Friday, 26 December 2014

Terjemahan Surah Al-Waqi'ah

SURAH AL-WAQI'AH
(Hari Kiamat)
Surah ke-56
Terdiri daripada 96 ayat (Makkiyyah)



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Apabila terjadi hari kiamat.

2. Terjadinya tidak dapat didustakan. (disangkal).

3. (Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain).

4. Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya.

5. Dan gunung-ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya.

6. Maka jadilah ia debu yang berterbangan.

7. Dan kamu menjadi golongan ketiga,

8. Iaitu golongan kanan, * alangkah mulianya golongan kanan itu.
* Golongan kanan ialah orang yang menerima catatan amalan mereka dengan tangan kanan.

9. Dan golongan kiri, * alangkah sengsaranya golongan kiri itu.
* Golongan kiri ialah orang yang menerima catatan amalan mereka dari catatan tangan kiri.

10. Dan orang yang paling dahulu (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga).

11. Mereka itulah orang yang dekat (dengan Allah).

12. Berada dalam syurga kenikmatan.

13. Segolongan besar daripada orang yang terdahulu.*
* Orang dahulu ialah seluruh umat para nabi sebelum Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam dan orang yang kemudian ialah umat Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam.

14. Dan segolongan kecil daripada orang yang kemudian.

15. Mereka berada di atas pelamin-pelamin yang bertakhtakan emas dan permata.

16. Mereka bersandar di atasnya berhadap-hadapan.

17. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda.

18. Dengan membawa gelas, cerek dan kendi (piala) berisi minuman yang diambil daripada air yang mengalir.

19. Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk.

20. Dan buah-buahan apa pun yang mereka pilih.

21. Dan daging burung apa pun yang mereka inginkan.

22. Dan ada bidadari yang bermata indah.

23. Laksana mutiara yang tersimpan baik.

24. Sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.

25. Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa.

26. Tetapi mereka mendengar ucapan salam.

27. Dan golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu.

28. (Mereka) berada di antara pohon bidara yang tidak berduri.

29. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya).

30. Dan naungan yang terbentang luas.

31. Dan air yang mengalir terus-menerus.

32. Dan buah-buahan yang banyak.

33. Yang tidak berhenti berbuah dan tidak terlarang mengambilnya.

34. Dan katil-katil yang tebal dan empuk.

35. Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari itu) secara langsung. *
* Mereka diciptakan tanpa melalui proses kelahiran dan secara langsung menjadi gadia remaja.

36. Lalu Kami jadikan mereka perawan-perawan.

37. Yang penuh cinta (dan) sebaya umurnya.

38. Untuk golongan kawan.

39. Segolongan besar daripada orang yang terdahulu.

40. Dan segolongan besar pula daripada orang yang kemudian.

41. Dan golongan kiri, alangkag sengsaranya golongan kiri itu.

42. (Mereka) dalam seksaan angin yang sangat panas dan air yang mendidih.

43. Dan naungan asap yang hitam.

44. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan.

45. Sesungguhnya mereka sebelum itu (dahulu) hidup bermewah-mewah.

46. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar.

47. Dan mereka berkata :"Apabila kami sudah mati, menjadi tanah dan tulang-belulang, apakah kami benar-benar akan dibangkitkan kembali?

48. Apakah nenek moyang kami yang terdahulu (dibangkitkan pula)?"

49. Katakanlah: "(Ya), sesungguhnya orang yang terdahulu dan yang kemudian.

50. Pasti semua akan dikumpulkan pada waktu tertentu, pada hari yang sudah dimaklumi.

51. Kemudian sesungguhnya kamu, wahai orang yang sesat lagi mendustakan!

52. Pasti akan memakan pohon zaqqum.

53. Maka akan penuh perutmu dengannya.

54. Setelah itu kamu akan meminum air yang sangat panas.

55. Maka kamu minum seperti unta (yang sangat haus) minum.

56. Itulah hidangan untuk mereka pada hari pembalasan".

57. Kami telah menciptakan kamu, mengapa kamu tidak membernarkan (hari kebangkitan)?

58. Maka apakah kamu perhatikan, tentang (benih manusia) yang kamu pancarkan.

59. Kamukah yang menciptakannya, ataukah Kami penciptanya?

60. Kami telah menentukan kamatian kamu masing-masing dan Kami tidak lemah.

61. Untuk menggantikan kamu dengan orang yang seperti kamu (di dunia) dan membangkitkan kamu kelak ( di akhirat) dalam keadaan yang tidak kamu ketahui.

