Friday, 28 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Qadr

SURAH AL-QARD
(Kemuliaan)
Surah ke 97
Terdiri daripada 5 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr.*
*Lailatul Qadr iaitu suatu malam yang penuh kemuliaan dan kebesaran, kerana malam itu permulaan turunnya al-Quran

2. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu?

3. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.

4. Pada malam itu turun para malaikat dan roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan.

5. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Bayyinah

SURAH AL-BAYYINAH
(Bukti Yang Nyata)
Surah ke 98
Terdiri daripada 8 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Orang yang kafir daripada golongan Ahli Kitab dan orang musyrik tidak akan meninggalkan (agama mereka) sampai datang kepada mereka bukti yang nyata.

2. (Iaitu) seorang utusan daripada Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang suci (al-Quran)

3. Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab (terdahulu) yang benar.

4. Dan tidaklah berpecah-pecah Ahli Kitab melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang nyata.

5. Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaatiNya, semata-mata kerana (menjalankan) agama dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar).

6. Sesungguhnya orang yang kafir daripada golongan Ahli Kitab yang musyrik (akan masuk) ke dalam neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka itu adalah sejahat-jahat makhluk.

7. Sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.

8. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda kepadaNya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.

Terjemahan Al_Quran - Surah Al-Zalzalah

SURAH AL-ZALZALAH
(Kegoncangan)
Surah ke 99
Terdiri daripada 8 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat.

2. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya.

3. Dan manusia bertanya: "Apa yang terjadi pada bumi ini?"

4. Pada hari itu bumi menyampaikan berita.

5. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) padanya.

6. Pada hari ini manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok,* untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) semua perbuatannya.
* Ada di antara mereka yang putih mukanya dan ada pula yang hitam dan sebagainya.

7. Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

8. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-'Adiyat

SURAH AL-'ADIYAT
(Kuda Perang)
Surah ke 100
Terdiri daripada 11 ayat ( Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

1. Demi kuda perang yang berlari kencang termengah-mengah.

2. Dan kuda yang memercikkan bunga api (dengan pukulan kuku kakinya)

3. Dan kuda yang menyerang (dengan tiba-tiba) pada waktu pagi.

4. Sehingga menerbangkan debu.

5. Lalu meyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh.

6. Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, (tidak bersyukur) kepada Tuhannya.

7. Dan sesungguhnya dia (manusia) menyaksikan (mengakui) keingkarannya.

8. Dan sesungguhnya cintanya kepada harta benar-benar berlebihan.*
* Sebahagian ahli tafsir menerangkan bahawa manusia itu sangat kuat cintanya kepada harta sehingga menjadi bakhil.

9. Maka tidakkah dia mengetahui apabila apa yang didalam kubur dikeluarkan.

10. Dan apa yang tersimpan di dalam dada dilahirkan?

11. Sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Teliti terhadap keadaan mereka.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Qari'ah

SURAH AL-QARI'AH
(Hari Kiamat)
Surah ke 101
Terdiri daripada 11 ayat ( Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Hari Kiamat,

2. Apakah hari Kiamat itu?

3. Dan tahukah kamu apakah hari Kiamat itu?

4. Pada hari itu manusia seperti kupu-kupu yang beterbangan.

5. Dan gunung-ganang sepertu bulu yang dihambur-hamburkan.

6. Maka ada pun orang yang berat timbangan (kebaikan)nya,

7. Maka dia dalam kehidupan yang memuaskan (senang).

8. Dan adapun orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya,

9. Maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah.

10. Dan tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu?

11. (Iaitu) api yang sangat panas.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Takathur

SURAH AL-TAKATHUR
(Bermegah-megah)
Surah ke 102
Terdiri daripada 8 ayat ( Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Perbuatan bermegah-megahan dan berlumba-lumba telah melaikan kamu.*
* Bermegah-megahan dalam soal banyak anak, harta, pengikut, kemuliaan dan seumpamanya telah melalaikan  kamu dari ketaatan.

2. Sampai kamu masuk ke dalam kubur.

3. Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui ( akibat perbuatanmu itu)

4. Kemudian sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui.

5. Sekali-kali tidak! Sekiranya kamu mengetahui dengan pasti.

6. Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim

7. Kemudian kamu benar-benar akan melihatnya dengan mata kepala sendiri.*
* Ainul yaqin ertinya melihat dengan mata kepala sendiri sehingga menimbulkan keyakinan yang kuat.

8. Kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan ( yang dikecapi di dunia itu).


Terjemahan Al-Quran - Surah Al-'Asr

SURAH AL-'ASR
(Masa)
Surah ke 103
Terdiri daripada 3 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Demi masa.

2. Sesungguhnya manusia kerugian.

3. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Humazah

SURAH AL-HUMAZAH
(Pengumpat)
Surah ke 104
Terdiri daripada 9 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela.

2. Yang mengumpulkan harta dan penghitung-hitungkannya.*
* Mengumpulkan dan menghitung-hitung harta yang kerananya dia menjadi bakhil dan tidak mahu menafkahkannya di jalan Allah Subhanahu wa Taa'la.

3. Dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya.

4. Sekali-kali tidak! Pasti dia akan dilemparkan ke dalam (neraka) Hutamah.

5. Dan tahukah kamu apakah (neraka) Hutamah itu?

6. (Iaitu) api (azab) Allah yang dinyalakan.

7. Yang (membakar) sampai ke hati.

8. Sesungguhnya, api itu ditutup rapat atas (diri) mereka.

9. (Sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Fiil

SURAH AL-FIIL
(Gajah)
Surah ke 105
Terdiri daripada 5 ayat (Makiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Tidakkah engkau ( wahai Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah?*
* Tentera bergajah ialah tentera yang dipimpin oleh Abrahah, Gabenor Yaman, yang hendak menghancurkan Kaabah. Sebelum masuk ke Kota Mekah, tentera tersebut diserang burung-burung yang melemparinya dengan batu-batu kecil sehingga mereka musnah.

2. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia?.

3. Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

4. Yang melempari mereka dengan batu daripada tanah liat yang dibakar.

5. Sehingga Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Terjemahan Al-Quran - Surah Quraisy

SURAH QURAISY
(Suku Quraisy)
Surah ke 106
Terdiri daripada 4 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Kerana kebiasaan orang Quraisy.

