Thursday, 12 February 2015

Al-Fatihah ~ Allahyarham Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Aziz Nik Mat



Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 10 Januari 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.


Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam


Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.
Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.
Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.
Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.
Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.
Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.
Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.


Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.
Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.
Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.

Wednesday, 4 February 2015

Tujuan al-Quran diturunkan

AL-QURAN
Sebuah kitab untuk dibaca dengan lisan. "Dan ini ialah kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya)".
(Surah al-An'am 6:92)

AL-KITAB
Sheikh Abdullah Diraz mengatakan, "Dinamakan al-Quran dengan al-Quran kerana ia dibaca dengan lisan dan dinamakan juga dengan al-Kitab kerana ia dibukukan dengan mata pena... Oleh itu, ini menunjukkan bahawa al-Quran mempunyai hak untuk dipelihara dalam hati (hafazan) dan lembaran kertas (tulisan)."

AL-FURQAN
(Membezakan antara yang hak dan batil)
Menurut al-Tabrasi dalam Majma' al-Bayan, dinamakan al-Furqan kerana al-Quran membezakan antara yang hak dan batil dengan dalil yang kukuh. "Maha berkat Tuhan yang menurunkan al-Furqan kepada hamba-Nya (Muhammad)."
(Surah al-Furqan 25:1)

AL-HADI
(Sumber hidayah)
Sebagai sumber hidayah teragung yang menyuluh manusia ke jalan yang lurus dan benar. "Dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."
(Surah Yunus 10:57)

AL-SYIFA'
(Penyembuh)
Al-Quran merupakan penyembuh penyakit hati. "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu.
(Surah Yunus 10:56)

AL-BASHIR
(Menyampaikan berita gembira)
Al-Quran terkandung pelbagai khabar berita gembira buat insan yang beriman, berupa pelbagai ganjaran, antaranya syurga, pahala berlipat ganda.

AL-NAZIR'
(Menyampaikan berita buruk)
Al-Quran terkandung khabar buruk dan ancaman untuk insan dan golongan yang berpaling daripada jalan yang lurus.

AL-ZIKR'
(Peringatan)
Mengingatkan manusia akan ibadah fardu yang perlu disempurnakan dan hukum-hakam. "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya."
(Surah al-Hijr 15:9)

AL-MAU'IZAH'
(Memberi nasihat)
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu."


Fizikal RASULLULLAH s.a.w

Ali bin Abi Talib menggambarkan ciri fizikal Rasulullah s.a.w: 
"Postur tubuh Rasulullah s.a.w tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. 
Baginda memiliki perwatakan  yang sedang dibandingkan dengan kaumnya. 
Rambut Baginda tidak terlalu kerinting dan tidak lurus terurai. 
Baginda berambut ikal, tidak gemuk dan wajah beliau tidak terlalu bulat. 
Kulit Baginda putih kemerah-merahan.
Baginda memiliki bola mata yang hitam pekat, bulu mata yang lentik serta bahu yang lebar dan tidak berbulu.
Dada Baginda berbulu.
Telapak tangan dan kaki Baginda tebal.
Ketika berjalan, Baginda seakan-akan melangkah menuruni tanah yang landai.
Ketika menoleh, Baginda menoleh (berbalik) dengan seluruh badan.
Antara kedua bahu Baginda terdapat tanda kenabian.
Baginda adalah nabi terakhir, manusia yang paling lapang dada, ucapannya paling mudah dipercayai, karakternya paling lembut dan cara bergaulnya paling mulia. 

Siapa pun yang pertama kali melihat Baginda, pasti segan tetapi orang yang telah lama bergaul dengan Baginda pasti mencintai Baginda.
Siapa pun yang cuba menggambarkan karakter Baginda pasti berkata :"Aku tidak pernah melihat seorang pun yang sama seperti Rasulullah s.a.w, baik sebelum mahupun setelah Baginda wafat."
(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Sa'd dan al-Baihaqi)

Sumber : SOLUSI Edisi 12, 2010

Tuesday, 3 February 2015

Terjemahan Surah Al-Najm

SURAH AL-NAJM
(Bintang)
Surah ke-53
Terdiri daripada 62 ayat (Makkiyyah)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Demi bintang ketika terbenam

2. Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak (pula) keliru.