62.  Dan susungguhnya kamu tidak tahu penciptaan yang pertama, mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?

63. Pernahkah kamu perhatikan benih yang kamu tanam?

64. Kamukah yang menumbuhkannya, ataukah Kami yang menumbuhkan?

65. Sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami hancurkan sampai lumat; maka kamu akan hairan tercengang.

66. (Sambil berkata): "Sesungguhnya kami benar-benar menderita kerugian.

67. Bahkan kami tidak mendapat hasil apa pun."

68. Pernahkah kamu memerhatikan air yang kamu minum?

69. Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan?

70. Sekiranya Kami mengkehendaki, nescaya Kami menjadikannya masin, mengapa kamu tidak bersyukur?

71. Maka pernahkah kamu perhatikan tentang api yang kamu nyalakan (dengan kayu).

72. Kamukah yang menumbuhkan pohon kayu itu  ataukah Kami yang menumbuhkannya?

73. Kami menjadikan (api itu) untuk peringatan dan bahan yang berguna bagi musafir.

74. Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Maha Besar.

75. Lalu Aku bersumpah dengan tempat peredaran bintang-bintang.

76. Dan sesungguhnya itu benar-benar sumpah yang besar sekiranya kamu mengetahui.

77. Dan (ini) sesungguhnya al-Quran yang sangat mulia,

78. Dalam kitab yang terpelihara (Lauh Mahfuz).

79. Tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan.

80. Diturunkan daripada Tuhan seluruh alam.

81. Apakah kamu menganggap remeh berita ini (al-Quran)?

82. Dan kamu menjadikan rezeki yang kamu terima (daripada Allah) justeru untuk mendustakan(Nya).

83. Maka kalau begitu mengapa (tidak mencegah) ketika (nyawa) telah sampai di kerongkong.

84. Dan kamu ketika itu melihat.

85. Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.

86. Maka mengapa jika kamu memang tidak dikuasai (oleh Allah).

87. Kamu tidak mengembalikannya (nyawa itu) jika kamu orang yang benar?

88. Jika dia (orang yang mati) itu termasuk yang didekatkan (kepada Allah).

89. Maka dia memperolehi ketenteraman dan rezeki serta syurga (yang penuh) kenikmatan.

90. Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan.

91. Maka: "Salam bagimu (wahai) daripada golongan kanan!" (sambut malaikat).

92. Dan adapun jika dia termasuk golongan orang yang mendustakan dan sesat.

93. Maka dia disambut dengan siraman air yang mendidih.

94. Dan dibakar di dalam neraka.

95. Sesungguhnya inilah keyakinan yang besar.

96. Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Maha Besar.

Thursday, 25 December 2014

Terjemahan Surah Al-Hadid

SURAH AL-HADID
(Besi)
Surah ke-57
Terdiri daripada 29 ayat (Madaniyyah)



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


1. Apa yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa, Lagi Maha Bijaksana.

2. MilikNyalah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

3. Dialah Yang Awal, Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin,* dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.
* Yang Maha Awal ialah yang telah ada sebelum segala sesuatu ada, Yang Maha Akhir ialah yang tetap ada setelah segala sesuatu musnah, Yang Maha Zahir ialah Yang Maha Tinggi tiada di atasnya sesuatu pun. Dan Yang Maha Batin ialah yang tidak ada sesuatu pun yang menghalangNya, dan Dia lebih dekat kepada makhluk daripada makhluk itu sendiri kepada dirinya (Hadith riwayat Ahmad).

4. Dialah yang menciptakan langit dan buni dalam enam masa; kemudia Dia bersemayam di atas Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari dalamnya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke sana.* Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
* Yang dimaksudkan dengan "yang naik" antara lain ialah amal-amal dan doa-doa hamba.