2. (Iaitu) kebiasaan mereka bermusafir (menjalankan perniagaan) pada musim dingin dan musim panas.*
* Orang Quraisy biasa mengadakan perjalanan, terutama untuk berdagang ke negeri Syam pada musim panas dan ke negeri Yaman pada musim dingin. Dalam perjalanan itu, mereka mendapat jaminan keamanan daripada para penguasa negeri-negeri yang dilaluinya. Ini adalah suatu nikmat yang amat besar daripada Allah Subhanahu wa Taa'la kepada mereka.

3. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan (pemilik) rumah ini (Kaabah).

4. Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada rasa ketakutan.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Ma'un

SURAH AL-MA'UN
(Bantuan)
Surah ke 107
Terdiri daripada 7 ayat (Makiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?

2. Mereka itu ialah orang yang mengherdik anak yatim.

3. Dan tidak mendorong memberi makan orang miskin.

4. Maka celakalah orang yang solat.

5. (Iaitu) orang yang lalai terhadap solatnya.

6. Yang berbuat riak.*
* Riak ialah melakukan sesuatu amal perbuatan bukan untuk mencari keredaan Allah Subhanahu wa Taa'la, akan tetapi untuk mencari pujian atau kemasyhuran di mata masyarakat.

7. Dan enggan (memberikan) bantuan.*
* Sebahagian mufassir mengertikan dengan "enggan membayar zakat".

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Kauthar

SURAH AL-KAUTHAR
(Nikmat Yang Banyak)
Surah ke 108
Terdiri daripada 3 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Sesungguhnya , Kami telah mengurniakanmu (Wahai Muhammad) nikmat yang banyak.

2. Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan dekatkan diri kepada Allah).*
* Menyembelih haiwan korban sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Taa'la

3. Sesungguhnya orang yang membencimu, dialah yang terputus (daripada rahmat Allah).

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Kafirun

SURAH AL-KAFIRUN
(Orang Kafir)
Surah ke 109
Terdiri daripada 6 ayat (Makkiyyah)

Tidak Ada Toleransi Dalam Hal Keimanan dan Peribadatan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Katakanlah :" Wahai orang kafir."

2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

3. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.

4. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.

5. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.

6. Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Nasr

SURAH AL_NASR
(Pertolongan)
Surah ke 110
Terdiri daripada 4 ayat (Madaniyyah)

Pertolongan dan Kemenangan Datangnya Dari Allah Subhanahu wa Taa'la

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

1. Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan,

2. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.

3. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Masad

SURAH AL-MASAD
(Sabut)
Surah ke 111
Terdiri daripada 5 ayat (Makkiyyah)

Tukang Fitnah Pasti Celaka

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

1. Binasalah kedua tangan Abu Lahab*, dan sesungguhnya dia akan binasa.
* "Kedua tangan Abu Lahab" ialah Abu Lahab sendiri.

2. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan.

3. Dan akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.

4. Dan (begitu juga binasalah) isterinya, pembawa kayu bakar.*
* Pembawa kayu bakar dalam bahasa Arab adalah kiasan bagi penyebar fitnah. Isteri Abu Lahab disebut pembawa kayu bakar kerana dia selalu menyebar-nyebarkan fitnah untuk memburuk-burukkan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin.

5. Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal. 

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Falaq

SURAH AL-FALAK
(Waktu Subuh)
Surah ke 113
Terdiri daripada 5 ayat (Madaniyyah)

Allah Subhanahu wa Taa'la Pelindung Dari Segala Kejahatan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang.

1. Katakankan: "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh.

2. Daripada kejahatan makhlukNya.

3. Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita.

4. Dan daripada kejahatan wanita-wanita tikang sihir yang menghembus pada simpulan.*
* Kebiasaannya tukang-tukang sihir dalam melakukan sihirnya mereka membuat simpulan dari tali, lalu membacakan jampi-jampi dengan menghembuskan nafasnya ke simpulan tali tersebut.

5. Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki."

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Nas

SURAH AL-NAS
(Manusia)
Surah ke 114
Terdiri daripada 6 ayat (Madaniyyah)

Allah Subhanahu wa Taa'la Pelindung Manusia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. 

2. Raja Yang Menguasai sekalian manusia.

3. Sembahan (Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia)

4. Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi.

5. Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.

6. Daripada (golongan) jin dan manusia.  

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Ikhlas

SURAH AL-IKHLAS
(Memurnikan Keesaan Allah)
Surah ke 112
Terdiri daripada 4 ayat (Makkiyyah)

Erti Keesaan Allah Subhanahu wa Taa'la

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah , lagi Maha Penyayang.

1. Katakanlah: "Dialah Allah, Yang Maha Esa,

2. Allah tempat meminta segala sesuatu.

3. Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan.

4. Dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan Dia."

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 261-286

CARA-CARA MENGGUNAKAN HARTA DAN HUKUM-HUKUMNYA

Menafkahkan Harta di Jalan Allah Subhanahu wa Taa'la.
261. Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah* adalah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada setiap tangkai seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya), lagi Maha Mengetahui/
* Pengertian menafkahkan hartanya di jalan Allah meliputi; belanja untuk kepentingan jihad, pembangunan perguruan, rumah sakit, usaha penyelidikan ilmiah dan lain-lain.

262. Orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudia dia tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati

263. Perkataan yang baik* dan pemberian maaf** lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyantun
*Menolak dengan cara yang baik.
**Memaafkan tingkah laku si peminta maaf.

264. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah ia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu dari apa yang mereka usahakan dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang kafir.*
* Mereka tidak mendapat manfaat di dunia dari usaha-usaha mereka dan tidak pula mendapat pahala di akhirat.

265. Dan perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disirami oleh hujan yang lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kami ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.

266. Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin menpunyai kebun kurna dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai? Di dalam kebun itu dia mempunyai segala jenis buah-buahan, kemudian datanglah masa tuanya, sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin kencang yang mengandungi api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.*
* Inilah perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya kerana riak, membangga-banggakan pemberiannya kepada orang lain dan menyakiti hati orang.

267. Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik dan sebahagian dari hasil usahamu yang baik sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk, lalu kamu nafkahkan darinya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

268. Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil), sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dariNYa dan kurniaanNya.* Dan Allah Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Mengetahui.
* Balasan yang lebih baik dari apa yang dikerjakan ketika di dunia.

269. Allah menganugerahkan al-Hikmah (pemahaman yang dalam tentang al-Quran dan as-Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahkan al-Hikmah itu, dia benar-benar telah dianugerahkan kurnia yang banyak. Dan hanya orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).

270. Apa saja yang kamu nafkahkan atau apa saja yang kamu nazarkan*, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Orang yang berbuat zalim tidak ada seorang pun baginya.
* Nazar, iaitu janji untuk melakukan sesuatu kebaktian kepada Allah untuk mendekatkan diri kepadaNya, baik dengan syarat atau tidak.

271. Jika kamu menzahirkan sedekah(mu)* maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya** dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
* Menzahirkan sedekah dengan tujuan supaya dicontohi oleh orang lain.
** Menyembunyikannya (sedekah) lebih baik dari menzahirkannya, kerana menzahirkan sedekah boleh menimbulkan rasa riak pada diri pemberi dan boleh pula menyakiti hati penerima sedekah.

272. Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat pentunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya yang cukup, sedangkan kamu sedikit pun tidak akan dianiaya (dirugikan).

273. (Berinfaklah) kepada orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah, mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi, orang yang tidak tahu menyangka bahawa mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu (Muhammad) mengenali mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

274. Orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara bersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada yang mengkhuatirkan mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Hukum Riba'.
275.  Orang yang makan (mengambil) riba* tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila.** Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu*** (sebelum datang larangan) dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka  orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamanya.
* Riba ada dua jenis; nasi'ah dan fadl. Riba nasi'ah ialah pembayaran lebih yang disyaratkan oleh orang yang meminjamkan. Riba fadl ialah penukaran suatu barang dengan barang yang sejenis, tetapi lebih banyak jumlahnya kerana orang yang menukarkan mensyaratkan demikian, seperti menukaran emas dengan emas, padi dengan padi dan sebagainya. Riba dalam ayat ini ialah Riba nasi'ah yang berlipat ganda dan umum terjadi dikalangan masyarakat Arab zaman jahiliyah.
** Orang yang mengambik riba tidak tenteram jiwanya seperti kerasukan syaitan.
*** Riba yang sudah diambil (dipungut) sebelum ayat ini turun, boleh tidak dikembalikan.

276. Allah memusnahkan riba* dan menyuburkan sedekah.** Dan Allah tidak menyukai setiap orang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa***
* Memusnahkan riba ialah memusnahkan harta itu atau meniadakan berkatnya.
** Menyuburkan sedekah ialah mengembangkan harta yang telah dikeluarkan sedekahnya atau melipatgandakan berkatnya.
*** Orang yang menghalalkan riba dan tetap melakukannya.

277 .Sesungguhnya orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

278. Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut)jika kamu orang yang beriman.

279. Maka jika kamu tidak melaksanakannya (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan rasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok asal hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya (dirugikan).

280. Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah waktu sehingga dia mampu. Dan bersedekah (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

281. Dan peliharalah diri kamu (daripada huru-hara hari kiamat) yang padanya kamu semua akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka tidak dianiaya (dirugikan) sedikit pun.

Kesaksian Dalam Muamalah
282. Wahai orang yang beriman! Apabila kamu mermu'amalah* tidak secara tunai untuk masa yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulis dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (apa yang akan ditulis itu), dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sedikit  pun dari hutangnya. Jika orang yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu merencanakan dengan jujur, dan disaksikan dengan dua orang saksi dari orang lelaki (di antaramu). Jika tidak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa, maka seorang lagi mengingatkannya. Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil mahupun besar, sampai tempoh masa pembayarannya. yang demikian itu lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat menguatkan penyaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan)  keraguanmu. (Tulislah mua'malah itu) kecuali jika muamalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu (jika) kamu tidak menuliskannya. Dan saksikanlah apabila kamu berjual-beli dan janganlah penulis dan saksi saling menyulitkan. Jika kamu lakukan ( yang demikian), maka sesungguhnya hal itu adalah kefasikan pada dirimu. Dan bertakwalah kepada Allah, allah mengajarmu dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
* Berjual beli, berhutang piutang, sewa menyewa dan sebagainya.

283. Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedang kamu memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang tanggungan* yang dipegang (oleh yang memberi hutang). Akan tetapi, jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan penyaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
* Barang tanggungan (gadaian) itu diadakan apabila antara satu sama lain tidak saling mempercayai.

Pujian Allah Subhanahu wa Taa'la Terhadap Para Mukmin dan Doa Mereka.
284. Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampunkan siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

285. Rasul telah berfirman kepada al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. (Mereka mengatakan):" Kami tidak membeza-bezakan antara seorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasulNya," dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami, ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali."

286. Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa):" Ya Tuhan kami, janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau kami salah. Ya Tuhan kami , janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami apa yang tidak sanggup kami menanggungnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kamu terhadap kaum yang kafir."

Thursday, 27 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 240-260








Wasiat Untuk Isteri dan Mut'ah.
240. Dan orang yang akan meninggal dunia di antaramu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dengan tidak disuruh berpindah (dari rumahnya). Akan tetapi, jika mereka berpindah (dengan kehendaknya sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang makruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

241. Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mut'ah* menurut yang makruf sebagai suatu kewajipan bagi orang yang bertakwa.
* Sesuatu yang diberikan sesuai dengan kemampuan, selain nafkah oleh suami kepada isteri yang diceraikannya sebagai penghibur (saguhati)

242. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayatNya (hukum-hukumNya) supaya kamu memahaminya.

Kewajipan Berjihad Mengeluarkan Harta di Jalan Allah Subhanahu wa Taa'la.
243. Apakah kamu tidak perhatikan orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) kerana takut mati, maka Allah berfirman kepada mereka: "Matilah kamu!"* Kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai kurniaan terhadap manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
* Sebahagian ahli tafsir mentafsirkan mati di sini dengan "mati yang sebenarnya", sedangkan sebahagian ahli tafsir yang lain mengertikannya dengan "mati semangat".

