Friday, 28 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Bayyinah

SURAH AL-BAYYINAH
(Bukti Yang Nyata)
Surah ke 98
Terdiri daripada 8 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Orang yang kafir daripada golongan Ahli Kitab dan orang musyrik tidak akan meninggalkan (agama mereka) sampai datang kepada mereka bukti yang nyata.

2. (Iaitu) seorang utusan daripada Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang suci (al-Quran)

3. Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab (terdahulu) yang benar.

4. Dan tidaklah berpecah-pecah Ahli Kitab melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang nyata.

5. Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaatiNya, semata-mata kerana (menjalankan) agama dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar).

6. Sesungguhnya orang yang kafir daripada golongan Ahli Kitab yang musyrik (akan masuk) ke dalam neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka itu adalah sejahat-jahat makhluk.

7. Sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.

8. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda kepadaNya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.

Terjemahan Al_Quran - Surah Al-Zalzalah

SURAH AL-ZALZALAH
(Kegoncangan)
Surah ke 99
Terdiri daripada 8 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat.

2. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya.

3. Dan manusia bertanya: "Apa yang terjadi pada bumi ini?"

4. Pada hari itu bumi menyampaikan berita.

5. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) padanya.

6. Pada hari ini manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok,* untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) semua perbuatannya.
* Ada di antara mereka yang putih mukanya dan ada pula yang hitam dan sebagainya.

7. Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

8. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-'Adiyat

SURAH AL-'ADIYAT
(Kuda Perang)
Surah ke 100
Terdiri daripada 11 ayat ( Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

1. Demi kuda perang yang berlari kencang termengah-mengah.

2. Dan kuda yang memercikkan bunga api (dengan pukulan kuku kakinya)

3. Dan kuda yang menyerang (dengan tiba-tiba) pada waktu pagi.

4. Sehingga menerbangkan debu.

5. Lalu meyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh.

6. Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, (tidak bersyukur) kepada Tuhannya.

7. Dan sesungguhnya dia (manusia) menyaksikan (mengakui) keingkarannya.

8. Dan sesungguhnya cintanya kepada harta benar-benar berlebihan.*
* Sebahagian ahli tafsir menerangkan bahawa manusia itu sangat kuat cintanya kepada harta sehingga menjadi bakhil.

9. Maka tidakkah dia mengetahui apabila apa yang didalam kubur dikeluarkan.

10. Dan apa yang tersimpan di dalam dada dilahirkan?

11. Sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Teliti terhadap keadaan mereka.