Sunday, 30 December 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Qiyamah

SURAH AL-QIYAMAH
(Hari Kiamat)
Surah ke-75
Terdiri daripada 40 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Aku bersumpah dengan hari Kiamat.

2. Dan aku bersumpah demi jiwa yang selalu menyesali (diri sendiri)

3. Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya?

4. (Bahkan) Kami mampu menyusun (kembali) jari-jemarinya dengan sempurna.

5. Tetapi manusia hendak membuat maksiat terus-menerus.

6. Dia bertanya : "Bilakah hari kiamat itu?"

7. Maka apabila mata terbeliak (ketakutan),

8. Dan bulan pun telah hilang cahayanya,

9. Lalu matahari dan bulan dikumpulkan,

10. Pada hari itu manusia berkata : "Ke mana tempat lari?"

11. Tidak! Tidak ada tempat berlindung!

12. Hanya pada Tuhanmu tempat kembali pada hari itu.

13. Pada hari diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya.

14. Bahkan manusia menjadi saksi atas dirinya sendiri,*
* Anggota-anggota badan manusia menjadi saksi terhadap pekerjaan yang telah mereka lalukan seperti tersebut dalam Surah An-Nur ayat 24.

15. Dan meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.

16. Janganlah engkau (Muhammad) gerakkan lidahmu (untuk membaca al-Quran) kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya.

17. Sesungguhnya Kami yang akan mengumpulkannya (di dadamu) dan membacakannya.

18. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya.

19. Kemudian sesungguhnya Kami akan menjelaskannya.

20. Tidak! Bahkan kamu mencintai kehidupan dunia,

21. Dan mengabaikan (kehidupan) akhirat.

22. Wajah-wajah (orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

23. Memandang Tuhannya.

24. Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram.

25. Mereka yakin bahawa akan ditimpakan kepadanya malapetaka yang sangat dahsyat.

26. Tidak! Apabila (nyawa) telah sampai ke kerongkongnya.

27. Dan dikatakan (kepadanya): " Siapa yang dapat menyembuhkan?"

28. Dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahan (dengan dunia).

29. Dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan),*
* Kerana hebatnya penderitaan di saat akan mati dan ketakutan akan meninggalkan dunia dan menghadapi akhirat.

30. Kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dibawa ( untuk menerima balasan).

31. Kerana dia (dahulu) tidak mahu membenarkan (al-Quran dan Rasul) dan tidak mahu melaksanakan solat,

32. Akan tetapi dia mendustakan (Rasul) dan berpaling (daripada kebenaran).

33. Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan sombong.

34. Celakalah kamu! Maka celakalah!.

35. Sekali lagi, celakalah kamu (manusia)! Maka celakalah!*
* Kutukan terhadap orang kafir ini diulang-ulang sanpai empat kali : pertama : pada saat ia akan mati, kedua: ketika ia di dalam kubur, ketiga: pada waktu hari berbangkit, dan keempat: di dalam Neraka Jahannam.

36. Apakah manusia mengira, dia akan dibiarkan begitu sahaja ( dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan kembali untuk menerima balasan)?

37. Bukankah dia mulanya hanya setitis mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim).

38. Kemudian (mani itu) menjadi sesuatu yang melekat, lalu Allah menciptakannya dan menyempurnakannya.

39. Lalu Dia menjadikan dirinya sepasang lelaki dan perempuan.

40. Bukankah (Allah yang berbuat) demikian, berkuasa (pula) menghidupkan orang mati?

No comments:

Post a Comment