Saturday, 1 November 2014

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Saff

SURAH AL-SAFF
(Barisan)
Surah ke-61
Terdiri daripada 14 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Apa yang ade di langit dan apa yang ada di bumi bertasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Perkasa, Lagi Maha Bijaksana.

2. Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?

3. (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

4. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, seolah-olah mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

5. Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya : "Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini utusan Allah kepadamu?" Maka ketika mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalikngkan hati mereka.* Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.
* Kerana mereka berpaling daripada kebenaran, maka Allah menyesatkan hati mereka sehingga bertambah jauh daripada kebenaran.

6. Dan (ingatlah) ketika Isa putera Maryam berkata: "Wahai Bani Israel! Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, yang membenarkan kitab (yang turun) sebelumku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan kedatangan seorang rasul yang akan datang setelahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)." Namun ketika Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata : "Itu adalah sihir yang nyata.".

7. Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah, padahal dia diajak kepada (agama) Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

8. Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang musyrik membencinya.

9. Dialah yang mengutus RasulNya (Nabi Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, untuk memenangkannya di atas segala agama yang lain meskipun orang musyrik tidak menyukainya.

10. Wahai orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?

11. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.

12.  Nescaya Allah mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan menempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar.

13. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang mukmin.

14. Wahai orang yang beriman! Jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikutnya yang setia itu menjawab: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah," lalu segolongan daripada Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir; lalu Kami berikan kekuatan kepada orang yang beriman untuk mengalahkan musuh-musuh mereka, sehingga mereka menjadi orang yang menang.

No comments:

Post a Comment