Showing posts with label Orang Munafik. Show all posts
Showing posts with label Orang Munafik. Show all posts

Thursday, 27 November 2014

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Hashr

SURAH AL-HASHR
(Pengusiran)
Surah ke-59
Terdiri daripada 24 ayat (Madaniyyah)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


1. Segala yang ada di langit dan di Bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

2. Dialah yang telah mengeluarkan orang kafir di kalangan Ahli Kitab dari kampung halaman mereka pada saat pengusiran yang pertama (kerana memerangi Rasulullah). Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (daripada azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azab-Nya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka dan mencampakkan rasa takut  ke dalam hati mereka, (lalu) mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka ambillah pengajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang yang berakal fikiran (serta celik mata hatinya).

3. Jika tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, tentulah Dia akan menyeksa mereka di dunia. Mereka pula akan beroleh azab neraka pada hari akhirat kelak.

4. (Mereka ditimpakan azab yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amat keras azab-Nya.

5. Apa-apa jua pohon tamar (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah dan kerana Dia hendak menimpakan kehinaan kepada orang yang fasiq.

6. Dan apa jua yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya daripada peninggalan harta benda mereka (yang telah diusir itu, maka kamu tidak berhak mendapatkannya), kerana kamu tidak memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka); sesiapa yang dikehendaki-Nya (dengan tidak payah berperang). Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

7. Apa sahaja harta rampasan yang allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) daripada harta penduduk kota-kota (dengan tidak berperang), maka adalah ia hak bagi Allah, Rasulullah, kaum kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang miskin dan orang musafir (yang terputus bekalannya). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang kaya daripada kalangan kamu. Apa jua yang diberikan oleh Rasulullah (sama ada pemberian atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa jua larangannya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya)

8. (Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang fakir Muhajirin yang telah diusir keluar dari kampung halaman dan harta benda mereka untuk mencari limpah kurniaan daripada Allah dan keredaan-Nya, serta menolong (agama) allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang yang benar (keimanannya).

9. Dan orang (Ansar) yang mendiami kota (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan iri hati terhadap apa yang telah diberi kepada orang Muhajirin itu; serta mereka juga mengutamakan orang Muhajirin itu melebihi diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kesusahan (sangat memerlukan pemberian itu). (Ingatlah) sesiapa yang dipelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.

10. Orang (Islam) yang datang sesudah mereka (berdoa dengan) berkata, "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau wujudkan perasaan hasad dengki dalam hati kami terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."

11. Tidakkah engkau memperhatikan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang munafik itu yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir daripada kalangan Ahli Kitab (kaum Yahudi), "Sesungguhnya, jika kamu diusir keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu; dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapa pun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan jika kamu diperangi, sudah pasti kami akan membela kamu!" Allah menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.

12. Sesungguhnya jika orang (Yahudi) itu diusir keluar (dari Madinah), mereka (yang minafik) ini tidak akan keluar bersama-bersama mereka; dan sesungguhnya jika orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak akan membelanya; dan sesunggunhnya, jika mereka membelanya sekalipun, sudah tentu mereka (yang munafik) akan perbaling tadah; kemudian mereka (Yahudi) tidak akan mendapat pertolongan.

13. (Kerana) sesungguhnya kamu sangat ditakuti dalam hati mereka melebihi Allah. Yang demikian itu kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti (akan kekuasaan Allah dan kebesaran-Nya)

14. (Orang Yahudi dan orang munafik) tidak berani memerangi kamu walaupun mereka bersatu padu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh atau di sebalik tembok. (Ini kerana) permusuhan antara mereka sesama sendiri amatlah hebat. Engkau menyangka mereka bersatu padu, sedangkan hati mereka berpecah belah (disebabkan perbezaan kepercayaan mereka). Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti (perkara yang memberi kebaikan kepada mereka).

15. (Keadaan kaum Yahudi itu) samalah seperti orang (daripada suku Yahudi) yang terdahulu sedikit daripada mereka yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) daripada perbuatan mereka. Mereka pula akan beroleh azab yang pedih (pada hari akhirat kelak).

16. (Sikap orang munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia berkata kepada manusia, "Kafirlah engkau!" Setelah orang itu menjadi kafir, syaitan itu berkata kepadanya, "Sesungguhnya aku berlepas diri daripada engkau, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam!".

17. Maka kesudahan kedua-duanya, bahawa mereka ditempatkan di dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim.

18. Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat Menyeluruh Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.

19. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan Allah (tidak mentaati perintah-Nya), lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka sendiri (untuk melakukan ketaatan dan kebajikan). Mereka itulah orang yang fasiq.

20. Tidaklah sama ahli neraka dengan ahli syurga. Ahli syurgalah orang yang beroleh kemenangan.

21. Sekiranya Kami menurunkan al-Qur'an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyu' (tunduk) serta hancur berkecai kerana takut kepada Allah. Perumpamaan-perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.

22. Dialah Allah, yang tiada tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata. Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

23. Dialah Allah, Yang tidak ada tuhan melainkan Dia ;Yang Menguasai (sekian alam), Yang Maha Suci ; Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada sehala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Mengawal serta Mengawas; Yang Maha Perkasa; Yang Maha Gagah (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengan-Nya.

24. Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; yang Mengadakan (daripada tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); Yang mempunyai nama-nama yang terbaik (al-asma'u al-Husna). Segala yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Thursday, 22 August 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Munafiqun

SURAH AL-MUNAFIQUN
(Orang Munafik)
Surah ke 63
Terdiri daripada 11 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata, "kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sememangnya Rasulullah." Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.

2. Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai, (untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh dan harta mereka daripada dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) daripada menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

3. Demikian itu adalah kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang Islam), kemudian mereka menjadi kafir, lalu dengan sebab itu hati mereka dikunci mati. Kerana itu, mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).

4. Dan apabila engkau melihat mereka, engkau kagum dengan tubuh badan mereka. Apabila mereka berkata-kata, engkau juga kagum mendengar tutur kata mereka (kerana manis dan petah). (Dalam pada itu) mereka umpama batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). (Kerana rasa bersalah, mereka sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) mereka menyangka setiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah ditujukan kepada mereka (untuk membahayakan mereka). Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berwaspadalah terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka daripada rahmat-Nya. (Pelik) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada kebenaran sedangkan buktinya jelas)?

5. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu," mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepala; dan engkau melihat mereka berpaling (daripada bertaubat) serta mereka bersikap sombong.

6. (Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah sekali-kali tidak akan mengampuni mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasiq.

7. Merekalah yang mengatakan (kepada orang di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang Muhajirin), "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkannya." Padahal Allah memiliki perbendaharaan langit dan bumi (Justeru, tiada sesiapa pun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya). Tetapi orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).

8. Mereka berkata lagi, "Sesungguhnya jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang yang hina lagi lemah (pihak  Islam)." Padahal kemuliaan dan kekuatan itu adalah milik Allah, untuk Rasul-Nya dan orang yang beriman. Tetapi orang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

9. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). (Ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi. 

10. Nafkahkanlah (dengan mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal mautku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi di kalangan orang yang soleh.

11. Allah sekali-kali tidak akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya. Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Wednesday, 26 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 204-220


M. Perbuatan Orang Munafik.
204. Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras.

205. Dan apabila dia berpaling (dari kamu), dia berjalan di bumi untuk membuat kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternakan dan Allah tidak menyukai kebinasaan.*
* Ungkapan ini adalah ibarat untuk orang yang berusaha menggoncangkan iman orang mukmin dan selalu mengadakan kekacauan.

206. dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah," bangkitlah kesombongannya menyebabkan berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.

207. Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.

208. Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

209. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

210. Tiada yang mereka nanti-nantikan (pada hari kiamat) melainkan datangnya (azab) Allah bersama malaikat dalan naungan awan,* sedangkan perkara (mereka) telah diputuskan. Dan hanya Allah dikembalikan segala urusan.
* Naungan awan bersama malaikat biasanya mendatangkan hujan yang ertinya rahmat, tetapi rahmat yang diharap-harapkan itu tidaklah datang melainkan azab Allah. 

Hikmah Diutusnya Para Rasul dan Pelbagai Cubaan Bagi Para Pengikutnya. 
211. Tanyakanlah kepada Bani Israel: "Berapa banyakkah tanda-tanda (kebenaran)* yang nyata, yang telah Kami berikan kepada mereka." Dan barangsiapa yang menukar nikmat Allah** setelah datang nikmat itu kepadanya, maka sesungguhnya Allah sangat keras seksaanNya.
* iaitu tanda-tanda kebenaran yang dibawa nabi-nabi mereka, yang menunjukkan kepada keEsaan Allah dan kebenaran nabi-nabi itu selalu mereka tolak.
** Nikmat Allah di sini ialah perintah-perintah dan ajaran-ajaran Allah.

212. Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang kafir dan mereka memandang hina orang yang beriman. Padahal orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka pada hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang dikehendakiNya tanpa batas.

213. Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelag datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk kepada orang yang beriman tentang kebenaran yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.

214. Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh mala petaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.


BEBERAPA HUKUM SYARIAT

Orang Yang Diberi Nafkah
215. Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: "Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang sedang dalam perjalanan." dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. 

Hukum Perang Dalam Islam.
216. Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

217. Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (orang mukmin) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi orang mukmin dari memasuki) Masjid al-Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah."* Dan berbuat fitnah** lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sehingga mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
* Menurut pendapat ar-Razi, maka terjemahan ayat di atas seperti berikut: Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar dan (adalah bererti) menghalangi (orang mukmin) dari jalan Allah, kafir kepada Allah dan (menghalangi orang mukmin daripada memasuki) Masjid al-Haram. Tetapi mengusir penduduknya dari Masjid al-Haram (Mekah) lebih besar dari (dosanya) di sisi Allah. Pendapat ar-Razi ini mungkin berdasarkan pertimbangan bahawa mengusir Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya dari Masjid al-Haram sama dengan menumpas agama Islam.
* Penganiayaan dan segala perbuatan yang dimaksudkan untuk menindas Islam dan kaum muslimin.

218. Sesungguhnya orang yang beriman, orang yang berhijrah di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

Khamar, Judi, Harta Yang Dinafkahkan dan Pemeliharaan Anak Yatim.
219. Mereka bertanya kepadamu tentang khamar* dan judi. Katakanlah: " Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan.Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan." Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir.
* Segala sesuatu yang memabukkan.

220. Tentang dunia dan akhirat. Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim. Katakanlah: "Mengurus urusan mereka secara sepatutnya adalah baik" dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.