SURAH AL-INSAN
(Manusia)
Surah ke 76
Terdiri daripada 31 ayat (Madaniyyah)
1. Bukankah pernah datang kepada manusia satu waktu daripada masa (yang beredar) sedangkan dia (masih belum wujud lasi, dan) tidak menjadi sesuatu yang disebut-sebut?
2. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur* yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
* Bercampur antara benih lelaki dan perempuan.
3. Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus; ada yangbersyukur dan ada pula yang kufur.
4. Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi orang kafir rantai; belenggu dan neraka yang menyala-nyala.
5. Sesungguhnya orang yang berbuat kebajikan akan minum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur*.
* Kafur ialah nama suatu mata air di dalam syurga yang airnya putih dan baunya sedap serta enak sekali rasanya.
6. (iaitu) mata air (dalam syurga) yang diminum oleh hamba-hamba Allah (yang taat) dan mereka dapat mengalirkan mata air itu dengan sebaik-baiknya.
7. Mereka memenuhi nazar dan mereka takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.
8. Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.
9. (Sambil berkata): "Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah kerana mengharap keredaan Allah, kami tidak mengharap sebarang balasan dan ucapan terima kasih daripada kamu.
10. Sesungguhnya kami takut dengan (azab) Tuhan pada hari (ketika) orang yang bersalah berwajah masam penuh kesulitan."
11. Maka Allah melindungi mereka daripada kesusahan hari itu dan memberikan mereka keceriaan dan kegembiraan.
12. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya) dengan syurga dan (pakaian daripada) sutera.
13. Di sana mereka duduk bersandar di atas pelamin-pelamin (yang berhias), di sana mereka tidak melihat (merasa teriknya) matahari dan tidak juga merasai dingin yang berlebihan.
14. Dan naungan (pepohonan)nya dekat kepada mereka dan dimudahkan semudah-mudahnya untuk memetik (buah)nya.
15. Dan kepada mereka diedarkan bejana-bejana daripada perak dan piala-piala minuman yang jernih laksana kristal,
16. Kristal yang jernih berbuat daripada perak, mereka tentukan ukurannya yang sesuai (dengan kehendak mereka).
17. Dan di sana mereka diberi minum sejenis minuman yang campurannya daripada "zanjabil".
18. (Yang didatangkan daripada) sesuah mata air (di syurga) yang dinamakan Salsabil.
19. Dan mereka dikelilingi oleh para pemuda-pemuda yang tetap muda. Apabila kamu melihatnya, kamu akan kira mereka mutiara yang bertaburan.
20. Dan apabila engkau menlihat (keadaan) di sana (syurga), nescaya engkau akan melihat pelbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar.
21. Mereka berpakaian sutera hijau yang halus dan sutera tebal serta memagai gelang yang diperbuat daripada perak dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih (dan suci).
22. Inilah balasan untuk kamu, dan segala usaha kamu diterima dan diakui (Allah).
23. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) secara beransur-ansur.
24. Maka bersabarlah untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah engkau ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.
25. Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang.
26. Dan pada sebahagian daripada waktu malam, maka bersujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada sebahagian yang panjang daripada waktu malam.
27. Sesungguhnya mereka (orang kafir) itu mencintai kehidupan (dunia) dan meninggalkan hari yang berat (hari akhirat) di belakangnya.
28. Kami telah menciptakan mereka dan menguatkan persendian tulang (tulang sendi dan urat saraf) mereka. Dan jika Kami mengkehendaki, Kami gantikan mereka dengan orang yang serupa dengan mereka.
29. Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah peringatan, maka barangsiapa mengkehendaki (kebaikan bagi dirinya) tentu dia mengambil jalan menuju kepada Tuhannya.
30. Tetapi kamu tidak mampu (menempuh jalan itu), kecuali apabila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
31. Dia masukkan siapapun yang Dia kehendaki ke dalam rahmatNya (syurga). Adapun bagi orang yang zalim disediakanNya azab yang pedih.
No comments:
Post a Comment