5. MilikNyalah kerajaan langit dan bumi. Dan hanya Allah segala urusan dikembalikan.

6. Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. * Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.
* Memasukkan malam ke siang ialah menjadikan malam lebih panjang daripada siang, dan memasukkan siang ke dalam malam ialah menjadikan siang lebih panjang daripada malam. Kejadian ini berlaku pada musim panas di mana waktu siang lebih panjang manakala waktu malamnya pula singkat. Adapun di musim dingin, siangnya lebih singkat dan malam lebih panjang.

7. Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada harta yang Dia telah menjadikan kamu sebagai penguasanya* (amanah). Maka orang yang beriman di antara kamu dan menginfakkan (hartanya di jalan Allah) memperolehi pahala yang besar.
* Menguasai di sini ialah penguasaan yang bukan secara mutlak. Hak milik pada hakikatnya adalah pada Allah Subhanu wa Ta'ala, Manusia menafkahkan hartanya itu haruslah menurut hukum-hukum yang telah disyariatkan Allah Subhanu wa Ta'ala, kerana itu tidaklah boleh kedekut atau boros.

8. Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul mengajak kamu beriman kepada Tuhanmu? Dan Dia telah mengambil janji (setia)mu*, jika kamu orang mukmin.
* Maksudnya ialah perjanjian roh Bani Adam sebelum dilahirkan ke dunia bahawa dia mengakui (naik saksi) bahawa Tuhannya ialah Allah Subhanu wa Ta'ala seperti tersebut dalam surah al-A'raf ayat 172.

9. Dialah yang menurunkan ayat-ayat yang terang (al-Quran) kepada hambaNya (Muhammad) untuk mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya, terhadap kamu Allah Mhaa Penyantun, lagi Maha Penyayang.

10. Dan mengapa kamu tidak menginfakkan hartamu pada jalan Allah, padahal milik Allah semua pusakan langit dan bumi? Tidak sama orang yang menafkahkan (hartanya di jalan Allah) di antara kamu dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang yang menginfakkan (hartanya) dan berperang setelah itu. Dan Allah menjanjikan kepada mereka masing-masing (balasan) yang lebih baik. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

11. Barang siapa meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah akan mengembalikannya berlipat kali ganda untuknya, dan baginya pahala yang mulia.

12. Pada hari engkau akan melihat yang beriman lelaki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): " Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung."

13. Pada hari orang munafik lelaki dan perempuan berkata kepada orang yang beriman: " Tunggulah kami! Kami ingin mengambil cahayamu." (Kepada mereka) dikatakan: "Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)." Lalu di antara mereka dipasang dinding (pemisah) yang berpintu. Di sebelah dalam ada rahmat dan di luarnya hanya ada azab.

14. Orang munafik memanggil orang mukmin: " Bukankah kami dulu bersama kamu?" Mereka menjawab: "Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri, dan kamu hanya menunggu, meragukan (janji Allah) dan ditipu dengan angan-angan kosong sampai datang ketetapan Allah; dan penipu (syaitan) datang memperdaya kamu tentang Allah. 

15. Maka pada hari ini tidak akan diterima penebusan diri daripada kamu mahupun daripada orang kafir. Tempat kamu di neraka. Itulah tempat berlindungmu dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

16. Belum tibakah waktunya bagi orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (melakukan) seperti orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka menjadi orang fasik.

17. Ketahuilah bahawa Allah yang menghidupkan bumi setelah matinya (kering). Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepadamu tanda-tanda (kebesaran Kami) agar kamu mengerti.

18. Sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, akan dilipatgandakan (balasannya) bagi mereka; dan mereka akan mendapat pahala yang mulia.

19. Dan orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya, mereka itu orang yang tulus hati (pencipta kebenaran) dan saksi-saksi di sisi Tuhan  mereka. Mereka berhak mendapat pahala dan cahaya. Tetapi orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni-penghuni neraka.

20. Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam menambah kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah serta keredaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.

21. Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya. Itulah kurniaan Allah, yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar.

22. Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. 

23. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput daripada kamu dan tidak pula terlalu gembira* terhadap apa yang diberikanNYa kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.
* Terlalu gembira ialah kegembiraan yang melampuai batas sehingga menyebabkan kesombongan, ketakburan dan lupa kepada Allah Subhanu wa Ta'ala.