3. Dan tidaklah (al-Quran) yang diucapkannya itu menurut keinginannya.

4. Tidak lain (al-Quran itu) adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).

5. Yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat.

6. Yang mempunyai keteguhan; maka (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli (rupa yang bagus dan perkasa).

7. Sedang dia berada di ufuk yang tinggi.

8. Kemudian dia mendekatkan (pada Muhammad), lalu bertambah dekat.

9. Sehingga jaraknya (sekitar dua hujung busur panah atau lebih dekat (lagi)..

10. lalu disampaikannya wahyu kepada hambaNya (Muhammad) apa yang telah diwahyukan Allah.

11. Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya.

12. Maka apakah kamu (musyrikin Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang dilihatnya itu?

13. Dan sesungguhnya, dia (Muhammad) telah melihatnya (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain.

14. (Iaitu) di Sidratil Muntaha*
* Sidratil Muntaha iaitu tempat yang paling tinggi di atas langit yang ke-7, yang telah dikunjungi Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam ketika Mikraj

15. Berdekatannya ada syurga tempat tinggal.

16. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.

17. Penglihatannya (Muhammad) tidak menyimpang daripada apa yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.

18. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Tuhannya yang paling besar.

19. Maka apakah patut kamu (musyrikin) menganggap (berhala) Al-Lata dan Al-Uzza,

20. Dan Manat,* yang ketiga yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak perempuan Allah).
* Al-Lata, Al-Uzza dan Manat adalah nama-nama berhala yang disembah orang Arab jahiliyah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

21. Apakah (patut) untuk kamu yang lelaki dan untukNya yang perempuan?

22. Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil.

23. Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu mengada-adakannya; Allah tidak menurunkan suatu keterangan apa pun untuk (menyembah)nya. Mereka hanya mengikut sangkaan dan apa yang diingini oleh keinginannya. Padahal sesungguhnya, telah datang petunjuk daripada Tuhan mereka.

24. Atau apakah manusia akan mendapat segala yang dicita-citakannya?

25. (Tidak!) Maka milik Allahlah kehidupan akhirat dan kehidupan dunia.

26. Dan betapa banyak malaikat di langit, syafaat (pertolongan) mereka sedikit pun tidak berguna kecuali apabila Allah telah mengizinkan (dan hanya) bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia redhai.

27. Sesungguhnya orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, sesungguhnya mereka menamakan para malaikat dengan nama perempuan.

28. Dan mereka tidak mempunyai ilmu tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan dan sesungguhnya sangkaan itu tidak berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran.

29. Maka tinggalkanlah (wahai Muhammad) orang yang berpaling daripada peringatan Kami dan dia hanya menginginkan kehidupan dunia.

30. Itulah kadar ilmu mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lebih mengetahui siapa yang tersesat daripada jalanNya dan Dia pula yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

31. Dan milik Allahlah yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. (Dengan demikian) Dia akan memberi balasan kepada orang yang berbuat jahat sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan dan Dia akan memberi balasan kepada orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).

32. (Iaitu) mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, selain daripada kesalahan-kesalahan yang kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Dia mengetahui tentang kamu sejak Dia menjadikan kamu dari tanah dan semasa kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui tentang orang yng bertakwa.

33. Maka tidakkah engkau melihat orang yang berpaling (daripada al-Quran)?

34. Dan dia memberikan sedikit (daripada apa yang dijanjikan), lalu menahan sisanya?

35. Apakah dia mempunyai pengetahuan tentang (perkara) ghaib sehingga dia dapat mengetahui (bahawa orang lain boleh menanggung azab yang diterima oleh orang lain pada hari akhirat kelak)?

36. Atau belum diberitakan kepadanya dalam lembaran-lembaran Musa.

37. Dan lembaran-lembaran Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji.

38. Iaitu bahawasanya seorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.

39. Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperolehi selain apa yang telah diusahakan.

40. Dan bahawa usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).

41. Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna.

42. Dan bahawasanya Tuhanlah kesudahan (segala sesuatu).

43. Dan bahawasanya Dialah yang menjadikan orang ketawa dan menangis.

44. Dan bahawasanya Dialah yang mematikan dan menghidupkan.

45. Dan bahawasanya Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.

46. Daripada air mani apabila dipancarkan.

47. Dan bahawasanya Dialah yang menetapkan kejadiannya yang lain (kebangkitan sesudah mati).

48. Dan bahawasanya Dialah yang memberikan kekayaan dan kecukupan.

49. Dan bahawasanya Dialah Tuhan (yang memiliki) bintang Syi'ra.*
* Bintang Syi'ra ialah bintang yang disembah oleh orang Arab pada zaman jahiliyah.

