Thursday, 27 November 2014

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Hashr

SURAH AL-HASHR
(Pengusiran)
Surah ke-59
Terdiri daripada 24 ayat (Madaniyyah)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


1. Segala yang ada di langit dan di Bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

2. Dialah yang telah mengeluarkan orang kafir di kalangan Ahli Kitab dari kampung halaman mereka pada saat pengusiran yang pertama (kerana memerangi Rasulullah). Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (daripada azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azab-Nya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka dan mencampakkan rasa takut  ke dalam hati mereka, (lalu) mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka ambillah pengajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang yang berakal fikiran (serta celik mata hatinya).

3. Jika tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, tentulah Dia akan menyeksa mereka di dunia. Mereka pula akan beroleh azab neraka pada hari akhirat kelak.

4. (Mereka ditimpakan azab yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amat keras azab-Nya.

5. Apa-apa jua pohon tamar (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah dan kerana Dia hendak menimpakan kehinaan kepada orang yang fasiq.

6. Dan apa jua yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya daripada peninggalan harta benda mereka (yang telah diusir itu, maka kamu tidak berhak mendapatkannya), kerana kamu tidak memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka); sesiapa yang dikehendaki-Nya (dengan tidak payah berperang). Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

7. Apa sahaja harta rampasan yang allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) daripada harta penduduk kota-kota (dengan tidak berperang), maka adalah ia hak bagi Allah, Rasulullah, kaum kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang miskin dan orang musafir (yang terputus bekalannya). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang kaya daripada kalangan kamu. Apa jua yang diberikan oleh Rasulullah (sama ada pemberian atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa jua larangannya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya)

8. (Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang fakir Muhajirin yang telah diusir keluar dari kampung halaman dan harta benda mereka untuk mencari limpah kurniaan daripada Allah dan keredaan-Nya, serta menolong (agama) allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang yang benar (keimanannya).

9. Dan orang (Ansar) yang mendiami kota (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan iri hati terhadap apa yang telah diberi kepada orang Muhajirin itu; serta mereka juga mengutamakan orang Muhajirin itu melebihi diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kesusahan (sangat memerlukan pemberian itu). (Ingatlah) sesiapa yang dipelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.

10. Orang (Islam) yang datang sesudah mereka (berdoa dengan) berkata, "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau wujudkan perasaan hasad dengki dalam hati kami terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."

11. Tidakkah engkau memperhatikan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang munafik itu yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir daripada kalangan Ahli Kitab (kaum Yahudi), "Sesungguhnya, jika kamu diusir keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu; dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapa pun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan jika kamu diperangi, sudah pasti kami akan membela kamu!" Allah menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.

12. Sesungguhnya jika orang (Yahudi) itu diusir keluar (dari Madinah), mereka (yang minafik) ini tidak akan keluar bersama-bersama mereka; dan sesungguhnya jika orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak akan membelanya; dan sesunggunhnya, jika mereka membelanya sekalipun, sudah tentu mereka (yang munafik) akan perbaling tadah; kemudian mereka (Yahudi) tidak akan mendapat pertolongan.

13. (Kerana) sesungguhnya kamu sangat ditakuti dalam hati mereka melebihi Allah. Yang demikian itu kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti (akan kekuasaan Allah dan kebesaran-Nya)

14. (Orang Yahudi dan orang munafik) tidak berani memerangi kamu walaupun mereka bersatu padu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh atau di sebalik tembok. (Ini kerana) permusuhan antara mereka sesama sendiri amatlah hebat. Engkau menyangka mereka bersatu padu, sedangkan hati mereka berpecah belah (disebabkan perbezaan kepercayaan mereka). Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti (perkara yang memberi kebaikan kepada mereka).

15. (Keadaan kaum Yahudi itu) samalah seperti orang (daripada suku Yahudi) yang terdahulu sedikit daripada mereka yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) daripada perbuatan mereka. Mereka pula akan beroleh azab yang pedih (pada hari akhirat kelak).

16. (Sikap orang munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia berkata kepada manusia, "Kafirlah engkau!" Setelah orang itu menjadi kafir, syaitan itu berkata kepadanya, "Sesungguhnya aku berlepas diri daripada engkau, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam!".

17. Maka kesudahan kedua-duanya, bahawa mereka ditempatkan di dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim.

18. Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat Menyeluruh Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.

19. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan Allah (tidak mentaati perintah-Nya), lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka sendiri (untuk melakukan ketaatan dan kebajikan). Mereka itulah orang yang fasiq.

20. Tidaklah sama ahli neraka dengan ahli syurga. Ahli syurgalah orang yang beroleh kemenangan.

21. Sekiranya Kami menurunkan al-Qur'an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyu' (tunduk) serta hancur berkecai kerana takut kepada Allah. Perumpamaan-perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.

22. Dialah Allah, yang tiada tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata. Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

23. Dialah Allah, Yang tidak ada tuhan melainkan Dia ;Yang Menguasai (sekian alam), Yang Maha Suci ; Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada sehala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Mengawal serta Mengawas; Yang Maha Perkasa; Yang Maha Gagah (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengan-Nya.

24. Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; yang Mengadakan (daripada tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); Yang mempunyai nama-nama yang terbaik (al-asma'u al-Husna). Segala yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

No comments:

Post a Comment