24. Iaitu orang yang bakhil dan menyuruh orang lain menjadi bakhil. Barang siapa berpaling (daripada perintah-perintah Allah), maka sesungguhnya Allah, Dia Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

25. Sesungguhnya, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan yang hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasulNya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa.

26. Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami berikan kenabian dan kitab (wahyu) kepada keturunan keduanya, di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan ramai di antara mereka yang fasik.

27. Kemudian Kami susulkan rasul-rasul Kami mengikuti jejak mereka dan Kami susulkan (pula) Isa putera Maryam; Dan Kami berikan Injil kepadanya dan Kami jadikan rasa santun dan kasih sayang dalam hati orang yang mengikutinya. Mereka mengada-adakan rahbaniyyah*, padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka (yang Kami wajibkan hanyalah) mencari keredaan Allah, tetapi  tidak mereka pelihara dengan sepatutnya. Maka kepada orang yang beriman di antara mereka, Kami berikan pahalanya dan ramai di antara mereka yang fasik.
* Iaitu para Rahib dan Biarawati, masing-masing tidak beristeri dan tidak bersuami. Ini jelas bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang diciptakan Allah Subhanu wa Ta'ala.

28. Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya (Muhammad), nescaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian darpada rahmatNYa dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak) serta diampunkannya dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

29. Agar Ahli Kitab mengetahui bahawa sedikit pun mereka tidak akan mendapat kurniaan Allah (jika mereka tidak beriman kepada Muhammad), dan bahawa kurniaan itu ada di tangan Allah, Dia memberikannya kepada siapa yang Dia kehendaki, Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar.

Tuesday, 23 December 2014

Terjemahan Surah Al-Mujadalah


SURAH AL-MUJADALAH
(Wanita Yang Bersoal Jawab)
Surah ke-58
Terdiri daripada 22 ayat (Madaniyyah)



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan perempuan yang mengajukan adean kepadamu (wahai Muhammad) tentang suaminya dan mengadukan (halnya) kepada Allah dan Allah mendengar percakapan antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.*
* Sebab turunnya ayat ini berhubungan dengan persoalan seorang wanita bernama Khaulah binti Sa'labah yang telah dizihar oleh suaminya 'Aus bin as-Samit iaitu dengan mengatakan kepada isterinya: "Kamu bagiku sudah seperti punggung ibuku", dengan maksud dia tidak boleh lagi menggauli isterinya sebagaimana dia tidak boleh menggauli ibunya. Menurut adat jahiliyah, kaimat zihar seperti itu adalah sama dengan mentalak isteri. Maka Khaulah mengadukan halnya kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab bahawa dalam hal ini belum ada keputusan daripada Allah Subahanahu wa Ta'ala. Dan pada riwayat yang lain, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam mengatakan: " Engkau telah diharamkan bersetubuh dengan dia," Lalu Khaulah berkata: "Suamiku belum menyebut kata-kata talak," kemudian Khaulah berulang-ulang kali mendesak kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam supaya menetapkan suatu keputusan dalam hal ini sehingga turunlah ayat ini dan ayat-ayat berikutnya.

2. Seseorang di antara kamu yang berzihar isterinya (menganggap isterinya sebagai ibunya, padahal) isteri mereka itu bukanlah ibunya. Ibu-ibu mereka hanyalah perempuan yang melahirkan mereka. dan sesungguhnya mereka benarbenar mengucapkan suatu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

3. Dan mereka yang menzihar isterinya, kemudian menarik kembali apa yang telah mereka ucapkan, maka (mereka diwajibkan) memerdekakan seorang hamba sahaya sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepadamu dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.

4. Maka barang siapa tidak dapat (memerdekakan hamba sahaya), maka (dia wajib) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Tetapi barang siapa tidak mampu, maka (wajib) memberi makan enam puluh orang miskin. Demikianlah agar kamu beriman kepada Allah dan RasulNya. Itulah hukum-hukum Allah, dan bagi mereka yang mengingkarinya akan mendapat azab yang sangat pedih.

5. Sesungguhnya orang yang menentang Allah dan RasulNya pasti mendapat kehinaan sebagaimana kehinaan yang telah diterima oleh orang sebelum mereka. Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan bukti-bukti yang nyata. Dan bagi orang yang mengingkarinya akan mendapat azab yang menghinakan.