50. Dan bahawasanya Dia telah membinasakan kaum 'Aad yang pertama,

51. Dan kaum Thamud. Maka tiada seorang pun yang ditinggalkanNya (hidup).

52. Dan (juga) kaum Nuh sebelum itu. Sesungguhnya mereka adalah orang yang paling zalim dan paling keji.

53. Dan bandar-bandar yang diterbalikkan (negeri kaum Luth).

54. Lalu menimbuni negeri itu (sebagai azab) dengan (tiang-tiang) yang menimpanya.

55. Maka terdapat nikmat Tuhanmu yang manakah yang masih kamu ragukan?

56. (Al-Quran) ini adalah pemberi amaran di antara jenis-jenis amaran yang telah lalu.

57. Telah hampir datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat).

58. Tidak ada yang akan menyatakan terjadinya hari itu selain Allah.

59. Maka apakah mereka merasa hairan terhadap pengkhabaran ini?

60. Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis.

61. Sedang kamu melengahkan(nya)?

62. Maka sujudlah kepada Allah dan sembahlah (Dia).

Monday, 2 February 2015

Terjemahan Surah Al-Qamar

SURAH AL-QAMAR
(Bulan)
Surah ke-54
Terdiri daripada 55 ayat (Makkiyyah)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Saat* (waktunya) semakin dekat, bulan pun terbelah.
*Saat di sini ialah terjadinya hari kiamat atau saat kehancuran kaum musyrikin dan terbelah bulan ialah suatu mukjizat Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam.

2. Dan jika mereka (orang musyrik) melihat sesuatu tanda (mukjizat), mereka berpaling dan berkata: "(Ini adalah) sihir yang terus-menerus."

3. Dan mereka mendustakan (Muhammad) dan mengikuti keinginannya, padahal setiap urusan* telah ada ketetapannya.
* Segala urusan itu pasti berjalan sampai waktu yang telah ditetapkan terjadinya seperti urusan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam meninggikan kalimah Allah Subhanahu wa Ta'ala pasti sampai akhirnya, iaitu kemenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Sedang urusan orang yang mendustakannya pasti sampai pula akhirnya iaitu kekalahan di dunia dan seksaan di akhirat.

4. Dan sesungguhnya telah datangkepada mereka beberapa kisah yang di dalamnya terdapat ancaman (terhadap kekafiran).

5. (Itulah) suatu hikmah yang sempurna, tetapi peringatan-peringatan itu tidak berguna (bagi mereka).

6. Maka berpalinglah engkau (Muhammad) daripada mereka pada hari (ketika) penyeru (malaikat) mengajak (mereka) kepada sesuatu yang tidak menyenangkan (hari pembalasan).

7. Pandangan mereka tertunduk ketika mereka keluar dari perkuburan. Seakan-akan mereka belalang yang berterbangan.

8. Dengan patuh mereka segera datang kepada penyeru itu. Orang kafir berkata: "Ini adalah hari yang sukar."

9. Sebelum mereka, kaum Nuh juga telah mendustakan (rasul), maka mereka mendustakan hamba Kami (Nuh) dan mengatakan: "Dia orang gila!" Lalu diusirnya dengan ancaman.

10. Maka dia (Nuh) mengadu kepada Tuhannya: "Sesungguhnya aku telah dikalahkan, maka tolong (aku)."

11. Lalu Kami bukakan pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang mencurah-curah.

12. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata-mata air, maka bertemulah (air-air) itu sehingga (membuak dan menimbulkan) keadaan (bencana) yang telah ditetapkan.

13. Dan Kami angkut dia (Nuh) de atas (kapal) yang diperbuat daripada papan dan pasak.

14. Yang berlayar dengan pemeliharaan (pengawasan) Kami sebagai balasan bagi orang yang telah diingkari (kaumnya).

15. Dan sesungguhnya kapal itu telah Kami jadikan sebagai tanda (pengajaran). Maka adakah orang yang mahu pengambil pelajaran?

