Showing posts with label Kitab. Show all posts
Showing posts with label Kitab. Show all posts

Thursday, 22 November 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah 'Abasa

SURAH 'ABASA
(Dia Bermasam Muka)
Surah ke 80
Terdiri daripada 42 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Di (Muhammad) berwajah masam dan berpaling.

2. Kerana seorang buta telah datang kepadanya.*
* Seorang buta itu bernama "Abdullah bin Ummi Maktum mendatangi Rasulullah S.A.W untuk mengetahui tentang ajaran Islam, lalu Rasulullah S.A.W bermuka masam dan berpaling kerana Baginda sedang menghadapi pembesar Quraisy dengan pengharapan agar pembesar-pembesar tersebut mahu masuk Islam. Maka turunlah ayat ini.

3. Dan tahukah engkau (wahai Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (daripada dosa).

4. Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, yang memberi manfaat kepadanya?

5. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup

6. Maka engkau (wahai Muhammad) memberi perhatian kepadanya.

7. Padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman).

8. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran).

9. Sedang dia takut (kepada Allah).

10. Engkau (Muhammad) telah mengabaikannya.

11. Sekali-kali jangan(begitu)! Sesungguhnya, (ajaran-ajaran Allah) itu suatu peringatan.

12. Maka barang siapa mengkehendaki, tentulah dia akan memperhatikannya.

13. Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan (di sisi Allah).

14. Yang ditinggikan (dan) disucikan.

15. (Terpelihara) di tangan para utusan (malaikat).

16. Yang mulia lagi berbakti.

17. Celakalah manusia! Alangkah kufurnya dia!

18.(Tidakkah dia memikirkan) daripada apakah Dia (Allah) menciptakannya?

19. Daripada setitis mani, Dia menciptakannya., lalu menentukannya.

20. Kemudian jalannya Dia mudahkan (ketika dilahirkan ibunya dan sepanjang hayatnya),

21. Kemudian Dia mematikannya lalu menguburkannya,

22. Kemudian jika Dia mengkehendaki, Dia membangkitkanya kembali.

23. Sekali-kali jangan (begitu)! Dia (manusia) itu belum melaksanakan apa yang Dia (Allah) perintahkan kepadanya.

24. Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

25. Kamilah yang telah mencurahkan air melimpah (dari langit).

26. Kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya.

27. Lalu di sana Kami tumbuhkan biji-bijian.

28. Dan anggur dan sayur-sayuran.

29. Dan zaitun dan pohon kurma.

30. Dan kebun-kebun (yang) rendang.

31. Dan buah-buahan serta rerumputan.

32. (Semua itu) untuk kesenangan dan untuk haiwan-haiwan ternakanmu.

33. Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua).

34. Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya.

35. Dan daripada ibu dan bapanya.

36. Dan daripada isteri dan anak-anaknya.

37. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya.

38. Pada hari itu ada wajah-wajah yang berseri-seri.

39. Tertawa dan gembira ria.

40. Dan pada hari itu, ada (pula) wajah-wajah yang tertutup debu (suram).

41. Tertutup oleh kegelapan (ditimpa kehinaan dan kesusahan).

42. Mereka itulah orang-orang kafir yang derhaka.

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Mutaffifin

SURAH ALMUTAFFIFIN
(Orang Yang Curang)
Surah ke 83
Terdiri Daripada 36 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Celakalah bagi orang yang curang!*
* Orang yang curang di sini ialah orang-orang yang curang dalam sukatan dan timbangan.

2. (Iaitu) apabila mereka menerima sukatan daripada orang lain, mereka meminta dipenuhi.

3. Dan apabila mereka menyukat atau menimbang (untuk orang lain), mereka mengurangkannya.

4. Tidakkah mereka itu menyangka bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan.

5. Pada suatu hari yang besar,

6. (Iaitu) pada hari (ketika) semua orang bangkit menghadap Tuhan seluruh alam.

7. Sekali-kali jangan (mereka melakukan perbuatan yang salah itu)! Sesungguhnya catatan orang yang derhaka benar-benar tersimpan dalam Sijjin.*
*Sijjin ialah nama kitab yang mencatat segala perbuatan orang derhaka.

8. Dan tahukah engkau apakah Sijjin itu?

9. (Iaitu) Kitab yang berisi catatan (amal).

10. Celakalah pada hari itu, bagi orang yang mendustakan!

11. (Iaitu) orang yang mendustakannya (hari pembalasan).

12. Dan tidak ada yang mendustakannya (hari pembalasan) kecuali setiap orang yang melampaui batas dan berdosa,

13. Yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata :"Itu adalah dongeng orang dahulu."

14. Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka.