244. Dan berperanglah kamu sekalian di jalan Allah dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

245. Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya ke jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepadaNya kamu dikembalikan.

246. Apakah kamu tidak perhatikan pemuka-pemuka Bani Israel sesudah Nabi Musa wafat, iaitu ketika mereka berkata kepada nabi mereka: " Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah." Nabi mereka menjawab: "Jangan-jangan, jika diwajibkan ke atasmu berperang, kamu tidak akan berperang juga." Mereka menjawab :" Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?* Maka tatkala perang itu diwajibkan ke atas mereka, mereka pun berpaling kecuali beberapa orang saja di antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui orang yang zalim.
* Mereka diusir dan anak-anak mereka ditawan.

247. Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu." Mereka menjawab:" bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedangkan dia tidak diberi kekayaan yang banyak." (Nabi mereka) berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahkannya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Allah memberikan pemerintah kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas pemberianNya, lagi Maha Mengetahui.

248. Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka: " Sesungguhnya tanda dia akan menjadi raja ialah kembalinya Tabut* kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun, Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu jika kamu orang yang beriman.
* Tabut ialah peti tempat menyimpan Taurat yang membawa ketenangan bagi mereka.

249. Maka tatkala Talut keluar membawa tenteranya, dia berkata: " Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah dia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Talut dan orang yang beriman bersamanya menyeberangi sungai itu, orang yang telah minum berkata: "Tidak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak desngan izin Allah. Dan Allah beserta orang yang sabar.

250. Tatkala mereka mara melawan Jalut dan tenteranya, mereka pun (Talut dan tenteranya) berdoa: " Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran ke atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolong kami terhadap orang kafir."

251. Mereka (tentera Talut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah dan dalam peperangan itu Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah* (sesudah meninggalnya Talut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendakiNya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.
* Kenabian dan kitab Zabur.

252. Itu adalah ayat-ayat Allah. Kami bacakan kepadamu dengan hak (benar) dan sesungguhnya kamu benar-benar salah seorang di antara nabi-nabi yang diutus.


TENTANG RASUL-RASUL DAN KEKUASAAN ALLAH SUBHANAHU WA TAA'LA

Keistimewaan dan Perbezaan Darjat Rasul-rasul.
253. Rasul-rasul itu kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (secara langsung dengan mereka) dan sebahagiannya Allah meninggikannya* beberapa darjat. Dan Kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami perkuatkan dia dengan Ruhul-Qudus.** Dan jika Allah menghendaki, nescaya tidaklah berbunuh-bunuhan orang (yang datang) setelah rasul-rasul itu, setelah datang kepada mereka beberapa keterangan, akan tetapi mereka berselisih, maka ada di antara mereka beriman dan ada (pula) di antara mereka yang kafir. Seandainya Allah mengkehendaki, tidaklah mereka berbunuh-bunuhan. Akan tetapi, Allah berbuat apa yang dikehendakiNya.
*Yakni Nabi Muhammad SAW.
** Menurut sebahagian mufassir yang dimaksudkan Ruhul Qudus ialah Malaikat Jibril 'Alaihissalam.

Anjuran Membelanjakan Harta.
254. Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (ke jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual-beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat.* Dan orang yang kafir itulah orang yang zalim.
* Usaha perantaraan dalam memberikan sesuatu manfaat bagi orang lain atau mengelakkan suatu mudarat dari orang lain.Syafaat yang tidak diterima Allah adalah syafaat bagi orang kafir.

Ayat Kursi
255. Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia yang hidup kekal lagi terus-menerus mengurus (makhlukNya), tidak mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNya apa yang ada di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya. Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi* Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya dan Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
* Sebahagian mufassir mengertikan Kursi dalam ayatini dengan ilmu Allah dan ada pula yang mentafsirkan dengan kekuasaannya.

Tidak Ada Paksaan Memasuki Agama Islam
256. Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu, barangsiapa yang ingkar kepada taghut* dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpengang kepada simpulan tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
* Taghut ialah syaitan dan apa saja yang disembah selain Allah.

257. Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan yang mengekuarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

Membangkitkan Kembali Orang Yang Telah Mati
258. Apakah kamu tidak perhatikan orang* yang berdebat dengan Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: " Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan." Orang itu berkata: " Saya dapat menghidupkan dan mematikan."** Ibrahim berkata: " Sesungguhnya Allah menerbitkan matahati dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat", lalu hairan terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim.
* Iaitu Namrud, Raja Babylon (2300M)
** Maksud Raja Namrud dengan "menghidupkan" ialah membiarkan hidup dan yang dimaksudkan dengan "mematikan" ialah membunuh. Perkataannya itu mengejek Nabi Ibrahim 'Alaihissalam.

259. Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui suatu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi (runtuhan) atapnya. Dia berkata: " Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?" Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya : "Berapa lama kamu tinggal di sini?" Dia menjawab: "Saya telah tinggal di sini sehari atau setengah hari." Allah berfirman: " Sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya, lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah dan lihatlah kepada keldaimu (yang telah menjadi tulang-belulang); Kami akan menjadikan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia dan lihatlah kepada tulang-belulang keldai itu bagaimana Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging." Maka tatkala telah nyata kepadanya ( bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati), dia pun berkata: "Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

260. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati." Allah berfirman: "Belum yakinkah kamu?" Ibrahim menjawab: "Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)." Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah* semuanya. Lalu letakkan di atas setiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.
* Pendapat di atas adalah menurut at-Thabari dan Ibnu Katsir. Sedangkan menurut Abu Muslim al-Asfahani, pengertian ayat di atas ialah bahawa Allah memberi penjelasan kepada Nabi Ibrahim 'Alahissalam tentang cara Dia menghidupkan orang yang telah mati. Allah menyuruh Nabi Ibrahim 'Alaihissalam mengambil empat ekor burung, lalu memeliharanya dan menjinakkannya hingga burung itu datang seketika apabila dipanggil. Kemudian burung-burung yang sudah pandai itu diletakkan di atas setiap bukit seekor burung. Lalu burung-burung itu dipanggil dengan satu tepukan atau seruan, nescaya burung-burung itu akan datang dengan segera walaupun tempatnya terpisah dan berjauhan. Demikian pula, Allah menghidupkan orang mati yang tersebar di mana-mana dengan satu kalimah cipta ; "hiduplah kamu semua" pastilah mereka hidup kembali, Jadi menurut Abu Muslim, sighah amr (bentuk kata perintah) dalam ayat ini, pengertian khabar (bentuk berita) sebagi cara penjekasan. Pendapat beliau ini diikuti pula oleh ar-Razi dan Rasyid Ridha.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 221-239


Asas-asas Hukum Perkahwinan, Penceraian dan Penyusuan.
221. Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita hamba yang mukmin lebih baik daripada wanita musyrik walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba yang mukmin lebih baik baik daripada orang yang musyrik walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka. Sedangkan Allah mengajak ke syurga dan keampunan dengan izinNya. Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya (perintah-perintahNya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran.

222. Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: "Haid itu adalah kotoran." Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri* dari wanita di waktu haid dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci**. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.
* Jangan menyetubuhi wanita yang sedang haid
** Iaitu sesudah mandi. Ada pula yang mentafsirkan sesudah darah berhenti keluar.

223. Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk tanammu itu bagaimana saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah (amal yang baik) untuk dirimu dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kelak kamu akan menemuiNya. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman.

224. Janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan mengadakan islah (pembaikan) di antara manusia.* Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
* Melarang bersumpah dengan mempergunakan nama Allah untuk tidak mengerjakan yang baik seperti : " Demi Allah saya tidak akan membantu anak yatim." Tetapi apabila sumpah itu telah terucapkan, haruslah dilanggar dengan membayar kifarat.

225. Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja (untuk bersumpah) oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun.*
* Penyantun adalah terjemahan kata Halim, yang bererti tidak segera menyeksa orang yang berbuat dosa.

226. Kepada orang yang mengila' isterinya* diberi tangguh empat bulan (lamanya). Kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
* Bersumpah tidak akan mencampuri isteri. Dengan sumpah ini, seorang isteri menderita kerana tidak disetubuhi dan tidak pula diceraikan. Dengan turunnya ayat ini, maka setelah empat bulan, suami harus memilih antara menyetubuhi isterinya kembali dengan membayat kifarat sumpah atau menceraikannya.

227. Dan jika mereka berazam (bertetap hati dengan) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

228. Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru'.* Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suaminya berhak merujuknya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) menghendaki islah. Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi, para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya.** Dan Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.
* Bererti "suci" atau "haid"
** Hal ini disebabkan kerana suami bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan rumahtangga (lihat surah al-Nisa': ayat 34)

229. Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Setelah itu, boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik. Tidak halal bagi kamu mengambil kembali dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya khuatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.* Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang yang zalim.
* Ayat inilah yang menjadi dasar hukum khulu' dan penerimaan 'iwad. Khulu' (tebus talak), iaitu permintaan cerai kepada suami dengan pembayaran yang disebut 'iwad.

230. Kemudian jika si suai mentalaknya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia berkahwin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan isteri) untuk berkahwin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkanNya kepada kaum yang (mahu) mengetahui. 

231. Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir idahnya, maka rujuklah mereka dengan cara yang makruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang makruf (pula). Janganlah kamu rujuk mereka untuk memberi kemudaratan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka.* Barangsiapa berbuat demikian, maka sungguh ia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan hukum-hukum Allah sebagai permainan. Dan ingatlah nikmat Allah padamu dan apa yang telah diturunkan Allah kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah). Allah memberi pelajaran kepadamu dengan apa yang diturunkanNya itu. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
* Umpamanya; memaksa mereka meminta cerai dengan jalan khulu' atau membiarkan mereka hidup terumbang-ambing.

232. Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis idahnya,  maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka berkahwin lagi dengan bakal suaminya, * apabila telah terdapat kerelaan dia antara mereka dengan cara yang makruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari kemudian. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.
* Berkahwin ini dengan bekas suami atau dengan lelaki yang lain.

233. Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya dan waris pun berkewajipan demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (menghentikan penyusuan sebelum dua tahun), dengan kerelaan keduanya dan musyawarah, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

234. Orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri, (hendaklah para isteri itu) menunggu (beridah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis idahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka* menurut cara yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.
* Berhias atau berpergian atau menerima pinangan.

235. Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu* dengan sindiran** atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang makruf.*** Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk berakad nikah sebelum habis idahnya. Dan ketahuilah bahawasanya allah mengetahui apa yang ada di dalam hatimu, maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun.
*Yang suaminya telah meninggal dunia dan masih dalam idah.
** Wanita yang boleh dipinang secara sindiran ialah wanita yang dalam idah kerana meninggal suaminya atau kerana talak ba'in, sedangkan wanita yang dalah idah talak raj'i tidak boleh dipinang walaupun dengan sindiran.
*** Perkataan sindiran yang baik.

236. Tidak ada dosa bagimu jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu yang belum kamu sentuh (campuri) atau belum kamu tentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut'ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemahuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut. Demikian itu merupakan ketentuan bagi orang yang berbuat kebajikan.

237. Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah* dan kemaafaan kamu itu lebih dekat kepada takwa. Dan janganlah kamu melupakan keutamaan di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu kerjakan.
* Suami atau wali. Kalau wali yang memaafkan, maka suami dibebaskan dari membayar mahar yang seperdua, sedangkan kalau suami yang memaafkan, maka dia membayar seluruh mahar.

Kewajipan Mengerjakan Solat Biarpun Dalam Keadaan Takut.
238. Peliharalah segala solat(mu) dan (peliharalah) solat Wusta.* Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk.
* Solat Wusta ialah solat yang di tengah-tengah dan yang paling utama. Ada pula yang berpendapat bahawa solat Wusta alah solat Asar. Menurut kebanyakan ahli hadith, ayat ini menekankan agar semua solat dikerjakan dengan sebaik-baiknya.

239. Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu telah aman, maka ingatilah Allah (solatlah) sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.



