Thursday, 27 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 221-239


Asas-asas Hukum Perkahwinan, Penceraian dan Penyusuan.
221. Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita hamba yang mukmin lebih baik daripada wanita musyrik walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba yang mukmin lebih baik baik daripada orang yang musyrik walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka. Sedangkan Allah mengajak ke syurga dan keampunan dengan izinNya. Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya (perintah-perintahNya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran.

222. Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: "Haid itu adalah kotoran." Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri* dari wanita di waktu haid dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci**. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.
* Jangan menyetubuhi wanita yang sedang haid
** Iaitu sesudah mandi. Ada pula yang mentafsirkan sesudah darah berhenti keluar.

223. Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk tanammu itu bagaimana saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah (amal yang baik) untuk dirimu dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kelak kamu akan menemuiNya. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman.

224. Janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan mengadakan islah (pembaikan) di antara manusia.* Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
* Melarang bersumpah dengan mempergunakan nama Allah untuk tidak mengerjakan yang baik seperti : " Demi Allah saya tidak akan membantu anak yatim." Tetapi apabila sumpah itu telah terucapkan, haruslah dilanggar dengan membayar kifarat.

225. Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja (untuk bersumpah) oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun.*
* Penyantun adalah terjemahan kata Halim, yang bererti tidak segera menyeksa orang yang berbuat dosa.

226. Kepada orang yang mengila' isterinya* diberi tangguh empat bulan (lamanya). Kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
* Bersumpah tidak akan mencampuri isteri. Dengan sumpah ini, seorang isteri menderita kerana tidak disetubuhi dan tidak pula diceraikan. Dengan turunnya ayat ini, maka setelah empat bulan, suami harus memilih antara menyetubuhi isterinya kembali dengan membayat kifarat sumpah atau menceraikannya.

227. Dan jika mereka berazam (bertetap hati dengan) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

228. Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru'.* Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suaminya berhak merujuknya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) menghendaki islah. Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi, para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya.** Dan Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.
* Bererti "suci" atau "haid"
** Hal ini disebabkan kerana suami bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan rumahtangga (lihat surah al-Nisa': ayat 34)

229. Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Setelah itu, boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik. Tidak halal bagi kamu mengambil kembali dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya khuatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.* Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang yang zalim.
* Ayat inilah yang menjadi dasar hukum khulu' dan penerimaan 'iwad. Khulu' (tebus talak), iaitu permintaan cerai kepada suami dengan pembayaran yang disebut 'iwad.

230. Kemudian jika si suai mentalaknya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia berkahwin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan isteri) untuk berkahwin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkanNya kepada kaum yang (mahu) mengetahui. 

231. Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir idahnya, maka rujuklah mereka dengan cara yang makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang makruf (pula). Janganlah kamu rujuk mereka untuk memberi kemudaratan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka.* Barangsiapa berbuat demikian, maka sungguh ia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan hukum-hukum Allah sebagai permainan. Dan ingatlah nikmat Allah padamu dan apa yang telah diturunkan Allah kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah). Allah memberi pelajaran kepadamu dengan apa yang diturunkanNya itu. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
* Umpamanya; memaksa mereka meminta cerai dengan jalan khulu' atau membiarkan mereka hidup terumbang-ambing.

232. Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis idahnya,  maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka berkahwin lagi dengan bakal suaminya, * apabila telah terdapat kerelaan dia antara mereka dengan cara yang makruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari kemudian. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.
* Berkahwin ini dengan bekas suami atau dengan lelaki yang lain.

233. Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya dan waris pun berkewajipan demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (menghentikan penyusuan sebelum dua tahun), dengan kerelaan keduanya dan musyawarah, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

234. Orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri, (hendaklah para isteri itu) menunggu (beridah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis idahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka* menurut cara yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.
* Berhias atau berpergian atau menerima pinangan.

235. Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu* dengan sindiran** atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang makruf.*** Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk berakad nikah sebelum habis idahnya. Dan ketahuilah bahawasanya allah mengetahui apa yang ada di dalam hatimu, maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun.
*Yang suaminya telah meninggal dunia dan masih dalam idah.
** Wanita yang boleh dipinang secara sindiran ialah wanita yang dalam idah kerana meninggal suaminya atau kerana talak ba'in, sedangkan wanita yang dalah idah talak raj'i tidak boleh dipinang walaupun dengan sindiran.
*** Perkataan sindiran yang baik.

236. Tidak ada dosa bagimu jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu yang belum kamu sentuh (campuri) atau belum kamu tentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut'ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemahuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut. Demikian itu merupakan ketentuan bagi orang yang berbuat kebajikan.

237. Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah* dan kemaafaan kamu itu lebih dekat kepada takwa. Dan janganlah kamu melupakan keutamaan di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu kerjakan.
* Suami atau wali. Kalau wali yang memaafkan, maka suami dibebaskan dari membayar mahar yang seperdua, sedangkan kalau suami yang memaafkan, maka dia membayar seluruh mahar.

Kewajipan Mengerjakan Solat Biarpun Dalam Keadaan Takut.
238. Peliharalah segala solat(mu) dan (peliharalah) solat Wusta.* Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk.
* Solat Wusta ialah solat yang di tengah-tengah dan yang paling utama. Ada pula yang berpendapat bahawa solat Wusta alah solat Asar. Menurut kebanyakan ahli hadith, ayat ini menekankan agar semua solat dikerjakan dengan sebaik-baiknya.

239. Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu telah aman, maka ingatilah Allah (solatlah) sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.



No comments:

Post a Comment