15. Sekali-kali tidak!* Sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang daripada (melihat) Tuhannya.
* Sekali-kali tidak! seperti apa yang mereka katakan bahawa mereka dekat pada sisi Tuhan.

16. Kemudian, sesungguhnya mereka benar-benar masuk neraka.

17. Kemudian, dikatakan (kepada mereka): " Inilah (azab) yang dahulu kamu dustakan.

18. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya catatan orang yang berbakti benar-benar tersimpan dalam 'Illiyyin.*
* Illiyyin ialah nama kitab yang mencatat segala perbuatan orang berbakti.

19. Dan tahukah engkau apakah 'Illiyyin itu?

20. (Iaitu) Kitab yang berisi catatan (amal).

21 Yang disaksikan oleh (malaikat-malaikat) yang didekatkan (kepada Allah).

22. Sesungguhnya orang yang berbakti benar-benar berada dalam (syurga yang penuh) kenikmatan.

23. Mereka (duduk berehat) di atas pelamin-pelamin sambil memandang-mandang (kenikmatan yang diberikan).

24. Kamu dapat mengetahui daripada wajah mereka kesenangan hidup penuh kenikmatan.

25. Mereka diberi minum daripada khamar murni (tidak memabukkan) yang (bekasnya) masih bersalut.

26. (Bahan) salutannya daripada Kasturi. Dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba bagi merebut kelebihan dan kesenangan itu.

27. Dan campurannya daripada tasnim,

28. (Iaitu) mata air yang diminum oleh mereka yang dekat (kepada Allah).

29. Sesungguhnya orang yang berdosa adalah mereka yang dahulunya mentertawakan orang yang beriman.

30. Dan apabila mereka (orang yang beriman) melintas di hadapan mereka, mereka saling mengerdip-ngerdip matanya.

31. Dan apabila mereka kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira ria.

32. Dan apabila mereka melihat (orang mukmin), mereka mengatakan: " Sesungguhnya mereka benar-benar orang yang sesat."

33. Padahal (orang yang berdosa itu), mereka tidak diutus sebagii penjaga (orang mukmin).

34. Maka pada hari ini, orang yang beriman yang mentertawakan orang kafir.

35. Mereka (duduk berehat) di atas pelamin-pelamin serta melihat (hal keadaan yang berlaku kepada orang yang kafir).

36. Apakah orang kafir itu diberi balasan (hukuman) terhadap apa yang telah mereka lakukan?.

Saturday, 22 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 80-96

80. Dam mereka berkata: " Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali selama beberapa hari sahaja." Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji daripada Allah sehungga Allah tidak akan memungkiri janjiNya atau kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"

81. (Bukan demikian), yang benar, barangsiapa berbuat dosa dan dia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

82. Dan orang yang beriman serta beramal soleh, mereka itu penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.

H. Bani Israel Mengingkari Janjinya Dengan Allah Subhanahu wa Taa'la.
83. Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji taat setia daripada Bani Israel, (iaitu) janganlah kamu menyembah selain Allah dan berbuat baiklah kepada kaum keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang miskin serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan kamu selalu mengingkarinya.

84. Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji taat setia dari kamu, (iaitu) kamu tidak akan menumpahkan darahmu (membunuh orang) dan kamu tidak akan mengusir dirimu (saudaramu sebangsa) dari kampung halamanmu, kemudian kamu berikrar (akan memenuhinya) sedang kamu menyaksikannya.

85. Kemudian kamu (Bani Israel) membunuh dirimu (saudaramu sebangsa) dan mengusir segolongan dari kamu dari kampung halamannya, kamu bantu-membantu terhadap mereka dengan perbuatan dosa dan permusuhan, tetapi jika mereka datang kepadamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, padahal mengusir mereka itu (juga) dilarang bagimu. Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiada alasan kepada orang yang berbuat demikian darimu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lalai dari apa yang kamu telah lakukan.*
* Ayat ini berkenaan dengan cerita orang Yahudi di Madinah pada permulaan Hijrah. Sebelum Islam, selalu terjadi persengketaan dan perperangan antara suku 'Aus dan suku Khazraj. Sehingga antara kedua suku Yahudi tersebut menjadi peperangan dan tawan-menawan kerana membantu sekutu-sekutunya. Tetapi, jika kemudian ada orang Yahudi tertawan, maka suku-suku Yahudi tersebut bersepakat untuk menebusnya sungguh pun mereka berperang.