Wednesday, 26 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 204-220


M. Perbuatan Orang Munafik.
204. Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras.

205. Dan apabila dia berpaling (dari kamu), dia berjalan di bumi untuk membuat kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternakan dan Allah tidak menyukai kebinasaan.*
* Ungkapan ini adalah ibarat untuk orang yang berusaha menggoncangkan iman orang mukmin dan selalu mengadakan kekacauan.

206. dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah," bangkitlah kesombongannya menyebabkan berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.

207. Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.

208. Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

209. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

210. Tiada yang mereka nanti-nantikan (pada hari kiamat) melainkan datangnya (azab) Allah bersama malaikat dalan naungan awan,* sedangkan perkara (mereka) telah diputuskan. Dan hanya Allah dikembalikan segala urusan.
* Naungan awan bersama malaikat biasanya mendatangkan hujan yang ertinya rahmat, tetapi rahmat yang diharap-harapkan itu tidaklah datang melainkan azab Allah. 

Hikmah Diutusnya Para Rasul dan Pelbagai Cubaan Bagi Para Pengikutnya. 
211. Tanyakanlah kepada Bani Israel: "Berapa banyakkah tanda-tanda (kebenaran)* yang nyata, yang telah Kami berikan kepada mereka." Dan barangsiapa yang menukar nikmat Allah** setelah datang nikmat itu kepadanya, maka sesungguhnya Allah sangat keras seksaanNya.
* iaitu tanda-tanda kebenaran yang dibawa nabi-nabi mereka, yang menunjukkan kepada keEsaan Allah dan kebenaran nabi-nabi itu selalu mereka tolak.
** Nikmat Allah di sini ialah perintah-perintah dan ajaran-ajaran Allah.

212. Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang kafir dan mereka memandang hina orang yang beriman. Padahal orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka pada hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang dikehendakiNya tanpa batas.

213. Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelag datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk kepada orang yang beriman tentang kebenaran yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.

214. Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh mala petaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.


BEBERAPA HUKUM SYARIAT

Orang Yang Diberi Nafkah
215. Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: "Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang sedang dalam perjalanan." dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. 

Hukum Perang Dalam Islam.
216. Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

217. Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (orang mukmin) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi orang mukmin dari memasuki) Masjid al-Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah."* Dan berbuat fitnah** lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sehingga mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
* Menurut pendapat ar-Razi, maka terjemahan ayat di atas seperti berikut: Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar dan (adalah bererti) menghalangi (orang mukmin) dari jalan Allah, kafir kepada Allah dan (menghalangi orang mukmin daripada memasuki) Masjid al-Haram. Tetapi mengusir penduduknya dari Masjid al-Haram (Mekah) lebih besar dari (dosanya) di sisi Allah. Pendapat ar-Razi ini mungkin berdasarkan pertimbangan bahawa mengusir Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya dari Masjid al-Haram sama dengan menumpas agama Islam.
* Penganiayaan dan segala perbuatan yang dimaksudkan untuk menindas Islam dan kaum muslimin.

218. Sesungguhnya orang yang beriman, orang yang berhijrah di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

Khamar, Judi, Harta Yang Dinafkahkan dan Pemeliharaan Anak Yatim.
219. Mereka bertanya kepadamu tentang khamar* dan judi. Katakanlah: " Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan.Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan." Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir.
* Segala sesuatu yang memabukkan.

220. Tentang dunia dan akhirat. Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim. Katakanlah: "Mengurus urusan mereka secara sepatutnya adalah baik" dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 183-203

J. Puasa.
183. Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.

184. (Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanann (lalu dia berbuka), maka (wajiblah bagimu berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang yang (tidak berdaya untuk berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan releaan hati mengerjakan kebajikan,* maka itulah lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
* Memberi makan lebih dari seorang miskin untuk satu hari.

185. (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu di a berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah mengkehendaki kemudian bagimu dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur.

186. Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka menenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

187. Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu, mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang, campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar.Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (tiba) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beriktikaf* dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada manusia supaya mereka bertakwa.
* Berada dalam masjid dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.

188. Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian dari harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.

K. Berjihad Dengan Jiwa dan Harta di Jalan allah Subhanahu wa Taa'la
189. Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: "Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadah haji)" dan bukanlah kebajikan memasuki rumah-rumah dari belakangnya,* akan tetapi kebajikan itu ialah kebajikan orang yang bertakwa. Dan masukilah rumah-rumah itu dari pintu-pintunya dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.
* Pada masa jahiliyah, orang yang berihram pada waktu haji memasuki rumah dari belakang bukan dari depan. Hal ini ditanyakan oleh para sahabat kepada Rasullullah SAW, maka diturunkanlah ayat ini.

190. Dan berperanglah di jalan Allah ke atas orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.

191. Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka dan usirlah mereka dari tempat mereka telah mengusir kamu (Mekah) dan fitnah* itu lebih besar bahayanya daripada membunuh. Dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjid al-Haram kecuali jika mereka memerangi kamu di tempat itu. Jika mereka memerangi kamu (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang kafir.
* Menimbulkan kekacauan seperti mengusir sahabat Nabi Muhammad SAW dari kampung halamannya, merampas harta mereka dan menyakiti atau mengganggu kebebasan mereka dalam beragama.

192. Kemudian jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

193. Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi) kecuali terhadap orang yang zalim.

194. bulan haram dengan bulan haram,* dan pada sesuatu yang patut dihormati,** berlaku hukum qisas. Oleh sebab itu, barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia seimbang dengan serangannya terhadap kamu. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang yang bertakwa.
* Kalau umat Islam diserang di bulan haram yang sebenarnya di bulan itu tidak boleh berperang, maka dibolehkan membalas serangan di bulan itu juga.
** Maksudnya antara lain ialah : bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab), Tanah Haram (Mekah) dan ihram.

195. Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.