16. Maka betapa dahsyat azabKu dan peringatanKu!.

17. Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al-Quran utuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran?

18. Kaum 'Aad pun telah mendustakan. Maka betapa dahsyat azabKu dan peringatanKu!

19. Sesungguhnya Kami telah menghembuskan angin yang sangat kencang kepada mereka pada hari nahas yang terus-menerus.

20. Yang membuat manusia bergelimpangan, mereka bagaikan pohon-pohon kurma yang tumbang dengan akar-akarnya.

21. Maka betapa dahsyat azabKu dan peringatanKu!

22. Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al-Quran utuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran?

23. Kaum Thamud pun telah mendustakan peringatan itu. Maka betapa dahsyat azabKu dan peringatanKu!

24. Maka mereka berkata : "Bagaimana kita akan mengikuti seorang manusia (biasa) di antara kita? Sesungguhnya kalau begitu kita benar-benar telah sesat dan gila."

25. Apakah wahyu itu ditentukan kepadanya di antara kita? Pastilah dia (Nabi Soleh) seorang yang sangat pendusta (dan) sombong."

26. Kelak mereka akan mengetahui siapa sebenarnya sangat pendusta (dan) sombong.

27. Sesungguhnya Kami akan mengirimkan unta betina sebagi cubaan bagi mereka, maka tunggulah mereka dan bersabarlah (Nabi Soleh).

28. Dan khabarkanlah kepada mereka bahawa air itu dibahagi di antara mereka (dengan unta betina itu); setiap orang berhak mendapat giliran minum.

29. Maka mereka memanggil kawan mereka, lalu dia menangkap (unta itu) dan memotongnya,

30, Maka betapa dahsyatnya azabKu dan peringatanKu!.

31. Kami kirimkan kepada mereka satu suara keras (dahsyat), maka jadilah mereka seperti ranting-ranting kering yang reput.

32. Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

33. Kaum Luth pun telah mendustakan peringatan itu.

34. Sesungguhnya Kami kirimkan kepada mereka angin ribut yang membawa batu-batu (yang menimpa mereka), kecuali keluarga Luth. Kami selamatkan mereka sebelum fajar menyinsing.

35. Sebagai nikmat daripada Kami. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang bersyukur.

36. Dan sesungguhnya dia (Luth) telah memperingatkan mereka akan hukuman Kami tetapi mereka mendustakan peringatanKu.

37. Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka). Lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azabKu dan peringatanKu!

38. Dan sesungguhnya pada esok harinya mereka benar-benar ditimpa azab yang tetap.

39. Maka rasakanlah azabKu dan peringatanKu!

40. Dan sesungguhnya, telah Kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran?

41. Dan sesungguhnya pengajaran telah datang kepada keluarga Firaun.

42. Mereka mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, maka Kami azab mereka dan azab daripada Yang Maha Perkasa, Lagi Maha Kuasa.

43. Apakah orang kafir dalam lingkunganmu (kaum musyrikin) lebih baik daripada mereka,* ataukah kamu telah mempunyai jaminan kebebasan (daripada azab) dalam kitab-kitab terdahulu?
* Lebih baik dalam hal kedudukan duniawi, kekuasaan dan kekuatan.

44. Atau mereka mengatakan: "Kami ini golongan yang bersatu yang pasti menang."

45. Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang.

46. Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka da hari kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit.

47. Sesungguhnya orang yang berdosa berada dalam kesesatan (di dunia) dan akan berada dalam neraka (di akhirat).

48. Pada hari mereka diseret ke neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka. (Dikatakan kepada mereka): "Rasakanlah sentuhan api neraka."

49. Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu menurut ukuran.

50. Dan perintah Kami hanyalah (dengan) satu perkataan bagaikan kelipan mata.

51. Dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu (kekafirannya). Maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran?

52. Dan segala sesuatu yang telah mereka lakukan tercatat dalam buku-buku catatan.*
* Buku-buku catatan yang ada di tangan malaikat yang mencatat amal perbuatan manusia.

53. Dan segala (sesuatu) yang kecil mahupun yang besar (semuanya) tertulis.

54. Sesungguhnya orang yang bertakwa berada di taman-taman dan sungai-sungai.

55. Di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa.