SURAH AL-FAJR
(Fajar)
(Fajar)
Surah ke 89
Terdiri daripada 30 ayat (Makkiyyah)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
1. Demi fajar.
2. Demi malam yang sepuluh*.
* Malam yang sepuluh itu ialah malam sepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan. Ada pula yang mengatakan sepuluh yang pertama daripada bulan Muharram, termasuk di dalamnya hari Asyura. Dan ada pula mengatakan sepuluh malam pertama pada bulan Zulhijjah.
3. Demi yang genap dan yang ganjil.
4. Demi malam apabila berlalu.
5. Adakah pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) bagi orang yang berakal?
6. Tidakkan engkau (wahai Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap (kaum) 'Aad?
7. (Iaitu) penduduk Iram* yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi.
* Iram ialah ibu kota kaum Aad.
8. Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain.
9. Dan (terhadap) kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah.*
* Lembah ini terletak di bahagian utara Semenanjung Tanah Arab antara kota Madinah dan Syam. Mereka memotong batu gunung untuk membina gedung-gedung tempat tinggal mereka dan ada pula melubangi gunung-ganang untuk tempat tinggal dan tempat berlindung.
10. Dan (terhadap) Firaun yang mempunyai pasak-pasak (bangunan yang besar).
11. Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri.
12. Lalu mereka banyak berbuat kerosakan dalam negeri itu.
13. Kerana itu Tuhanmu menimpakan cemeti azab kepada mereka.
14. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.
15. Maka adapun manusia, apabila Tuhan mengujinya, lalu memuliakannya dan memberinya kesenangan, maka dia berkata: "Tuhanku telah memuliakanku."
16. Namun apabila Tuhan mengujinya, lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: "Tuhanku telah menghinaku."*
* Allah Subhanahu wa Taa'la menyalahkan orang yang mengatakan bahwa kekayaan itu adalah suatu kemuliaan dan kemiskinan adalah suatu kehinaan seperti yang tersebut pada ayat 15 dan 16. Tetapi sebenarnya kekayaan dan kemiskinan adalah ujian Allah Subhanahu wa Taa'la bagi hamba-hambanya.
17. Sekali-kali tidak! Bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim. *
* Tidak memuliakan anak yatim ialah tidak memberikan hak-haknya dan tidak berbuat baik kepadanya,
18. Dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin.
19. Sedangkan kamu memakan harta warisan dengan cara mencampur-baurkan (yang halal dan yang haram).
20. Dan kamu mencintai harta dengan kecintaan yang berlebihan.
21. Sekali-kali tidak! Apabila bumi digoncangkan berturut-turut dan diratakan serata-ratanya.
22. Dan datanglah Tuhanmu; dan malaikat berbaris-baris.
23. Dan pada hari itu diperlihatkan kepada mereka neraka Jahannam; pada hari itu sedarlah manusia, tetapi tidak berguna lagi baginya kesedaran itu.
24. Dia berkata: "Alangkah baiknya sekiranya dahulu aku mengerjakan (kebaikan) untuk hidupku ini."
25. Maka pada hari itu tidak ada seorang pun yang mengazab seperti azabNya* (yang adil).
* Kekerasan azab Allah Subhanahu wa Taa'la sesuai dengan keadilanNya.
26. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengikat dan membelenggu seperti ikatanNYa.
27. Wahai jiwa yang tenang!
28. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredaiNya.
29. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu.
30. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.