L. Haji.
196. Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah) korban* yang mudah didapati dan jangan kamu mencukur kepalamu** sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya. Jika ada di antara kamu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu dia bercukur), maka wajiblah atasnya berfidyah, iaitu berpuasa atau bersedekah atau berkorban. Apabila kamu telah (merasa) aman, maka bagi siapa yang ingin mengerjakan umrah sebelum haji (di dalam bulan haji), (wajiblah dia menyembelih) korban yang mudah didapati. Tetapi jika dia tidak menemui (binatang korban atau tidak mampu), maka wajib berpuasa tiga hari dalam masa haji dan tujuh hari (lagi) apabila kamu telah pulang ( ke tanah air). Itulah sepuluh (hari) yang sempurna. Demikian itu (kewajipan membayar fidyah) bagi orang yang keluarganya tidak berada ( di sekitar) Masjid al-Haram (orang yang bukan penduduk kota Mekah). Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras seksaanNya.
* Menyembelih binatang korban sebagai pengganti pekerjaan wajib haji yang ditinggalkan atau sebagai denda kerana melanggar hal-hal yang terlarang mengerjakannya di dalam ibadah haji.
** Mencukur kepala adalah salah satu pekerjaan wajib haji sebagai tanda selesai ihram.

197. (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi,* barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu untuk mengerjakan haji, maka tidak boleh rafas,** berbuat fasik dan berbantah-bantahan semasa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah,*** dan sesungguhnya sebaik-baik kekal adalah takwa dan bertakwalah kepadaKu, wahai orang yang berakal.
* Iaitu bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.
** Mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh.
*** Ianya bekal yang cukup agar dapat memelihara diri dari perbuatan hina atau meminta-minta selama dalam perjalanan haji.

198. Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari TuhanMu. Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy-ar al-Haram.* Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana yang ditunjukkanNya kepadamu dan sesungguhnya kamu sebelum itu benar-benar termasuk orang yang sesat.
* Iaitu bukit Quzah di Mudzalifah.

199. Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai (Arafah) dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

200. Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu* atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak daripada itu. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia" dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.
* Menjadi kebiasaan orang Arab Jahiliyah setelah menunaikan haji, lalu bermegah-megah tentang kebesaran nenek moyangnya. Setelah ayat ini diturunkan, bermegah dengan nenek moyang diganti dengan berzikir kepada Allah.

201. dan di antara mereka ada orang yang berdoa: " Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka."*
* Inilah sebaik-baik doa bagi seorang muslim.

202. Mereka itulah orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitunganNya.

203. Dan berzikirlah* (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang telah ditentukan jumlahnya.** Barangsiapa ingin cepat berangkat ( dari Mina) setelah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), juga tidak ada dosa baginya,*** (yakni) bagi orang yang bertakwa. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu akan dikumpulkan kepadaNya.
* Zikir di sini ialah membaca tasbih, tahmid,talbiah,takbir dan sebagainya.
** Beberapa hari yang telah ditentukan jumlahnya ialah tiga hari sesudah hari taya Haji, iaitu pada 11,12 dan 13 bulan Zulhijjah. Hari-hari itu dinamakan hari-hari Tasyrik.
*** Sebaiknya orang yang berhaji meninggalkan Mina pada petang hari terakhir dari hari Tasyrik; boleh juga mereka meninggalkan Mina pada petang hari yang kedua. 

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 163-182

E. Allah Subhanahu wa Taa'la Yang Berkuasa dan Yang Menentukan.
163. Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

164. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. 

165. dan di antara manusia ada orang yang menyembah selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan seandainya orang yang berbuat zalim* itu mengetahui ketika mereka seksa( pada hari kiamat) bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa allah amat berat seksaanNya (nescaya mereka menyesal)
* Orang yang menyembah selain Allah.

166. (Iaitu) ketika orang yang diikuti itu melepaskan diri dari orang yang mengikutinya dan mereka melihat seksa dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.

167. Dan katakanlah orang yang mengkuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan melepaskan diri dari mereka sebagaimana mereka melepaskan diri dari kami." Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka menjadi sesalan bagi mereka dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.  

168. Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.

169. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.

170. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah." mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami." (Apakah mereka akan mengikuti juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?

171. Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja*. Mereka tuli (pekak), bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti.
* Dalam ayat ini, orang kafir disamakan dengan binatang yang tidak mengerti erti panggilan penggembalanya.

F. Makanan Yang Halal dan Yang Haram.
172. Wahai orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami telah berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepadaNya kamu menyembah.

173. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah.* Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
* Menurut ayat ini, haram juga daging yang berasal dari sembelihan yang menyebut nama Allah dan menyebut sama nama selain Allah.

174. Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api* dan Allah tidak akan berbicara** kepada mereka pada hari kiamat dan tidak akan menyucikan mereka dan bagi mereka seksa yang amat pedih.
* Makanan yang dimakan berasal dari hasil yang menyembunyikan ayat-ayat yang diturunkan Allah, menyebabkan mereka masuk ke dalam api neraka.
** Allah tidak berbicara kepada mereka dengan kasih sayang tetapi bicara dengan kata-kata yang tidak menyenangkan.

175. Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksa dengan keampunan. Maka alangkah beraninya mereka menentang api neraka.

176. Yang demikian itu adalah kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran dan sesungguhnya orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu, benar-benar dalam penyimpangan yang jauh.

G. Asas-asas Kebajikan.
177. Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat dan orang menepati janjinya apabila berjanji dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa.

H. Qisas dan Hikmahnya.
178. Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu (melaksanakan) qisas berkenaan dengan orang yang dibunuh. Orang merdeka dengan orang yang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang memperolehi suatu kemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik dan hendaklah ( yang diberi maaf) membayat (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya seksa yang sangat pedih.*
* Qisas ialah mengambil pembalasan yang sama. Qisas itu tidak berlaku apabila yang membunuh mendapat kemaafan daripada ahli waris yang terbunuh, iaitu dengan membayar diyat (ganti rugi) yang wajar. Pembayaran diyat diminta dengan baik, umpamanya dengan tidak mendesak yang membunuh dan yang membunuh hendaklah membayarnya dengan baik, umpamanya tidak menangguh-nangguhkannya. Apabila ahli waris si korban, sesudah Allah menjelaskan hulum-hukum ini, membunuh yang bukan si pembunuh atau membunuh si pembunuh setelah diberi diyat, maka terhadapnya diambil qisas di dunia dan dia mendapat seksa yang pedih di akhirat.

179. Dan dalam qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagimu, wahai orang yang berakal supaya kamu bertakwa.

