya putih dan baunya sedap serta enak sekali rasanya.

6. (iaitu) mata air (dalam syurga) yang diminum oleh hamba-hamba Allah (yang taat) dan mereka dapat mengalirkan mata air itu dengan sebaik-baiknya.

7. Mereka memenuhi nazar dan mereka takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.

8. Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.

9. (Sambil berkata): "Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah kerana mengharap keredaan Allah, kami tidak mengharap sebarang balasan dan ucapan terima kasih daripada kamu.

10. Sesungguhnya kami takut dengan (azab) Tuhan pada hari (ketika) orang yang bersalah berwajah masam penuh kesulitan."

11. Maka Allah melindungi mereka daripada kesusahan hari itu dan memberikan mereka keceriaan dan kegembiraan.

12. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya) dengan syurga dan (pakaian daripada) sutera.

13. Di sana mereka duduk bersandar di atas pelamin-pelamin (yang berhias), di sana mereka tidak melihat (merasa teriknya) matahari dan tidak juga merasai dingin yang berlebihan.

14. Dan naungan (pepohonan)nya dekat kepada mereka dan dimudahkan semudah-mudahnya untuk memetik (buah)nya.

15. Dan kepada mereka diedarkan bejana-bejana daripada perak dan piala-piala minuman yang jernih laksana kristal,

16. Kristal yang jernih berbuat daripada perak, mereka tentukan ukurannya yang sesuai (dengan kehendak mereka).

17. Dan di sana mereka diberi minum sejenis minuman yang campurannya daripada "zanjabil".

18. (Yang didatangkan daripada) sesuah mata air (di syurga) yang dinamakan Salsabil.

19. Dan mereka dikelilingi oleh para pemuda-pemuda yang tetap muda. Apabila kamu melihatnya, kamu akan kira mereka mutiara yang bertaburan.

20. Dan apabila engkau menlihat (keadaan) di sana (syurga), nescaya engkau akan melihat pelbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar.

21. Mereka berpakaian sutera hijau yang halus dan sutera tebal serta memagai gelang yang diperbuat daripada perak dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih (dan suci).

22. Inilah balasan untuk kamu, dan segala usaha kamu diterima dan diakui (Allah).

23. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) secara beransur-ansur.

24. Maka bersabarlah untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah engkau ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.

25. Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang.

26. Dan pada sebahagian daripada waktu malam, maka bersujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada sebahagian yang panjang daripada waktu malam.

27. Sesungguhnya mereka (orang kafir) itu mencintai kehidupan (dunia) dan meninggalkan hari yang berat (hari akhirat) di belakangnya.

28. Kami telah menciptakan mereka dan menguatkan persendian tulang (tulang sendi dan urat saraf) mereka. Dan jika Kami mengkehendaki, Kami gantikan mereka dengan orang yang serupa dengan mereka.

29. Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah peringatan, maka barangsiapa mengkehendaki (kebaikan bagi dirinya) tentu dia mengambil jalan menuju kepada Tuhannya.

30. Tetapi kamu tidak mampu (menempuh jalan itu), kecuali apabila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

31. Dia masukkan siapapun yang Dia kehendaki ke dalam rahmatNya (syurga). Adapun bagi orang yang zalim disediakanNya azab yang pedih.

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Mursalat

SURAH AL-MURSALAT
(Para Malaikat Yang Diutus)
Surah ke 77
Terdiri daripada 50 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

1. Demi (malaikat-malaikat) yang diutuskan untuk menjalankan tugas-tugasnya.

2. Dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya.*
* Terbang untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Taa'la.

3. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan (rahmat Allah) dengan seluas-luasnya,*
* Di waktu malaikat turun untuk membawa wahyu, sebahagian ahli tafsir berpebdapat, an-Naasyirat ialah angin yang bertiup dengan membawa hujan.

4. Dan (malaikat-malaikat) yang membezakan (antara yang baik dan yang buruk) dengan sejelas-jelasnya.

5. Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu,

6. Untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan.

7. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu pasti terjadi.

8. Maka apabila bintang-bintang dihapuskan,

9. Dan apabila langit terbelah,

10. Dan apabila gunung-gunung dihancurkan menjadi debu,

11. Dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktunya.*
* Waktu untuk berkumpul bersama-sama umat mereka masing-masing.

12. (Nescaya dikatakan kepada mereka): "Sampai hari apakah ditangguhkan (azab orang kafir itu)?"

13. Sampai hari keputusan.

14. Dan tahukah kamu apakah hari keputusan itu?

15. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

16. Bukankah telah Kami binasakan orang yang dahulu?

17. Lalu Kami susulkan (azab Kami terhadap) orang yang datang kemudian.

18. Demikianlah Kami perlakukan terhadap orang yang berdosa.

19. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

20. Bukankah Kami telah menciptakan kamu daripada air yang hina.*
* Air yang hina ialah air mani.

21. Kemudian Kami letakkan ia di dalam tempat yang kukuh (rahim),

22. Sampai waktu yang ditentukan,

23. Lalu Kami tentukan (bentuknya), maka (Kamilah) sebaik-baik yang menentukan.

24. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

25. Bukankah Kami jadikan bumi untuk (tempat) berkumpul,

26. Bagi yang masih hidup dan yang sudah mati?*
* Bumi mengumpulkan orang hidup di permukaannya dan orang mati di dalam perutnya.

27. Dan Kami jadikan padanya gunung-ganang yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?

28. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

29. (Akan dikatakan): " Pergilah kamu mendapatkan apa (azab) yang dahulu kamu dustakan.

30. Pergilah kamu mendapatkan naungan (asap api neraka) yang mempunyai tiga cabang,*
* Naungan disini bukanlah naungan untuk berteduh, akan tetapi asap ape neraka yang mempunyai tiga gejolak, iaitu di kanan, kiri dan atas. Ini bererti bahawa azab itu mengepung orang kafir dari segala penjuru.

31. Yang tidak melindungi dan tidak pula menolak nyalaan api neraka.

32. Sesungguhnya (neraka) itu menyemburkan bunga api (sebesar dan setinggi) istana.

33. Seakan-akan iring-iringan unta yang kuning.

34. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

35. Inilah hari, saat mereka tidak dapat berbicara.

36. Dan tidak diizinkan kepada mereka mengemukakan alasan agar mereka dimaafkan.

37. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

38. Inilah hari keputusan; (pada hari ini) Kami kumpulkan kamu dan orang yang terdahulu.

39. Maka jika kamu punya tipu daya, maka lakukanlah (tipu daya) itu terhadapKu

40. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

41. Sesungguhnya orang yang bertakwa berada dalam naungan (pepohonan syurga yang teduh) dan (di sekitar) mata air,

42. Dan buah-buahan yang mereka sukai.

43. (katakanlah kepada mereka): "Makan dan minumlah dengan rasa nikmat sebagai balasan daripada apa yang telah kamu kerjakan."

44. Sesungguhnya, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik.

45. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

46. (Katakanlah kepada orang kafir): "Makanlah dan bersenang-senanglah kamu ( di dunia) sebentar, sesungguhnya kamu orang yang derhaka!"

47. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).

48. Dan apabila dikatakan kepada mereka : " Rukuklah," mereka tidak mahu rukuk. *
* Sebahagian ahli tafsir mengatakan, rukuk di sini adalah tunduk kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan sebahagian yang lainnya mengatakan solat.

49. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran)!

50. Maka kepada ajaran manakah (selain Al-Quran) ini mereka akan beriman?