SURAH AL-TUR
(Gunung)
Surah ke-52
Terdiri daripada 49 ayat (Makkiyyah)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
1. Demi gunung.*
* Gunung di sini ialah gunung Tursina
2. Dan demi Kitab yang ditulis,
3. Pada lembaran yang terbuka.
4. Demi Baitul Makmur (Kaabah),*
* Baitul Makmur atau rumah yang ramai ialah Kaabah kerana Kaabah selalu mendapat kunjungan untuk mengerjakan haji, umrah, tawaf dan lain-lain. Dalam suatu hadith disebutkan bahawa Baitul Makmur ialah sebuah rumah ibadah di langit ketujuh yang setiap hari dimasuki 70,000 malaikat.
5. Demi atap yang ditinggikan (langit).
6. Demi lautan yang penuh gelombang.
7. Sesungguhnya azab Tuhanmu pasti terjadi.
8. Tidak sesuatu pun yang dapat menolaknya.
9. Pada hari (ketika) langit bergoncang sekeras-kerasnya.
10. Dan gunung-ganang berjalan (berpindah-pindah)
11. Maka celakalah pada hari itu bagi orang yang mendustakan.
12. Orang yang bermain-main dalam kebatilan (perbuatan dosa).
13. Pada hari (ketika) itu mereka didorong ke neraka Jahannam dengan sekuat-kuatnya.
14. (Dikatakan kepada mereka): "Inilah neraka yang dahulu kamu dustakannya."
15. Maka apakah itu sihir?* Ataukah kamu tidak melihat?
* Apakah neraka yang sedang mereka hadapi itu adalah sihir juga?
16. Masuklah ke dalamnya (rasakanlah panas apinya); baik kamu bersabar atau tidak, sama saja bagimu; sesungguhnya kamu hanya diberi balasan atas apa yang telah kamu kerjakan.
17. Sesungguhnya orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan.
18. Mereka bersuka ria dengan apa yang diberikan Tuhan kepada mereka dan Tuhan memelihara mereka daripada azab neraka.
19. (Dikatakan kepada mereka): "Makan dan minumlah dengan nikmat sebagai balasan daripada apa yang telah kamu kerjakan."
20. Mereka bersandar di atas pelamin-pelamin yang tersusun dan Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari yang bermata indah.
21. Dan orang yang beriman, berserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangkan sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.
22. Dan Kami berikan kepada mereka tambahan berupa bua -buahan dan daging daripada segala jenis yang mereka ingini.
23. (Di dalam syurga itu) mereka saling menghulurkan gelas yang isinya* tidak (menimbulkan) ucapan yang tidak berfaedah ataupun perbuatan dosa.
* Sebahagian mufassir berkata bahawa ahli syurga juga diberi minuman khamar yang tidak memabukkan.
24. Dan di sekitar mereka terdapat anak-anak muda yang berkeliling untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan.
25. Dan sebahagian mereka berhadap-hadapan antara satu sama lain saling bertegur sapa.
26. Mereka berkata: "Sesungguhnya kami dahulu, sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan azab)."
27. Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami daripada azab neraka.
28. Sesungguhnya kami menyembahNya sejak dahulu. Dialah Yang Maha Melimpahkan Kebaikan, lagi Maha Penyayang."
29. Maka peringatkanlah, kerana dengan nikmat Tuhanmu engkau (Muhammad) bukanlah seorang tukang tenung dan bukan pula orang gila.
30. Bahkan mereka berkata : "Dia adalah seorang penyair yang kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya."
31. Katakanlah (Muhammad): "Tunggulah! Sesungguhnya aku pun termasuk orang yang sedang menunggu bersama kamu."
32. Apakah mereka diperintah oleh fikiran-fikiran mereka untuk mengucapkan (tuduhan-tuduhan) ini ataukah mereka kaum yang melampaui batas?
33. Ataukah mereka berkata: " Dia (Muhammad) mereka-rekanya." Tidak! Merekalah yang tidak beriman.
34. Maka cubalah mereka membuat yang seumpama dengannya (al-Quran) jika mereka orang yang benar.
35. Atau apakah mereka tercipta tanpa usul-usul ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)?
36. Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi? Sebenarnya mereka tidak meyakini (apa yang mereka katakan).
37. Ataukah di sisi mereka ada perbendaharaan Tuhanmu ataukah mereka yang berkuasa?
38. Atau apakah mereka mempunyai tangga (ke langit) untuk mendengarkan (hal-hal yang ghaib)? Maka hendaklah orang yang mendengar di antara mereka itu datang membawa keterangan yang nyata.
39. Ataukah (layak) untuk Dia anak-anak perempuan sedangkan untuk kamu anak-anak lelaki?
40. Ataukah engkau (Muhammad) meminta imbalan kepda mereka sehingga mereka dibebani dengan hutang?
41. Ataukah di sisi mereka mempunyai (pengetahuan) tentang yang ghaib, lalu mereka menuliskannya?
42. Ataukah mereka hendak melakukan tipu daya? Tetapi orang yang kafir itu, justeru merekalah yang terkena tipu daya.
43. Ataukah mereka mempunyai tuhan selain Allah? Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.
44. Dan jika mereka melihat gumpalan-gumpalan awan berjatuhan dari langit, mereka berkata : "Itu adalah awan yang bertompok-tompok."
45. Maka biarkanlah mereka hingga mereka menemui hari (yang dijanjikan kepada) mereka. Pada hari itu mereka dibinasakan.
46. (Iaitu) pada hari (ketika) tipu daya mereka tidak berguna sedikit pun bagi mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan.
47. Dan sesungguhnya bagi orang yang zalim masih ada azab selain itu. Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.*
* Azab selain itu ialah adanya musim kemarau, kelaparan, malapetaka yang menimpa mereka. azab kubur dan lain-lain.
48. Dan bersabarlah (Muhammad) menunggu ketetapan Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada dalam pengawasan Kami dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika engkau bangun.*
* Hendaklah bertasbih ketika kamu bangun daripada tidur atau bangun meninggalkan majlis atau ketika berdiri hendak solat.
49.Dan pada sebahagian malam bertasbihlah kepadaNya dan (juga) pada waktu terbenamnya bintang-bintang (pada waktu fajar).
No comments:
Post a Comment