I. Wasiat.
180. Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu didatangi (tanda-tanda) maut, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) berwasiat untuk ibubapa dan kaum kerabatnya secara makruf,* (ini adalah) kewajipan bagi orang yang bertakwa.
* Ialah adil dan baik. Wasiat itu tidak melebihi sepertiga dari seluruh harta orang berwasiat. Ayat ini tidak berlaku untuk ahli waris kerana sudah dinasakhkan (diganti hukumnya) dengan ayat tentang waris. (An-Nisa' 4:11).

181. Maka barangsiapa yang mengubah wasiat itu setelah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya adalah bagi orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

182. (Akan tetapi) barangsiapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, lalu dia mendamaikan* antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
* Menyuruh orang yang berwasiat berlaku adil dalam mewasiatkan, sesuai dengan batas-batas yang telah ditentukan syarak.  

Tuesday, 25 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 142-162

KAABAH ADALAH KIBLAT BAGI SELURUH UMAT ISLAM

A. Sekitar Pemindahan Kiblat
142. Orang yang kurang akalnya* di antara manusia akan berkata: "Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari Kiblatnya (Baitul Muqaddis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?" Katakanlah: " Kepunyaan Allahlah timur dan barat, Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus."**
* Orang yag kurang fikirannya sehingga tidak dapat memahami maksud pemindahan kiblat.
** Ketika Nabi Muhammad SAW berada di Mekah, di tengah-tengah kaum Musyrikin, beliau berkiblat ke Baitul Muqaddis. Tetapi setelah 16 hingga 17 bulan Nabi Muhammad SAW berada di Madinah, di tengah-tengah orang Yahudi dan Nasrani, Baginda disuruh oleh Allah untuk berkinlat ke Kaabah. Hal ini untuk memberi pengertian bahawa yang paling utama dalam ibadah solat bukanlah mengadap ke arah Baitul Muqaddis dan Kaabah yang menjadi tujuan tetapi menghadapkan diri kepada Allah. Untuk mempersatukan umat Islam, Allah menjadikan Kaabah sebagai kiblat.

143. Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan* agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (dengan nyata) siapa yang mengikuti rasul dan siapa yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat sekali kecuali bagi orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan Allah tidak akan mensia-siakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.
* Umat Islam dijadikan umat yang adil dan pilihan kerana mereka akan menjadi saksi atas perbuatan orang yang menyimpang dari kebenaran, baik di dunia mahupun akhirat.

144. Sesungguhnya Kami (sering) melihat mukamu mendongak ke langit,* maka Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab ( Taurat dan Injil) memang mengetahui bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya dan Allah sekali-kali tidak berlengah dari apa yang mereka kerjakan.
* Nabi Muhammad SAW sering melihat ke langit sambil berdoa dan menunggu-nunggu turunnya wahyu yang memerintahkan Baginda mengadap ke Baitullah.

145. Dan sesungguhnya jika kamu mendatangkan kepada orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil), semua ayat (keterangan), mereka tidak akan mengikuti kiblatmu, dan kamu pun tidak akan mengikuti kiblat mereka dan sebahagian mereka pun tidak akan mengikut kiblat sebahagian yang lain. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datang ilmu kepadamu, maka sesungguhnya kamu termasuk dalam golongan orang yang zalim.

146. Orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenali Muhammad* seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahuinya.
* Iaitu mengenal sifat-sifatnya sebagaimana yang tersebut dalam Taurat dan Injil.

147. Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk di kalangan orang yang ragu.

148. Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang dia mengadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebaikan di mana saja kamu berada, pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

149. Dan dari mana saja kamu keluar, maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu yang hak dari Tuhanmu. Dan allah sekali-kali tidak berlengah dari apa yang kamu kerjakan.

150. Dan dari aman saja kamu keluar, maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu kearahnya agar tidak ada hujah bagi manusia ke atas kamu, kecuali orang yang zalim di antara mereka. Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepadaKu. Dan Aku sempurnakan nikmatKu atasmu dan supaya kamu mendapat petunjuk.

151. Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu al-Kitab dan al-Hikmah (as-Sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.

152. Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu* dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku.
* Aku melimpahkan rahmat dan keampunanKu kepadamu.

B. Cubaan Berat Dalam Menegakkan Kebenaran.
153. Wahai orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.

154. Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang yang gugur di jalan Allah (bahawa mereka itu) mati, bahkan sebenarnya mereka itu hidup,* tetapi kamu tidak menyedarinya.
* Hidup di alam lain yang bukan alam kita ini, iaitu di tempat mereka mendapatkan kenikmatan-kenikmatan di sisi Allah dan hanya Allah sajalah yang mengetahui bagaimana keadaan hidup itu.

155. Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.

156. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan : "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un."*
* Ertinya : "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami kembali." Kalimah ini dinamakan kalimah istijra' (pernyataan kembali kepada Allah). Disunatkan menyebutnya ketika ditimpa musibah, baik besar mahupun kecil.

157. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.

C. Manasik (Ibadah) Haji.
158. Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar Allah.* Maka barangsiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa'i antara keduanya.** Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri*** kebaikan, lagi Maha Mengetahui.
* Tempat-tempat beribadat kepada Allah.
** Allah mengungkapkan dengan perkataan " tidak ada dosa", sebab sebahagian sahabat mersa keberatan mengerjakan sa'i di situ kerana tempat itu bekas tempat berhala. Dan di masa jahiliyah pun tempat itu digunakan sebagai tempat sa'i. Untuk menghilangkan rasa keberatan itu, Allah menurunkan ayat ini.
*** Allah mnensyukuri hambaNya, iaitu memberi pahala terhadap amal-amal hambaNya, manfaatkan kesalahannya, menambah nikmatNya dan sebagainya.

D. Laknat Terhadap Orang Yang Menyembunyikan Ayat-ayat Allah Subhanahu wa Taa'la.
159. Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua makhluk.

160. Kecuali mereka yang telah bertaubat dan melakukan kebaikan* dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itu, Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.
* Melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik untuk menghilangkan akibat-akibat yang buruk dari kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

161. Sesungguhnya orang kafir dan mereka mati dalam keadaan kafir, mereka itu mendapat laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya.

162. Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak akan diringankan seksaan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka diberi penangguhan.