86. Itulah orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan seksa mereka dan mereka tidak akan ditolong.

I. Sikap Orang Yahudi Terhadap Para Rasul dan Kitab-kitab Yang Diturunkan Allah Subhanahu wa Taa'la.
87. Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan al-Kitab (Taurat) kepada Musa dan Kami telah menyusulinya (berturut-turut) sesudah itu dengan rasul-rasul dan telah Kami berikan bukti-bukti kebenaran (mukjizat) kepasa Isa putera Maryam dan Kami memperkuatkannya dengan Ruhul-Qudus.* Apakah setiap kali datang kepadamu seorang Rasul membawa sesuatu (pelajaran) yang tidak sesuai dengan keinginanmu, lalu kamu angkuh, maka beberapa orang (di antara mereka) kamu dustakan dan beberapa orang (yang lain) kamu bunuh?
* Kejadian Nabi Isa 'Alaihissalam adalah kejadian yang luar biasa tanpa bapa iaitu dengan tiupan Ruhul-Qudus oleh malaikat Jibril 'Alaihissalam kepada diri Maryam. Ini termasuk mukjizat Nabi Isa 'Alaihissalam. Menurut jumhur mufassir, Ruhul-Qudus ialah malaikat Jibril 'Alaihissalam.

88. Dan mereka berkata: "Hati kami tertutup." Tetapi sebenarnya Allah telah mengutuk mereka kerana keingkaran mereka, maka sedikit sekali mereka yang beriman.

89. Dan setelah datang kepada mereka al-Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang kafir, maka telah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui,* lalu mereka ingkar kepadanya. Maka laknat Allah ke atas orang yang ingkar itu.
* Kedatangan dan sifat-sifat Nabi Muhammad SAW diterangkan dalam Taurat.

90. Alangkah buruknya (perbuatan) mereka yang menjual dirinya sendirinya dengan mengingkari apa yang telah diturunkan Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan kurniaanNya* kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Kerana itulah mereka mendapat kemurkaan demi kemurkaan.** Dan untuk orang kafir seksaan yang menghinakan.
* Allah menurunkan wahyu kenabian kepada Nabi Muhammad SAW.
** Mereka mendapat kemurkaan yang berlipat ganda, iaitu kemurkaan kerana tidak beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan kemurkaan kerana perbuatan mereka sebelumnya iaitu membunuh para nabi, mendustakannya, mengubah isi Taurat dan sebagainya.

91. Dan apabila dikatakan kepada mereka: " Berimanlah kepada al-Quran yang diturunkan Allah." Mereka berkata: "Kami hanya beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami." Dan mereka ingkar kepada al-Quran yang diturunkan setelahnya, sedangkan al-Quran adalah (kitab) yang hak yang membenarkan apa yang ada pada mereka. Katakanlah: " Mengapa kamu dahulu membunuh nabi-nabi Allah jika benar kamu orang yang beriman?

J. Penyembah Anak Lembu Yang Dilakukan Bangsa Yahudi Merupakan Tanda Kecenderungan Mereka Kepada Kebendaan.
92. Sesungguhnya Musa telah datang kepadamu membawa bukti-bukti kebenaran (mukjizat), kemudian kamu jadikan anak lembu (sebagai sembahan) sesudah (pemergian)nya* dan sebenarnya kamu adalah orang yang zalim.
* Pemergian Nabi Musa 'Alaihissalam ke Tur Sina.

93. Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji taat setia dari kamu dan Kami angkat Bukit Sinai ( Tur Sina) di atasmu (seraya Kami berfirman): "Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan dengarkanlah!" Mereka menjawab: "Kami dengar tetapi tidak mentaatinya." Dan telah meresap ke dalam hati mereka itu (kecintaan menyembah) anak lembu kerana kekafiran mereka. Katakanlah : " Amat jahat* perbuatan yang diperintahkan imanmu kepadamu jika betul kamu beriman (kepada Taurat)."
* Perbuatan jahat yang mereka kerjakan ialah menyembah anak lembu, membunuh nabi-nabi dan melanggar janji.

94. Katakanlah: "Jika kamu (menganggap bahawa) kampung akhirat (syurga) itu khusus untukmu di sis Allah, bukan untuk orang lain, maka cita-citakanlah* kematian(mu), jika kamu memang orang yang benar.
* Mintalah agar kamu dimatikan sekarang juga.

95. Dan sekali-kali mereka tidak akan menginginkan kematian itu selama-lamanya kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh tangan mereka (sendiri). Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang yang zalim.

96. Dan kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) daripada orang Musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu itu sekali-kai tidak akan menjauhkan mereka dari azab. Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.