6. Pada hari itu mereka semuanya dibangkitkan Allah, lalu diberitakanNya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah menghitungkannya (semua amal perbuatan itu), meskipun mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

7. Tidakkah engkau perhatikan, bahawa Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi? Tidak ada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempatnya. Dan tidak ada lima orang, melainkan Dialah yang keenamnya. Dan tidak ada yang kurang daripada itu atau lebih banyak, melainkan Dia pasti ada bersama mereka di mana pun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

8. Tidakkah engkau perhatikan orang yang telah dilarang daripada perbuatan berbisik-bisik, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka berbisik-bisik untuk melakukan dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu (Muhammad) mereka mengucapkan salam dengan cara yang bukan seperti yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri: "(Kalau benar Muhammad utusan Allah, maka) mengapa Allah tidak menyeksa kita atas apa yang kita katakan itu?" Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Maka neraka itu seburuk-buruk tempat kembali.

9. Wahai orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik secara rahsia, janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul. Tetapi berbisiklah tentang perbuatan kebajikan dan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya kamu akan dikumpulkan kembali.

10. Sesungguhnya perbuatan berbisik-bisik itu adalah termasuk (perbuatan) syaitan, agar orang yang beriman itu bersedih hati, sedangkan (bisikan) itu tidak memberi bencana sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.

11. Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu: " Berilah kelapangan di majlis-majlis." maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu," maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti akan apa yang kamu kerjakan.

12. Wahai orang yang beriman! Apabila kamu mengadakan pembicaraan khusus (mengadap dan bertanyakan sesuatu secara khusus) dengan Rasulullah, hendaklah kamu mengeluarkan sedekah (kepada orang miskin) sebelum (melakukan) pembicaraan itu. Yang demikian itu lebih baik bagimu dan lebih bersih. Tetapi jika kamu tidak memperolehinya (yang akan disedekahkan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

13. Apakah kamu takut akan (menjadi miskin) kerana kamu memberikan sedekah sebelum (melakukan) perbicaraan dengan Rasulullah? Tetapi jika kamu tidak melakukannya dan Allah telah memberi keampunan kepadamu (kerana kamu tidak mampu), maka laksanakanlah solat, dan tunaikanlah zakat serta taatlah kepada Allah dan RasulNya! Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

14. Tidakkah engkau perhatikan otang (munafik) yang menjadikan suatu kaum yang telah dimurkai Allah sebagai sahabat? Orang itu bukan daripada (kaum) kamu dan bukan daripada (kaum) mereka. Dan mereka bersumpah atas pembohongan, sedang mereka pengetahuinya.

15. Allah telah menyediakan azab yang sangat keras bagi mereka. Sesungguhnya betapa buruknya apa yang telah mereka kerjakan.

16. Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalang (manusia) dari jalan Allah; maka bagi mereka azab yang menghinakan.

17. Harta benda dan anak-anak mereka tidak berguna sedikit pun (untuk menolong) mereka dari azab Allah. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

18. (Ingatlah) pada hari (ketika) mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka bukan orang musyrik) sebagaimana mereka bersumpah kepadamu; dan mereka menyangka bahawa mereka akan memperolehi suatu (manfaat). Ketahuilah, bahawa mereka golongan pendusta.

19. Syaitan telah menguasai mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati Allah ; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa golongan syaitan itulah golongan yang rugi.

20. Sesungguhnya orang yang menentang Allah dan RasulNya, mereka termasuk orang yang sangat hina.

21. Allah telah menetapkan: "Aku dan rasul-rasulKu pasti menang." Sesungguhnya, Allah Maha Kuat, Lagi Maha Perkasa.

22. Engkau (wahai Muhammad) tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang itu ibu bapanya, anaknya, saudaranya atau keluarganya. Mereka itulah orang yang dalam hatinya telah ditanamkan Allah keimanan dan Allah telah menguatkan mereka dengan pertolongan* yang datang daripadaNya. Lalu dimasukkanNya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)Nya. Mereka golongan Allah (para pendukung agamaNya). Ingatlah, sesungguhnya golongan Allah itulah yang beruntung.
* Pertolongan di sini ialah kemahuan dan kekuatan batin, kebersihan hati, kemenangan terhadap musuh dan lain-lain.